Dua hari lagi, Insyaallah kita akan memasuki tahun baru 2013 serentak dengan permulaan sesi persekolahan baru. Mungkin segala persediaan bagi menghadapi tahun baru dan sesi persekolahan telahpun siap sedia terutama kepada ibubapa, pelajar ataupun pengurusan sekolah yang mana sekolah mereka tidak terlibat dengan banjir. Lumrahnya tiap kali memasuki era baru, semangat di dada berkobar-kobar biarpun kadangnya umpama buih coca-cola yang baru dituang ke dalam gelas. Separuh berjejak di alam nyata separuh lagi merewang di alam fatamorgana.
Apapun dalam keghairahan melangkah tahun dan sesi baru wajar sekali kita menoleh ke belakang menghayati dengan mata hati catatan sejarah yang kita telah tinggalkan dalam alur hidup dan kerjaya kita. Adakah KPI yang kita gariskan tercapai seoptimanya atau separuh atau suku paruh sahaja ? Adakah perancangan yang kita buat bagai hendak pecah kepala dapat dilaksana dengan jayanya dan kita melihat hasil atau outcomenya ? Adakah usaha yang kita buat bagai nak rak telah memberi pulangan lumayan atau hanya sekadar gempak tapi hasil habuk pun tarak, hanya sekadar mengulangi tradisi ketulaan berpanjangan.
Kalau kita pengurus dan pemimpin sekolah (Guru Besar atau GPK) adakah berlaku anjakan ke arah yang lebih baik segala aspek persekolahan dan kualiti pengurusan kita.? Adakah kita semakin berilmu dan faham selok-belok pengurusan sekolah sebenar termasuk mengurus keperluan manusia yang ada di dalamnya? Adakah kita semakin cekap dan mahir dalam membuat keputusan, komunikasi dan sebagainya ? Adakah nampak tanda atau "ain" bahawa cara kita memberi impak kepada pembangunan organisasi dan peningkatan pencapaian ? Atau kita semakin dibenci dengan jumlah musuh dan penentang semakin bertambah dari hari ke sehari ? Perhati dan tilik takkul agar mana yang lompang dapat ditampung, mana yang senget dapat ditegakkan.
Kalau kita guru mata pelajaran adakah KPI subjek kita tercapai sasarannya ?Berapa ramai murid kita menjadi dari segi intelek, rohani, jasmani, emosi dan sosial serta spritualnya ?Adakah murid kita semakin cergas dan cerdas atau semakin moyok dan lembab ? Adakah kaedah yang kita guna telah membantu atau sekadar ruberstamp dari kaedah, rancangan pelajaran yang lepas-lepas ? Adakah kita tidak merasa susah hati dan sukar untuk tidur apabila gaji naik dan dapat setiap bulan tapi prestasi murid berada pada batas ketulaan berterusan? Apakah berbaloi usaha yang kita buat, upah yang kita dapat dengan outcome aka kemenjadian murid yang diharapkan ?
Kita menyorot dan bertanya banyak perkara adalah sebagai ketukan untuk membuka pintu kesedaran dan keinsafan kita agar jangan mengulangi kelemahan dan kesilapan lalu berulangkali pada tahun baru.Nabi berpesan orang yang paling tidak cerdik kalangan kita adalah mereka yang mengulangi kesilapan yang sama lebih dari sekali. Lagipun apalah makna dan ertinya tahun baru dan sesi baru kalau cuma semangat dan azam sahaja baru tetapi pemikiran, atitud dan amalan kita masih terpenjara dalam tradisi lama, lapuk dan merugikan. Kita mahu satu revolusi dan transformasi minda menyeluruh agar perubahan sebenar tahun baru dan sesi baru benar-benar bermakna dan membuahkan hasil yang baru, yang lebih baik dari sebelumnya.
Kita berdoa dan berharap apa yang kita azam dapat direncana dalam perancangan, dapat dilaksana dengan berkesan dan dinikmati hasilnya kemudian bukan sekadar ilusi semata-mata. Manusia yang hebat adalah manusia yang mampu mengawal dan mengolah persekitaran bukannya hanyut mengikut arus dan ditentukan persekitarannya akan untung nasibnya.
"Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh
kepada yang makruf, dan mencegah dari yang munkar, dan beriman kepada
Allah. (QS. Ali 'Imran : 110)"
Selamat Menyambut Tahun Baru dan Sesi Persekolahan Baru, semoga tahun 2013 lebih baik dari tahun sebelumnya.
No comments:
Post a Comment