" Cikgu , semalam Che Mat Sport cari cikgu", beritahu Norizam, Pembantu Tadbir sekolahku.
" Sebab apa dia cari saya?", tanyaku kembali pada Norizam gadis manis dari Kelantan itu. Semalam aku ada mesyuarat di PPD justru aku tidak hadir ke sekolah.
" Dia nak jumpa cikgu...dia kata anak dia takut cikgu nak datang sekolah", jelas Norizam.
" Macam mana keadaan dia ?", tanyaku pada Norizam inginkan penjelasan lanjut.
" Entahlah cikgu...macam nak marah je", beritahu Norizam...
Sudah enam bulan aku mengajar di sekolah felda ini. Felda yang baru dibuka dua tahun dahulu. Rata-rata peneroka baru muda-muda belaka. Infrastuktur masih daif. Tiada elektrik dan tiada air. Kami yang tinggal di kuarters adalah ganerator dan air yang dipam dari pam sekolah. Tetapi sesekali aku terjun sungai dekat kilang sawit bila keputusan air tangki.
Hampir semua peneroka terutama di Blok 1 aku kenal kerana blok mereka depan kuarters aku tinggal. Boleh kata semua murid, rumah dan keluarga mereka aku tahu kerana setiap petang aku akan ronda seluruh perkampumgan peneroka ini dengan Enduro 125 kesayangan aku. Aku tahu siapa kaki gedebe atau jagoh dalam perkampungan peneroka ini. Aku kenal baik dengan Abang Soh Rongak, Abang Jah, Mat Kayangan, Awi Bentayan dan Musa Mata Merah. Aku cuba mengimaginasi Mat Sport ini. Ayah kepada muridku. Kurus ceding dengan stail rambut sport. Muka nampak garang dan jarang senyum. Pencari kayu cendana yang handal dan asalnya Kelantan sama dengan aku sama dengan Awi Bentayan. Aku rasa lega sedikit. Orang Kelantan kalau berada di luar Kelantan mereka tidak pukul sesama sendiri.
Mat Sport selepas itu beberapa kali bertembung dengan aku tapi sekadar pandang dan tidak beritahu apa-apa. Anaknya Asmadi adalah muridku di kelas Tahun 1B. Asmadi kerap tidak datang sekolah. Bila dihantar ayahnya kerap cabut lari balik. Hingga akhirnya nenek beliau terpaksa menunggu di luar kelas baru dia akan lekat kekal di dalam kelas. Heran aku. Macam-macam cara aku buat untuk mengembirakan muridku Tahun 1B ini. Tidak jemu aku berguru dan mengendap pakar guru tahun satu arwah Cikgu Nik Omar mengajar. Habis segala ilmu dan seni saikologi aku gunakan tetapi aku gagal untuk kekalkan Asmadi di dalam kelas tanpa ditemani neneknya di luar kelas. Bukan sehari dua tapi berbulan lamanya. Pernah aku dan arwah Cikgu Nik Omar tutup pintu dan tingkap kelasku agar Asmadi boleh belajar tanpa pengawasan neneknya tapi gagal. Asmadi terbang bagai supermen ke tingkap dan memecahkan lima keping sekaligus.
Suatu pagi sewaktu Mat Sport menghantar Asmadi dan Asmadi berlegar tidak mahu masuk kelas aku menerpa ke arah Mat Sport dan memegang tangan dan membawa ke suatu sudut. Wajahnya nampak tegang dan tertekan mengenangkan Asmadi.
"Mat mu sayang dak ke anak mu", tanyaku sambil merenung matanya.
"Sapa dak sayang anak cikgu", beritahu Mat Sport sambil mengeluh.
"Ok kalu mu sayang ke anak mu, mu kena ikut cara aku", tegasku. Mat Sport merenung tajam dalam mataku tanpa berkelip.
" Lepas ni mu balik dan mu tunggu luar pagar sekolah. Kalu Asmadi keluar mu kena tegas dan pura-pura ugut nak pukul dia, lepas tu aku akan gi kat dia dan pujuk dia pergi kantin dan masuk kelas dan mu terus balik", terangku pada Mat Sport panjang lebar. Mat Sport bersetuju.
Mat Sport terus ke motorsikal dan keluar kawasan pagar sekolah. Entah dari arah mana Asmadi terus meluru laju mengejar ayahnya. Di depan pagar Mat Sport telah berdiri dengan sebatang kayu di tangan. Apabila Asmadi berada tiga puluh meter ke arahnya beliau bertempik, "Kalu mu balik hari ni aku tibang (pukul)mu" dengan mata bersinar penuh amarah. Tiba-tiba Asmadi berhenti serta-merta tidak berani rapat ke ayahnya . Aku segera mendapatkan Asmadi yang menggigil ketakutan. Aku peluk dan pujuk serta bawa ke kantin. Sambil itu dengan ekor mata aku lihat Mat Sport berasur keluar meninggalkan kawasan sekolah. Aku beritahu Abang Mat Pengusaha Kantin beri apa yang Asmadi hendak makan dan aku akan membayar. Hatiku sebak, di sudut mata air jerneh merembes keluar. Aku bersyukur.
Mulai hari itu Asmadi tidak perlu ditunggu lagi. Asmadi tidak mengejar motor ayahnya lagi untuk lari pulang. Asmadi mula seronok belajar dan berkawan. Dia sentiasa dalam perhatian dan pengawasan istimewaku. Aku beransur-ansur berubah agar jangan terlalu garang dengan murid-muridku.Mat Sport menjadi semakin rapat dengan aku dan sekolah.
Tahun-tahun berikutnya Asmadi semakin hebat menjadi ayam tambatan sekolah khususnya dalam acara bola sepak. Perhubunganku dengan ibubapa dan masyarakat semakin rapat dan menyeronok. Mereka adalah saudara, sahabat dan rakan yang sentiasa aku ingati.. Asmadi ke sekolah menengah dan akupun pula berpindah ke sekolah lain. Cerita pertukaran aku cepat merebak. Jawatankuasa Kemajuan Rancangan dan PIBG telah berjumpa PPD agar menahan pertukaranku. Tindakan mereka menyebabkan aku dipanggil untuk disiasat seolah aku menghasut orang kampung bila mereka memberi kata dua kepada PPD dan YB " Jika Cikgu ...... ditukar kami akan buat demo pada hari permulaan sekolah nanti". Aku minta PPD akur dengan arahan pertukaranku kerana JPN ada mission besar untuk aku bantu selesaikan di sekolah baru..
Setelah hampir duapuluh lapan tahun aku tidak tahu bagaimana kehidupan Asmadi muridku. Cuma aku harapkan kalau dia sudah menjadi seorang ayah dia harus mengajar dan memengertikan anak-anaknya bahawa marah seorang ayah, marah seorang guru adalah tanda kasih yang tidak bertepi......
Maklumat yang kami terima daripada Cg Marzuki Ibrahim bahawa watak utama dalam cerita di atas Asmadi bin Che Mat telah kembali ke rahmatullah tiga tahun dahulu kerana kemanlangan jalan raya. Alfatihah untuk Allahyarham Asmadi
ReplyDelete