Seminggu ini lapan puluh buah sekolah pelbagai kategori terpilih untuk dipantau persediaan oleh pegawai-pegawai Bahagian Pengurusan Sekolah Harian, Kementerian Pelajaran Malaysia. Kemudian bermula 27 Dis 2012 hingga 5 Januari 2012 kami difahamkan semua pegawai perhubungan sekolah perlu memantau sekolah angkat masing-masing pula. Saya pada pagi ini berkesempatan mengiringi Tuan Haji Abdullah Zubir Othman, Pegawai dari Sektor Rendah, BPSH melakukan pemantauan di dua buah sekolah di daerah Dungun. Dua sekolah berkenaan ialah di SJKC Chee Mon dan SK Kompleks Rantau Abang.
Secara umumnya tahap persediaan kedua sekolah ini menghadapi sesi persekolahan depan berada pada 80% sahaja. Jadual Waktu Guru dan Kelas, Takwim Aktiviti Sekolah dan panduan dan senarai tugas telah disiapkan. Manakala perancangan strategik, tektikal dan operasi masih belum ada. Susunan dan kekemasan bilik khas, kantin, papan kenyataan, pejabat masih belum nampak tersusun, ceria serta keghairahan untuk menyambut tahun baru persekolahan. Biarpun ada ditentukan bila tarikh mesyuarat guru dan pendaftaran pelajar namun surat arahan mesyuarat belum dikeluarkan secara rasmi.
Tahniah kepada kedua sekolah ini kerana telah menunjukkan persediaan menghadapi persekolahan depan. Bagaimanapun banyak lagi perkara yang boleh ditambahbaik dan dipertingkatkan terutama perkara-perkara kecil dan dianggap remeh tetapi memberi kesan besar kepada panorama dan imej pengurusan kita seperti susunan dan kekemasan. Jika keadaan ini dibiarkan seolah-olah menunjukkan kepada kita Amalan 5S tidak dihayati langsung di peringkat sekolah. Barangkali persoalan persediaan ini akan nampak lebih kemas jika kita bersedia merujuk instrument yang diberi atau kita mempunyai "Senarai Semak' persediaan sebagai panduan . Misalnya seperti di bawah :
- Surat panggilan mesyuarat guru (sudah / belum)
- Surat makluman pendaftaran kepada ibu bapa dan guru bertugas ( sudah / belum)
- Jadual Guru Bertugas masa pendaftaran (sudah / belum)
- Jadual waktu kelas dan guru (sudah / belum)
- Buku Manual Tugas dan Senarai Tugas ( sudah/belum)
- Mengemas kelas ( sudah / belum)
- Mengemas bilik khas ( sudah / belum)
- Potong rumput (sudah / belum)
- Pengurusan papan kenyataan ( sudah / belum)
- Senarai kehadiran guru dan staf 2013 (sudah / belum)
- Senarai nama guru dan staf 2013 ( sudah / belum)
Kita sangat yakin kepercayaan ibubapa kepada caragaya pengurusan kita akan sentiasa tinggi apalagi pada hari pertama persekolahan mereka melihat kesempurnaan perjalanan persekolahan dan anak mereka sudah mula belajar dengan teratur. Harus diingat sesuatu pelaksanaan yang teratur dan sempurna datang dari perancangan yang kemas dan rapi bukannya "perancangan secara it" (perancangan ikut terlintas).
Kita berharap semua pengurus sekolah tidak mengambil mudah dan ringan perkara ini kerana jika timbul isu berbangkit kemudiaan hingga gagal memulakan "First day, First bell dan First lesson" dengan sempurna maka anda akan dipertanggungjawabkan. Kita amat yakin tiada pengurus sekolah yang hebat dan rasional membiarkan secara sedar dan bersengaja mencalar imejnya sendiri. Semoga niat kita yang ikhlas, usaha kita yang gigih melorong Allah permudahkan segala urusan kita menghadapi persediaan persekolahan 2013.
No comments:
Post a Comment