Saturday, December 1, 2012

Sembang Sabtu : Pemimpin mesti berjiwa besar

Seminggu ini saya agak sibuk dan dekat dengan pengurusan sekolah Asli. Sekurang-kurangnya tiga perkara besar mengenainya saya terlibat. Pertama menguruskan Taklimat  KEDAP (Kelas Dewasa Orang Asli Terengganu), kedua Mesyuarat Penyelarasan Pengurusan Sekolah Asli dengan KPM dan ketiga Mesyuarat Penyediaan Laporan Outcome KEDAP Kebangsaan. Ketiga agenda itu menyentuh secara langsung dan tidak langsung berkaitan kepimpinan. Dan dalam masa yang sama Kepimpinan UMNO sedang mengadakan PAU yag juga pastinya tidak terlepas membicarakan soal pemimpin dan kepimpinan.

Saya memilih tajuk di atas hasil cetusan  Pengarah Bahagian Penguruasan Sekolah Harian yang menyampaikan rumusan dialog bersama Pegawai KPM,JPN, PPD dan Guru Besar Sekolah Asli seluruh negara di Tower Regency Hotel, Ipoh beberapa hari lepas. Beliau telah memberi kupasan yang amat menarik tentang kepimpinan dan perjuangan. Menurut beliau pemimpin yang berjaya dan mampu membawa perubahan pemimpin yang berjiwa besar dan melaksanakan tugas dengan penuh amanah, iltizam dan perjuangan. Apalagi dalam konteks pendidikan khususnya pendidikan orang Asli, Guru Besar Sekolah Orang Asli mesti berjiwa besar untuk merancang, melaksana dan membawa perubahan kepada kesedaran dan pencapaian pendidikan di kalangan orang Asli dan peribumi kita. Masalah dan halangan harus dilihat sebagai peluang untuk mencipta penyelesaian yang penuh kreatif, inovatif dan penuh kebijaksanaan.

Sesungguhnya baik dalam medan mana sekalipun pemimpin yang berjiwa besar mampu menyerlahkan aura dan kebijaksanaan mempengaruhi pengikutnya melaksanakan visi dan misi dengan penuh komited, sedar dan bersengaja apa yang ingin dicapai. Saya teringat kata-kata mantan Ketua Jemaah Nazir yang juga mantan Pengarah Pelajaran Terengganu Dato' Cg. Rahim Tahir, " Hendak biarlah berupa". Maksudnhya pemimpin mesti jelas arah tuju dan apa yang hendak dicapai seakan tergambar dalam benak rupa bentuk keinginan kemenjadian yang bakal terjadi. Dengan yang demikian, mereka akan lebih mudah memimpin ahli-ahli oraganisasi atau pengikutnya mencapai apa yang diingini berasaskan kerangka pemikiran tersebut.

Sebagai kunci pemimpin yang berjiwa besar dan hebat sewajarnya memiliki dan menjelmakan TASK dalam kepimpinannya apalagi dalam konteks kepimpinan dalam organisasi sekolah. Setiap pemimpin yang berjiwa besar mesti mempunyai visi, misi atau wawasan atau gol (Target) yang jelas yang ingin dicapai. Wawasan yang jelas dan smart (specific, measureable, attainable, reasonable dan time boundary) bukan sahaja mampu merangsang jiwa pemimpin itu sendiri tetapi dapat dikomunikasi secara berkesan kepada pengikut mereka untuk bersama-sama sepasukan menjayakannya.

Selain dari itu pemimpin yang hebat berjiwa besar mesti mempunyai nilai, tingkahlaku, watak dan sikap (atitud) sebagai pemimpin. Kata Yang Berbahagia Dato' Haji Mazlan Mohamad, Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah Harian, KPM,"Pemimpin mesti tahu meletak diri di tempat yang betul dan hebat". Pemimpin mesti amanah dan penuh integriti. Kalau dia Guru Besar dia mesti bersifat, bersikap dan berwatak sebagai Guru Besar. Jangan sampai bertukar dengan tukang kebun. Atau tidak nampak aura sebagai pemerintah atau sebagai bos yang disayangi dan dihormati. Ingat kata penyair dunia terkenal Khalil Gibran dari Lubnan , "Raja yang tidak hendak memerintah negara tidak akan maju dan raja yang membiarkan rakyat hendak menjadi raja negara akan huru-hara".

Pemimpin yang berjiwa besar juga mesti memiliki  "multiple skill" sebagai pemimpin. Bukan hanya tahu mengarah semata-mata. Tetapi memiliki kemahiran dalam kerja buat kepimpinannya. Mahir berkomunikasi agar jelas dan tidak mengelirukan. Mahir membuat pertimbangan dan keputusan agar mampu memberi keuntungan dan impak maksima kepada organisasi. Mahir berucap sebagai media menyampai dan mempengaruhi. Dalam bahasa mudah mereka mesti mahir dan ahli sebagai pemimpin untuk menjadikan mereka sebagai pemimpin rujukan. Bukannya sebagai pemimpin siaran , hanya tahu bercakap tapi tidak tahu buat atau sebagai pemimpin sialan kata Prof. Syed Naqiub Alatas yang bila diberi amanah tidak tahu buat dan mengkhianatinya.

Pemimpin yang berjiwa besar juga mesti berilmu (knowlage) yang meluas dan mendalam agar aura dan keberkatan ilmunya mampu merubah minda dan jiwa orang yang dipimpin. Bukan sahaja berpengetahuan tentang bidang kerja buat pengurusannya tetapi juga berpengetahuan pelbagai disiplin dan bidang. Pemimpin yang tinggi ilmunya akan merancang, melaksana dan menyelesai masalah dengan ilmunya bukan secara it (ikut terlintas) dan secara emosi.

Sebagai kesimpulan saya perturunkan ungkapan yang selalu kita baca atau dengar seperti di bawah dan diam-diam kita berintrospeksi dalam kategori manakah kita berada;

Orang yang berjiwa besar, sentiasa memikirkan pelbagai idea besar,
Orang yang berjiwa kecil , sentiasa membicarakan kehebatan orang lain
Orang yang biasa-biasa, sentiasa mengulas isu dan peristiwa
Orang yang berotak kecil, sentiasa menganggap dialah yang paling hebat.


No comments:

Post a Comment