Sunday, December 30, 2012

Permohonan Baru Guru Bahasa Inggeris Secara Kontrak Di Bawah MBMMBI 2013

Permohonan adalah terbuka kepada mana-mana Guru Bahasa Inggeris yang telah bersara sehingga 31.12.2012 untuk memohon sebagai Guru Bahasa Inggeris Secara Kontrak di bawah MBMMBI Tahun 2013. Semua permohonan hendaklah menggunakan Borang Khas (Lampiran B) serta mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan sepertimana siaran iklan tawaran.

Borang dan dokumen permohonan yang lengkap hendaklah dipanjangkan ke PPD masing-masing dan pihak PPD perlu mengemukan permohonan ke JPN (Unit Sekolah Rendah) selewat-lewatnya 15 Januari 2013.

Bagi mereka yang telah berkhidmat sebagai Guru Bahasa Inggeris Kontrak sebelum ini TIDAK PERLU memohon kerana mereka hanya perlu menunggu kelulusan KPM untuk menyambung semula khidmat dalam tahun 2013 dan pihak JPN akan memaklumkan bila surat berkenaan diterima.

  1. Surat Siaran Iklan Guru BI Kontrak 2013. KLIK
  2. Borang Khas Permohonan . KLIK

Pemimpin Sekolah perlu bijaksana dan bijaklaksana

" Cikgu, kita harap mesyuarat di sekolah ini tidak perlu lama-lama dan panjang-panjang sampai Sembahyang Zuhur lewat," celah seorang ustaz sambil berdiri sewaktu aku selesai memulakan ucap aluan mesyuarat pertama sebagai Guru Besar baru sekolah itu. Semua mata tertumpu kepada aku dengan penuh debar dan suspen. Mungkin mereka pernah dengan cerita tentang aku. Seorang Guru Besar muda yang tegas dan ambisi sekali.

Aku tersenyum. Pengalaman sebagai GPK,Guru Besar dan NGO sebelum ini banyak mengajar aku erti matang dan bijaksana. Pengalaman sebagai pendebat, pemidato dan instruktor kursus cukup mudah mengatasi situasi yang menggugah ego bagi sesetengah pemimpin autokratik. Pengalaman sebagai pemimpin pelajar yang mesyuarat agung memakan masa masa tiga hari tiga malam dan banyak menjawab bagi pihak persatuan mengajar betapa pentingnya ketenangan dan kebijaksanaan dalam menghadapi tekanan.

" Terima kasih, ustaz. Inilah sahabat yang saya harapkan dalam membantu saya melaksanakan tugas sesuai dengan Firman Allah dalam Surah Ali Imran " Dan hendaklah ada dari kalangan kamu satu puak yang menyeru kepada kebajikan (mengembangkan Islam) dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji) dan mereka yang bersifat demikian adalah orang-orang yang berjaya.' Jika saya menyeleweng sila tegur. Kalau ustaz atau guru-guru tidak tegur atas kesalahan saya maka anda semua  bersubahah dan berdosa. Beritahu PPD atau Pengarah Pelajaran jika saya tidak mendengar nasihat dan melakukan kesalahan nyata." dengan tenang dan panjang lebar aku memberi "stroke" motivasi yang paradok dengan kebiasaan berfikir khalayak umum.

Bermula pada detik itu, ustaz ini yang merupakan al-hafiz menjadi rujukan dan sahabat akrab. Apa yang aku cakap aku buat hingga akhirnya ianya menimbulkan keyakinan dan kepercayaan para guru, ibubapa, murid-murid dan masyarakat untuk aku memacu sekolah ke arah lebih terbilang. Aku perhatikan ustaz ini sebahagian masanya banyak dihabiskan di sekolah. Beliau buat perkara yang perlu dibuat dan patut dibuat. Ianya menjadi acuan dan model untuk dicontohi.

Itu adalah sebahagian kecil pengalaman benar yang aku lalui sebagai ketua dan pemimpin di sekolah. Sebagai ketua dan pemimpin kita mesti memandang jauh dan melihat sesuatu dalam pandangan berbeza. Misalnya kita perlukan diagnos persekitaran. Kalau guru besar sebelum kita selalu tinggalkan sekolah tetapi sekolah dapat berjalan dengan baik walaupun tidak cemerlang tentunya sekolah ini akan dapat dipugar potensinya kalau kita sentiasa bersama-sama guru dan warganya . Kita yakin pasti sekolah ini akan mampu melonjak tinggi. Walau apa sekalipun pengetahuan dan kemahiran kita adalah sangat penting. Tanpa memahami dan melakukan sesuatu kita pasti tiada pengalaman yang akan mengasuh kita menjadi manusia yang bijaksana dan bijaklaksana.

Perkara yang paling tidak disukai oleh mana-mana ahli organisasi ialah ketiadaan integriti dan hipokrasi. Seorang ketua yang cakap tidak serupa bikin, kepura-puraan dalam berbagai wajah, tiada ikhlas pastinya melakukan kerjabuatnya tidak bijaklaksana. Justru itu ramai yang berkata bahawa "katakanlah yang benar walaupun pahit". Berasaskan pengalaman, ramai kawan-kawan melahirkan perasaan tidak puas hati tentang GPK dan guru-guru mereka. Bila ditanya pernah tak dipanggil dan berhadapan, mereka tidak melakukannya. Ciri pengecut dan "nak jaga hati melampau" ini sepatutnya tidak ada pada seseorang pemimpin. Aku tidak melalui denai kebiasaan ini. Aku melalui denai lain yang jarang dilalui orang tapi cukup menyeronokan.

Banyak cerita dan pengalaman bagaimana kita mampu menjadi pemimpin yang bijaksana dan bijaklaksana.
Pemimpin sekolah yang disegani kerana sahsiahnya. Pemimpin sekolah yang dihormati kerana ilmu dan kebolehanya. Aku ingin akhir catatan ini dengan kisah ceritera yang diceritakan oleh seorang sahabat mengenai dua tempayan. Tempayan pertama cantik molek tetapi tempayan kedua telah retak. Tempayan-tempayan ini digunakan untuk mengisi air oleh tuannya dari sungai ke rumahnya. Tiap hari tuannya akan mengandar kedua tempayan ini dari sungai ke rumahnya.

Namun setiap kali apabila tempayan-tempayan ini dikandar maka tempayan yang cantik akan sentiasa mengejek tempayan lama kerana sudah buruk, retak dan bocor. Apabila sampai di rumah hanya satu pertiga sahaja air dalam tempayan yang retak itu. Sementara tempayan yang cantik dengan sombong dan bangganya mengatakan dialah yang paling baik dan berguna.

Suatu hari tempayan yang retak dan buruk meluahkan perasaan kecewa dan sedih kepada tuannya agar dia diganti dengan yang baru. Tuannya tersenyum dan menjelaskan dia sengaja tidak mahu menukarnya dengan yang baru kerana ianya sangat memberi manafaat dan berguna. Tuannya memberitahu bahawa beberapa bulan yang lalu beliau menabur biji benih bunga di sepanjang laluan dari sungai ke rumahnya. Biji benih bunga itu tumbuh bercambah dan hari ini merimbun subur dengan bunga-bunga yang cantik kerana beroleh air yang cukup dari tempayan yang retak itu. "Tanpa air dari kamu, tiada bunga yang secantik ini", kata tuan tempayan kepada tempayan yang retak itu. Tempayan retak sangat terharu...

" Walaupun Guru Besar turun dari kayangan atau keluar dari lapisan bumi yang ketujuh tanpa sokongan tuan/puan para guru dan staf sekolah ini siapalah saya. Tidak kira apa gred, tugas dan peranan tuan/puan, tuan/puan sangat bermakna dan memberi sumbangan berguna kepada sekolah ini", kata aku mengakhir mesyuarat pertama sebagai Guru Besar di sekolah baru itu. Mereka dengan wajah ceria tersenyum menerpa bersalaman denganku....


Saturday, December 29, 2012

Sembang Sabtu : Ke Tahun Baru dengan Azam Baru

Dua hari lagi, Insyaallah kita akan memasuki tahun baru 2013 serentak dengan permulaan sesi persekolahan baru. Mungkin segala persediaan bagi menghadapi tahun baru dan sesi persekolahan telahpun siap sedia terutama kepada ibubapa, pelajar ataupun pengurusan sekolah yang mana sekolah mereka tidak terlibat dengan banjir. Lumrahnya tiap kali memasuki era baru, semangat di dada berkobar-kobar biarpun kadangnya umpama buih coca-cola yang baru dituang ke dalam gelas. Separuh berjejak di alam nyata separuh lagi merewang di alam fatamorgana.

Apapun dalam keghairahan melangkah tahun dan sesi  baru wajar sekali kita menoleh ke belakang menghayati dengan mata hati catatan sejarah yang kita telah tinggalkan dalam alur hidup dan kerjaya kita. Adakah KPI yang kita gariskan tercapai seoptimanya atau separuh atau suku paruh sahaja ? Adakah perancangan yang kita buat bagai hendak pecah kepala dapat dilaksana dengan jayanya dan kita melihat hasil atau outcomenya ? Adakah usaha yang kita buat bagai nak rak telah memberi pulangan lumayan atau hanya sekadar gempak tapi hasil habuk pun tarak, hanya sekadar mengulangi tradisi ketulaan berpanjangan.

Kalau kita pengurus dan pemimpin sekolah (Guru Besar atau GPK) adakah berlaku anjakan ke arah yang lebih baik segala aspek persekolahan dan kualiti pengurusan kita.? Adakah kita semakin berilmu dan faham selok-belok pengurusan sekolah sebenar termasuk mengurus keperluan manusia yang ada di dalamnya? Adakah kita semakin cekap dan mahir dalam membuat keputusan, komunikasi dan sebagainya ? Adakah nampak tanda atau "ain" bahawa cara kita memberi impak kepada pembangunan organisasi dan peningkatan pencapaian ? Atau kita semakin dibenci dengan jumlah musuh dan penentang semakin bertambah dari hari ke sehari ? Perhati dan tilik takkul agar mana yang lompang dapat ditampung, mana yang senget dapat ditegakkan.

Kalau kita guru mata pelajaran adakah KPI subjek kita tercapai sasarannya ?Berapa ramai murid kita menjadi dari segi intelek, rohani, jasmani, emosi dan sosial serta spritualnya ?Adakah murid kita semakin cergas dan cerdas atau semakin moyok dan lembab ? Adakah kaedah yang kita guna telah membantu atau sekadar ruberstamp dari kaedah, rancangan pelajaran yang lepas-lepas ? Adakah kita tidak merasa susah hati dan sukar untuk tidur apabila gaji naik dan dapat setiap bulan tapi prestasi murid berada pada batas ketulaan berterusan? Apakah berbaloi usaha yang kita buat, upah yang kita dapat dengan outcome aka kemenjadian murid yang diharapkan ?

Kita menyorot dan bertanya banyak perkara adalah sebagai ketukan untuk membuka pintu kesedaran dan keinsafan kita agar jangan mengulangi kelemahan dan kesilapan lalu berulangkali pada tahun baru.Nabi berpesan orang yang paling tidak cerdik kalangan kita adalah mereka yang mengulangi kesilapan yang sama lebih dari sekali. Lagipun apalah makna dan ertinya tahun baru dan sesi baru kalau cuma semangat dan azam sahaja baru tetapi pemikiran, atitud dan amalan kita masih terpenjara dalam tradisi lama, lapuk dan merugikan. Kita mahu satu revolusi dan transformasi minda menyeluruh agar perubahan sebenar tahun baru dan sesi baru benar-benar bermakna dan membuahkan hasil yang baru, yang lebih baik dari sebelumnya.

Kita berdoa dan berharap apa yang kita azam dapat direncana dalam perancangan, dapat dilaksana dengan berkesan dan dinikmati hasilnya kemudian bukan sekadar ilusi semata-mata. Manusia yang hebat adalah manusia yang mampu mengawal dan mengolah persekitaran bukannya hanyut mengikut arus dan ditentukan persekitarannya akan untung nasibnya.

"Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang makruf, dan mencegah dari yang munkar, dan beriman kepada Allah. (QS. Ali 'Imran : 110)"

Selamat Menyambut Tahun Baru dan Sesi Persekolahan Baru, semoga tahun 2013 lebih baik dari tahun sebelumnya.

Friday, December 28, 2012

Penempatan Guru Pelatih Diploma Perguruan Lepas Ijazah (DPLI-SR j-QAF) Mod Latihan Perguruan Berasaskan Sekolah (LPBS) Ambilan Tahun 2013


Salam hormat,


Berikut ialah senarai nama Penempatan Guru Pelatih Diploma Perguruan Lepas Ijazah (DPLI-SR j-QAF) Mod Latihan Perguruan Berasaskan Sekolah (LPBS) Ambilan Tahun 2013 negeri Terengganu yang akan menerima surat penempatan pada 02 JANUARI 2013. Taklimat penempatan dan penyerahan surat penempatan akan diuruskan di peringkat PPD masing-masing

Butiran Taklimat:

Tarikh   : 31 Disember 2012 (ISNIN)
Masa    : 10.00  pagi 
Tempat : Pejabat Pelajaran Daerah Berkenaan
Pakaian : Pakaian Rasmi Kerja Berkot

Sekiranya ada guru pelatih yang menghadapi masalah bolehlah berhubung terus dengan Penyelia Kanan Pengurusan Sekolah di PPD berkenaan di talian sebagaimana berikut:

PPD Besut : En. Abdul Muin Che Daud - 09-6956200
PPD Setiu : En. Anuar Mohd - 09-6097934
PPD Hulu Terengganu : En. Roslan Osman - 09-6817449
PPD Marang : En. Abdul Hamid Daud - 09-6181500
PPD Kuala Terengganu : En. Shafie Jusoh - 09-6213400
PPD Dungun : En. Abdullah Othman - 09-8441355
PPD Kemaman : En. Jusoh Embong  - 09-8591633

Senarai Guru Pelatih . KLIK

Renungan Jumaat : Muhasabah Diri




Tahun baru 2013 masihi bakal menjelma beberapa hari lagi. Tahun yang bakal dipenuhi dengan cabaran ini, mudah-mudahan disambut dengan rasa tawaduk ke hadrat Allah SWT atas segala nikmat-Nya selama ini. Seperti mana tahun-tahun baru sebelum ini, kita mulakan dengan lafaz kesyukuran kerana kita masih lagi diizinkan untuk meneruskan kehidupan  disamping menjalankan tugasan harian sama ada sebagai anak, ibu, bapa, pendidik, pelajar, pekerja amnya dan sebagai umat Islam khasnya. Namun sebagai muslim yang memahami akan kepentingan hidup sebagai satu Ibadah, seharusnya kita lebih lagi mendalami perspektif sambutan tahun baru ini. Firman Allah SWT di dalam surah adz-Dzaariyat ayat 50:


Maksud:“(Katakanlah Wahai Muhammad kepada mereka): "Maka segeralah kamu kembali kepada Allah (dengan bertaubat dan taat), Sesungguhnya aku diutuskan Allah kepada kamu, sebagai pemberi amaran yang nyata.


Justeru, sambutan tahun baru dalam Islam bukan sahaja satu sambutan yang bersifat bermegah dan bergembira semata-mata tetapi kita harus sandarkan kepada konsep bermuhasabah, merenung akan kelemahan, kekurangan yang telah kita lakukan sebelum ini dan menginsafinya. Semoga kehadiran tahun baru ini membawa pengertian yang cukup besar bagi mencetuskan rasa ingin berubah dari satu kekurangan kepada satu kekuatan yang baru.



Bermuhasabah diri adalah satu amalan para anbiya, mursalin dan orang-orang soleh. Justeru, perkara penting yang harus dijadikan budaya dalam hidup semua manusia ialah menilai diri sendiri. Persoalan besar timbul di sini, apakah sebenarnya yang dimaksudkan dengan bermuhasabah? Muhasabah adalah perilaku menilai dan memperelokkan diri yang terbentuk dalam jiwa seseorang manusia itu menurut kaca mata agama. Ia juga boleh dimaksudkan sebagai mendidik diri agar sentiasa mencela segala kejahatan yang pernah dilakukan agar tidak menjadi penghalang untuk mandapat keredhaan Allah SWT. 

 Mengikut Ibnu Qudamah: Pengertian muhasabah ialah melihat keadaan modal, keadaan keuntungan dan kerugian, agar dapat mengenalpasti sebarang penambahan dan pengurangan. Modalnya dalam konteks agama ialah perkara yang difardhukan, keuntungan ialah perkara sunat dan kerugiannya pula ialah maksiat. Ibnul Qaiyim pula berkata: Muhasabah ialah membezakan antara apa yang diperolehinya dan apa yang perlu ditanggungnya. Setelah mengetahui yang demikian, maka dia hendaklah membawa apa yang diperolehinya dan melunaskan apa yang ditanggungnya. Dia seolah-olah seorang musafir yang tidak akan kembali. Rasulullah SAW sendiri pernah memuji sikap muhasabah di dalam hadith Baginda yang diriwayatkan oleh Imam at-Tirmizi daripada Syadad bin Aus RA iaitu:



Maksud: Orang yang pintar ialah orang yang menghitung dirinya serta beramal untuk hari selepas kematian sementara orang yang lemah ialah orang yang mengikut hawa nafsunya serta beragan-angan terhadap Allah dengan angan-angan (yang banyak).”(Riwayat at-Tirmizi)



Marilah kita bersama-sama menghitung setiap tindakan kita selama ini, sejauh mana kita telah melaksanakan amanah sebagai hamba Allah SWT. Apakah kita telah benar-benar melaksanakannya mengikut lunas dan etika Islam. Sejauh manakah tugas kita sebagai manusia yang dilahirkan oleh Allah SWT untuk melaksanakan tugas benar-benar tercapai?. Oleh itu, dalam menyambut tahun baru pada kali ini marilah kita mulai dengan menghisab diri samada tugas kita selama setahun sebelum ini atau tahun-tahun sebelumnya telah kita lakukan demi menjalankan amanah sebagai khalifah Allah SWT dan sebagai hamba-Nya yang beriman atau kita masih berada di dalam lembah kemaksiatan dan noda semata-mata menurut hawa nafsu yang bersarang di jiwa. Rebutlah peluang dan masa yang diberikan Allah SWT kepada kita agar dapat dimanfaatkan untuk perkara-perkara yang berfaedah serta amal soleh. Bukankah Allah SWT telah mengingatkan kita tentang penjagaan masa seperti di dalam surah al-Asr ayat 1-3 iaitu:



Maksud: “Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.




Berdasarkan ayat ini telah menekankan dua prinsip asas iaitu berpesan dengan kebenaran dan berpesan dengan kesabaran. Kedua-dua konsep ini boleh dijadikan panduan kita untuk menjana kefahaman bagi memimpin diri untuk meneruskan tahun mendatang. Sudah semestinya kita semai budaya murni yang digariskan oleh Islam seperti amalan nasihat menasihati, berkata benar dalam setiap tindakan, merancang setiap usaha dengan garis panduan syarak, memastikan cara dan bentuk tindakan selari dengan panduan Islam. Bahkan segala urusan seharian kita haruslah dipastikan ianya benar-benar suci daripada segala kecelaruan dan keburukan tingkahlaku serta perbuatan.



Marilah kita mulakan tahun baru ini dengan menanamkan semangat menyampaikan sesuatu yang baik dengan penuh kebenaran. Kebenaran yang hakiki itu kadangkala menuntut kita bersikap yakin dan berani dalam setiap hal. Hayatilah ungkapan “Berkatalah benar sekalipun pahit” untuk menjadi satu semangat kepada kita bilamana berhadapan dalam setiap cabaran dan dugaan. Namun kata-kata benar yang hendak kita lafazkan haruslah berprinsip dan beretika. Kita juga hendaklah saling ingat mengingati untuk diri dan orang lain juga atas prinsip kebenaran. Maka jika timbal balik antara jiwa benar kita dituai, maka harapan untuk mencapai hakikat kebenaran dalam masyarakat boleh tercapai.



Marilah kita sama-sama menjana kembali semangat Islam dengan mata hati kita. Pemahaman dan jiwa yang luhur terhadap tanggungjawab sebagai insan yang dijadikan oleh Allah harus kita martabatkan bukan sahaja untuk diri sendiri malah untuk orang lain. Kejayaan yang kita ukir sepanjang hidup tidak harus kita raikan sendiri malah ianya mesti diraikan bersama dengan orang lain. Kita mulai semangat tahun baru ini dengan jiwa tawaduk, berusaha mempertingkatkan kualiti diri untuk mendapat keredaan Allah SWT. 

Percayalah bahawa dengan bermuhasabah, seseorang itu dapat mengelakkan diri daripada melakukan kesalahan yang sama untuk kali kedua,kerana orang muslim yang hebat adalah mereka yang dapat mempertingkatkan kualiti diri mereka dari masa ke semasa. Ingatlah pesanan sadina Umar al-khattab: Hitunglah diri kamu sebelum kamu dihitung, timbanglah amalanmu sendiri sebelum ia ditimbangkan untukmu, dan bersedialah untuk hari pembentangan amal yang besar, sesungguhnya hisab pada hari kiamat menjadi ringan bagi sesiapa yang melakukan muhasabah diri di dunia ini.

Sumber : Sedutan Khutbah JAKIM
  

Thursday, December 27, 2012

Tahniah ! Empat lagi sekolah Terengganu diiktiraf sebagai SBT

 
Tahniah, Imtiaz, Kuala Terenggau

Negeri Terengganu telah menambah jumlah sekolah yang diiktiraf sebagai  Sekolah Berprestasi Tinggi dalam Majlis Anugerah Pengiktirafan SBT di Putrajaya hari ini. Sekolah-sekolah yang menerima pengiktirafan berkenaan ialah SK Tengku Ampuan Intan, Hulu Terengganu, Imtiaz, Kuala Terengganu, SM Sains Sultan Mahmud, Kuala Terengganu dan Sekolah Berasrama Penuh Integrasi (SBPI) Batu Rakit, Kuala Terengganu. Keempat buah sekolah ini berasal dari Sekolah Kluster Kecemerlangan (SKK).


Pada kali ini 25 buah  sekolah diiktiraf sebagai SBT. Senarai penuh Sekolah yang diiktiraf sebagai SBT ialah Sekolah Menengah (SM) Sains Sultan Mahmud, Sekolah Berasrama Penuh Integrasi (SBPI) Batu Rakit, Kolej Sains Pendidikan Islam (SABK) dan Sekolah Kebangsaan (SK) Tengku Ampuan Intan di Terengganu, SM Sains Kepala Batas, SK Bertam Indah dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Union di Pulau Pinang.
SM Sains Pokok Sena, SK Sultanah Asma di Kedah, SM Sultan Haji Ahmad Shah dan SBPI Kuantan di Pahang, SM Sains Hulu Selangor di Selangor, SM Sains Labuan di Labuan; SBPI Selandar, SK Convent Infant Jesus (2), SK (P) Methodist 2, SJKC Yok Bin di Melaka.

Sekolah lain ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Ismail, SMK Infant Jesus Convent, SK Bandar Penawar 2, SK Bandar Maharani di Johor, SK Zainab 1 di Kelantan, SK Sri Gaya di Sabah, Sekolah Rendah Kebangsaan (SRK) Seri Indera di Perlis dan SJKC Ave Maria Convent di Perak.



Dengan pengiktirafan baru ini jumlah SBT Terengganu telah meningkat dari 5  buah (3 SR dan 2 SM) sebelum ini kepada 9 buah sekolah (4 SR dan 5 SM). Setiap sekolah akan menerima peruntukan khas SBT berjumlah RM700,000.00 dan peruntukan tambahan yang juga lumayan pada tahun-tahun berikutnya bergantung kepada kewangan kerajaan. Selain dari itu setiap guru dan kakitangan akan menerima imbuhan RM700.00 seorang bagi sekolah rendah dan sekolah menengah RM1,000.00

Bagi pihak Urusetia SBT dan Warga Pelajaran negeri Terengganu kita merakamkan setinggi tahniah kepada Guru Besar, Pengetua dan seluruh warga sekolah yang telah berusaha keras meletakkan sekolah masing-masing  hiraki tertinggi status sekolah dalam negera. Semoga inya menjadi dorongan dan inspirasi untuk sekolah-sekolah lain negeri Terengganu mengikuti denai perjuangan kalian. Di samping bergembira meraikan pencapaiannya jangan lupa mengatur strategi mengekalkan prestasi keseluruhan agar gelaran itu dapat dipertahan dan kekal terhormat.

Tahniah !

Sasaran Wujudkan SBT Di Setiap Negeri Dicapai, Kata Muhyiddin



PUTRAJAYA, 27 Dis (Bernama) -- Kerajaan berjaya mencapai sasaran dalam usaha membangun dan mewujudkan sekurang-kurangnya sebuah Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) di setiap negeri, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata, sehingga kini Kementerian Pelajaran berjaya mengiktiraf sebanyak 91 buah SBT, termasuk 25 buah SBT pada Khamis di bawah Program Transformasi Kerajaan (GTP) 1.0 dari 2010 hingga 31 Dis 2012.


"Berdasarkan kecemerlangan berterusan yang telah ditunjukkan oleh 66 SBT yang telah diiktiraf sebelum ini, pihak kerajaan telah bersetuju untuk melanjutkan pelaksanaan SBT dalam tempoh GTP 2.0 iaitu bagi tahun 2013 hingga 2015 dengan sasaran sepuluh SBT setahun.


"Ini bermakna jika terdapat sekolah-sekolah yang layak dan memenuhi kriteria pemilihan, jumlah SBT boleh menjangkau sekurang-kurangnya 130 SBT menjelang 2015," katanya pada majlis Pengiktirafan SBT Kohort 3 Tahun 2012, di sini.


Teks ucapan Muhyiddin dibacakan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran Datuk Dr Rosli Mohamed.


Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran mahukan SBT menjadi contoh kepada sekolah-sekolah lain dan membuktikan bahawa pelaksanaan sistem pendidikan di negara ini mampu berubah daripada prestasi sedia ada kepada prestasi setaraf dengan sistem maju seperti di Singapura dan Finland dalam tempoh yang terdekat.


Bagi mencapai hasrat itu, beliau mahukan semua murid khususnya di SBT menunjukkan prestasi cemerlang setanding dengan tanda aras mengikut piawaian antarabangsa seperti Trends in International Mathematics and Science Study (TIMSS) dan Programme for International Student Assessment(PISA) dengan penguasaan dalam Matematik, Sains dan Bahasa Inggeris.


Selain itu, katanya murid-murid juga perlu menguasai kemahiran berfikir aras tinggi seperti aplikasi, penyelesaian masalah dan penglibatan dalam ko-kurikulam serta pembangunan sahsiah.


Jelasnya pewujudan SBT merupakan pendekatan bagi memastikan semua murid -murid tanpa mengira aliran, bahasa serta kedudukan di bandar atau luar bandar mencapai kecemerlangan berterusan.


Pada majlis tersebut, kesemua 25 buah sekolah yang diiktiraf SBT menerima ganjaran RM700,000 bagi setiap sekolah (jumlah keseluruhan RM18.7juta).


Pengetua dan guru besar SBT mempunyai autonomi meluluskan Perancangan Bajet Peruntukan Khas SBT mengikut keperluan sekolah dalam bidang pembangunan modal insan, pengantarabangsaan, penyelenggaraan dan ubah suai kecil dan pembelian harta modal.


-- BERNAMA