Thursday, December 27, 2012

Sasaran Wujudkan SBT Di Setiap Negeri Dicapai, Kata Muhyiddin



PUTRAJAYA, 27 Dis (Bernama) -- Kerajaan berjaya mencapai sasaran dalam usaha membangun dan mewujudkan sekurang-kurangnya sebuah Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) di setiap negeri, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata, sehingga kini Kementerian Pelajaran berjaya mengiktiraf sebanyak 91 buah SBT, termasuk 25 buah SBT pada Khamis di bawah Program Transformasi Kerajaan (GTP) 1.0 dari 2010 hingga 31 Dis 2012.


"Berdasarkan kecemerlangan berterusan yang telah ditunjukkan oleh 66 SBT yang telah diiktiraf sebelum ini, pihak kerajaan telah bersetuju untuk melanjutkan pelaksanaan SBT dalam tempoh GTP 2.0 iaitu bagi tahun 2013 hingga 2015 dengan sasaran sepuluh SBT setahun.


"Ini bermakna jika terdapat sekolah-sekolah yang layak dan memenuhi kriteria pemilihan, jumlah SBT boleh menjangkau sekurang-kurangnya 130 SBT menjelang 2015," katanya pada majlis Pengiktirafan SBT Kohort 3 Tahun 2012, di sini.


Teks ucapan Muhyiddin dibacakan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran Datuk Dr Rosli Mohamed.


Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran mahukan SBT menjadi contoh kepada sekolah-sekolah lain dan membuktikan bahawa pelaksanaan sistem pendidikan di negara ini mampu berubah daripada prestasi sedia ada kepada prestasi setaraf dengan sistem maju seperti di Singapura dan Finland dalam tempoh yang terdekat.


Bagi mencapai hasrat itu, beliau mahukan semua murid khususnya di SBT menunjukkan prestasi cemerlang setanding dengan tanda aras mengikut piawaian antarabangsa seperti Trends in International Mathematics and Science Study (TIMSS) dan Programme for International Student Assessment(PISA) dengan penguasaan dalam Matematik, Sains dan Bahasa Inggeris.


Selain itu, katanya murid-murid juga perlu menguasai kemahiran berfikir aras tinggi seperti aplikasi, penyelesaian masalah dan penglibatan dalam ko-kurikulam serta pembangunan sahsiah.


Jelasnya pewujudan SBT merupakan pendekatan bagi memastikan semua murid -murid tanpa mengira aliran, bahasa serta kedudukan di bandar atau luar bandar mencapai kecemerlangan berterusan.


Pada majlis tersebut, kesemua 25 buah sekolah yang diiktiraf SBT menerima ganjaran RM700,000 bagi setiap sekolah (jumlah keseluruhan RM18.7juta).


Pengetua dan guru besar SBT mempunyai autonomi meluluskan Perancangan Bajet Peruntukan Khas SBT mengikut keperluan sekolah dalam bidang pembangunan modal insan, pengantarabangsaan, penyelenggaraan dan ubah suai kecil dan pembelian harta modal.


-- BERNAMA


No comments:

Post a Comment