Tuesday, December 11, 2012

Anekdot : Ina muridku

" Mana biliknya yer", tanyaku kepada sekumpulan guru perempuan yang siap menunggu untuk satu temuduga.
" Sebelah sini tuan", beritahu salah seorang antara mereka. Aku memandangnya dengan senyum. Aku terpaku seketika seakan pernah melihatnya. Tapi di mana ye. Aku cuba mengingatinya di mana. Namun semua berbalam seperti kehadiran malam di hujung senja.

Aku masuk ke bilik temuduga. Aku kemaskan peralatan dan dokumen yang perlu sementara menunggu ahli panel yang lain. Sesekali wajah guru yang manis itu menyentuh pintu kamar ingatanku. Siapa ? Di mana ? Buah persoalan menerpa benak.

Setelah semua tersedia, kumpulan pertama dipanggil dan guru yang manis itu ada bersama. Tidak banyak latar belakang yang diungkai lewat soalan-soalan yang dikemukan sahabat panel. Walau bagaimanapun aku perhatikan tiap persoalan, tutur bicaranya menyerlahkan kematangan dan kebijaksanaan. Kadangnya agak melawan arus dari pandangan dan pemikiran umum. Sesekali aku teringat pesan sahabat lama, kalau kita mahu kelihatan hebat kita mesti keluar dari kebiasaan umum dan berdiri dalam dimensi baru. Sesekali ada benarnya bila kita melihat dari sudut pandang berbeza maka tampak pemikiran yang berbeza walaupun sebenarnya objek sutnya adalah sama.

Secara jujurnya aku mengkagumi pakej yang dia miliki. Bukan sahaja cantik,ceria tetapi matang dan bijak. Siapa dia ? Terasa seperti pernah lihat dan pernah kenal tapi di mana? Persoalan-persoalan terus menendang ingatan silam. "Terima kasih Cikgu........" sewaktu dia berjalan keluar dengan menyebut namaku menyentapkan lagi perasaanku. Seolah-olah dia amat kenal aku. Tapi siapa dia....

" Helo cikgu " suara seorang perempuan dihujung talian dengan nombor yang tiada dalam contac handponku.
"Helo siapa", tanyaku
"Cikgu saya dah jangka itu cikgu...apa lagi bila dengar suara cikgu", jelas perempuan di hujung sana. Aku mula dapat menebak bahawa guru perempuan yang kutemuduga tadi dan ingatanku kepada suatu nama yang sama duapuluh tahun dulu kembali menerjah ingat...Ina bekas pelajar yang mengikuti Program Motivasiku.
Aku mula kemukakan beberapa peristiwa yang masih segar dalam ingat. Beliau mula sendu dan kehairan macam mana aku mampu mengingatinya. Ya Tuhan masih berikan aku daya ingat yang masih kuat biarpun telah melewati setengah abad.

Perlahan arca ingatan hampir dua puluh tahun dulu memenuhi kamar ingatan. Aku masih ingat hujung minggu itu kumpulan kami dikehendaki melaksanakan program motivasi di SM ini. Pengetuanya nampak sinikal dengan program ini  maklumlah justru kerana merasa dirinya hebat. Aku telah diberi satu kumpulan dan Ina berada dalam kumpulan itu. Ina yang lembut, manis dan comel pelajar Tingkatan 6 Atas. Sebenar setelah terlibat dengan kumpulan di bawah naungan JPN hasil daripada latihan dengan BTN rutin ini biasa bagi aku. Bukan sahaja pelajar, belia, kakitangan kerajaan telah aku temui. Aku akan berikan latihan terbaik dalam LDK untuk mereka. Pengalaman sebagai pemidato, pemain teater, pendebat serta deklamator banyak membantu.Ina dan rakan-rakan yang penuh ambisi  untuk ke universiti bersemangat mengikuti latihan ini.

Selepas sesi motivasi Ina ada menghubungiku beberapa kali dan  selepas gagal ke universiti Ina bekerja dengan satu company di pekan K. Kali terakhir Ina hubungi aku mengatakan beliau akan berkahwin. Aku doakan beliau bahagia dengan pilihan dan jalan hidupnya. Kami terputus hubungan hinggalah tiba detik ini
Ina sudah bergelar seorang guru. Aku mengucapkan syukur beliau berada di tahap ini dan bahagia dengan suami dan lima cahaya mata...

Ina gadis manis yang lampai berdiri di depan murid-muridnya adalah pelajarku suatu waktu dulu. Terima kasih muridku kerana masih mengingatiku sebagai gurumu...


1 comment:

  1. Terima kasih juga untuk guru yang masih mengingati muridnya...

    ReplyDelete