Saturday, December 22, 2012

Sembang Sabtu : Tiada Kemenjadian Murid Tanpa Kemenjadian Guru

Seingat saya termalogi atau rangkaikata " kemenjadian murid" mula digunapakai oleh Dato' Cg Abd Rahim Tahir, mantan Pengarah Pelajaran Terengganu yang juga mantan Ketua Jemaah Nazir Malaysia. Seringkali dalam ucapan serta pidatonya yang hebat serta kertas penulisan beliau, termalogi "kemenjadian murid" diulang sebut dengan penuh pengertian biarpun tidak kurang suara dan wajah sinis memandangnya. Apabila beliau menjadi Ketua Jemaah Nazir "kemenjadian murid" diangkat menjadi salah satu fokus dalam Standard Kualiti Pendidikan Malaysia dan digunapakai hingga kini secara formaliti.

Secara mudahnya "kemenjadian murid" itu adalah "outcome" atau rupa bentuk insan yang kita mahu hasilkan dari  kerjabuat kita mendidik sama ada ianya benar-benar terjadi dengan sempurna, kurang sempurna atau tidak menjadi langsung. Rupa bentuk insan yang kita mahukan itu telah digaris secara sempurna dan bertulis dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

"Pendidikan di Malaysia adalah satu usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berakhlak mulia, bertanggungjawab, berketrampilan dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara."

Persoalannya apakah kemenjadian murid yang digariskan begitu murni dalam FPK ini telah kita capai dengan sempurnanya ? Atau baru nampak bayangnya ? Apakah fenomena sosio-budaya  dan amalan nilai dalam kehidupan generasi kita hari ini benar-benar mencapai kesempurnaan masyarakat berilmu dan bertamaddun ? Dan jika ianya ditafsir sebagai "kurang berjaya" siapa yang perlu dipertanggungjawab ? Dan apakah penyelesaian dan kesudahannya? Mampukah nanti negera kita mencapai Wawasan Negara Maju Tahun 2020?

Pada pandangan  kita penyediaan Plan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013 - 2025 yang memberi penekanan aspek kemenjadian murid melalui Aspirasi Murid dengan memberi enam ciri utama murid adalah usaha memantap dan memperkasakan lagi makna kemenjadian murid dalam FPK. Enam ciri utama murid yang dihasratkan:
  1. Murid yang mempunyai pengetahuan  
  2. Murid yang mempunyai kemahiran berfikir 
  3. Murid yang mempunyai kemahiran memimpin  
  4. Murid yang mempunyai kemahiran dwibahasa  
  5. Murid yang mempunyai Etika dan Kerohanian  
  6. Murid yang mempunyai Identiti Nasional  
Isunya apakah aspirasi yang murni itu mampu dicapai jika "kemenjadian guru" kita abaikan. Perumpamaan "bagaimana acuan maka begitulah kuihnya" dan "guru kencing berdiri, murid kencing berlari" adalah gambaran untuk menunjukkan  betapa besar pengaruh dan peranan guru dalam proses mendidik murid. Saya teringat dalam satu Pertandingan Menulis Puisi Hari Guru Negeri Terengganu Cg. Awang Abdullah memenangi tempat pertama dengan puisi yang membicarakan guru umpama arus sungai yang mengukir dan mencanai batu yang keras akhirnya menjadi tanah lanar yang subur. Saya yang memenangi tempat kedua pertandingan itu dengan puisi "Guru adalah sekumpulan hujan" juga membicarakan peranan guru dalam memecah dan menyaring potensi pelajar serta cabaran menuteralkan anasir  yang merosakan.

Dalam pengertian yang mudah tidak mungkin ada kemenjadian murid kalau kemenjadian guru tidak ada. Guru yang mampu mencanai potensi dan kemenjadian murid bukan guru yang hanya berkira-kira untuk naik gaji dan pangkat, yang balik berebut-rebut dengan murid, yang mengajar pakai "chalk and talk", yang ignoramus, yang paralaysis dan yang bukan melihat kerja mendidik sebagai kerja jihad dan perjuangan tetapi sekadar makan gaji. Guru yang tiada kemenjadian seperti ini tidak ikhlas dan tiada barakah. Mereka tidak akan mampu menitis ilmu ke dalam jiwa untuk muridnya berubah menjadi insan yang mencintai kebaikan dan membenci kemungkaran.

Justru amat tepat bila KPM akan memperbesarkan fungsi dan peranan PPD agar ada pegawai yang akan memberi bimbingan kepada guru-guru secara langsung di sekolah untuk menjadikan mereka sebenar guru supaya aspirasi kemenjadian murid dapat dicapai dengan sempurna. Kemenjadian guru yang sebenar adalah guru yang tahu, sedar dan bersengaja melaksanakan kerja buat justru guru adalah "the art and the scientific of teaching". Guru bukan sahaja penyampai ilmu, penjelas nilai dan pembina tamaddun tetapi juga sebagai pemudahcara, motivator, kaunselor, demonstrator juga adviser.

Guru yang menjadi dan berkesan di sekolah ialah guru yang sentiasa ceria, gembira dengan kerjanya, menghormati ketua, mematuhi arahan, senang bergaul, sentiasa memberi ,kerjasama,  sensitif dengan persekitaran dan dapat menjelmakan bakat serta kebolehan untuk kebaikan organisasi sekolah.

Sementara guru yang menjadi dan berkesan di dalam kelas ialah guru yang memahami dan kenal muridnya, seronok dan sukakan muridnya,menguasai kemahiran, mempelbagaikan kaedah, model yang disukai murid, sentiasa memberi motivasi dan kecindan.

Selepas ini apabila kita membicarakan soal "kemenjadian murid" maka kita jangan sekali-kali lupa bahawa kemenjadian murid hanya akan berlaku dengan adanya "kemenjadian guru" .

Dialah ibu dialah bapa juga sahabat
Alur kesetiaan mengalirkan nasihat
Pemimpin yang ditauliahkan segala umat
Seribu tahun katanya menjadi hikmat.

Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama yang mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini siapa sahaja menjadi dewasa;
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.

 

2 comments: