Sunday, December 23, 2012
Anekdot : Suriana dan Kamarul muridku...
" Assalamualaikum cikgu ", sapa seorang gadis kecil molek berkulit hitam manis.
" Walaikumussalam", jawabku bersahaja sambil menyuapkan makanan ke mulut
" Cikgu tidak kenal saya? ", tanyanya seakan bersungguh.
Aku menoleh dan merenungnya sambil tersenyum. Aku berhenti menyuapkan makanan seketika.
" Sudah dua hari saya perhatikan cikgu", katanya untuk memperjelaskan keadaan.
Ya sudah dua hari aku masuk ke Pusat Kokurikulum Negeri ini bagi melaksanakan tugasku sebagai pemudahcara kursus bagi kumpulan pelajar ini. Pusat Kokurikulum Negeri ini bukan asing bagi aku. Entah kali ke berapa aku datang, aku lupa. Seingatku dari jalan tanah merah yang licin berselut dan tayar kereta berputar ligat tempat yang sama hingga jalan bertar aku datang ke pusat ini sama ada sebagai peserta dan juga pengendali kursus sebagai pemudahcara sesi LDK. Dan sejak dua hari lalu aku perasan juga yang jurulatih kecil molek ini selalu memandang dan tersenyum padaku.
Aku merenung matanya. Beransur ingatan dari iras wajahnya kepada salah seorang muridku. Setiap pagi aku perhatikan dia yang kecil dan kurus dihantar oleh ayahnya yang berkaca mata dengan motorsikal Yamaha 80 berwarna merah. Masa itu kalau yang pakai kereta di tanah rancangan ini hanya kereta terpakai. Tiada siapa yang mampu untuk membeli kereta baru bahkan motorsikal baru. Zaman meleset yang parah. Tidak sedikit ada yang ambil barang kat kantin dan jual dengan harga murah di luar untuk dapatkan wang tunai bagi urusan belanja sekolah anak. Kadangnya hendak minta yuran sekolahpun tidak sanggup. Aku sangat faham keadaan itu kerana aku juga pernah miskin dan susah. Dan kerana kesusahan itulah aku belajar dan akhirnya berjaya menjadi cikgu.
" Awak ni Suriana Zulkiflikan. Sekolah Kebangsaan Felda...........", kataku lancar sambil melihat reaksinya.
Dia cukup terpana dan terharu bagaimana aku yang telah hampir duapuluh tahun masih ingat namanya dengan tepat serta menggambarkan situasinya masa kecil. Matanya berkaca. Di hujung kelopak matanya merembes air jernih. Gembira dan terharunya bukan kepalang kerana seorang guru seperti aku masih mengingatinya yang bukannya pelajar hebat dan terkenal. Aku sendiri lupa sama ada pernah mengajarnya atau tidak. Yang pasti aku melihatnya setiap pagi apabila dihantar oleh ayahnya.
Setelah keadaan tenang aku bertanyakan keadaannya. Rupa-rupanya beliau telah bertugas di sekolah di mana beliau belajar dahulu dan telah mendirikan rumahtangga. Beliau memberitahu aku ada beberapa bekas muridku yang menjadi guru, peguam dan ramai yang lulus hingga ke universiti. Dalam hati kecilku menyelinap rasa syukur dan bangga kerana ramai muridku yang berjaya. Setidak-tidaknya aku yang menyaksikan sendiri susah-payah ayah ibu mereka pasti bangga dan berbaloi menyekolahkan anak mereka. Aku memberitahu akan ke sekolahnya untuk mendapatkan maklumat bekas pelajarku yang berjaya dan juga melihat kembali denai kenangan dan pengalaman yang ku tinggalkan di sekolah itu.
Selepas itu aku tidak pernah lagi bertemu Suriana. Kebetulan bila aku ditempatkan di Jabatan Pelajaran Negeri masaku agak terhad jadi aku kurang aktif lagi dengan program ceramah dan motivasi walaupun banyak permintaan. Suatu hari aku bertemu dengan Wahab Lori di suatu majlis kenduri. Wahab Lori adalah satu-satunya antara peneroka yang ada lori untuk mengangkat buah kelapa sawit . Kebetulan anaknya Kamarul adalah anak muridku yang menjadi penguam syarie di Kuala Terengganu. Aku pernah beberapa kali bertemu dan minum bersamanya. Beliau pernah mengajak aku ke firma guamannya tapi aku belum berkesempatan.
"Cikgu , Kamarul dah tak ada", beritahu Wahab Lori. Aku yang kurang mengerti bertanya, " Dia pergi mana Hab"...
" Meninggal hampir dua minggu lepas', beritahunya dalam nada sebak. Matanya mula berkaca.
"Innalillah", spontan jawabku terkejut.
Wahab Lori memberitahukan kemungkinan Kamarul terkena virus atau disyaki kencing tikus..Aku teringat-ingat hampir tingga minggu lepas aku bertemu dan bertegur sapa di sebuah kedai makan. Aku kemudian bercerita tentang kejayaan beberapa orang muridku termasuk Suriana kepada Wahab Lori.
"Suriana pun dah tak ada cikgu, dah meninggal", cetus Wahab Lori.
"Meninggal ? Innalillah", sambutku terperanjat. "Sakit apa?", tanyaku pada Wahab Lori.
"Dia sakit lama dah cikgu, selalu refer hospital...lukimia ke apa saya dok reti", balas Wahab Lori.
Balik ke rumah aku termenung mengenangkan arwah Suriana dan arwah Kamarul. Terbayang di ruang mata wajah mereka di saat pertemuan terakhir kami. Tanpa sedar dadaku sebak dan airmata mengalir. Sesungguhnya Allah sayangkan kamu Suriana dan Kamarul. Alfatihah.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment