Friday, October 19, 2012

Teliti semula sistem IPGM

BANGI: Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, sistem dan organisasi Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) perlu disemak semula agar matlamat melahirkan warga pendidik berkualiti dan terbaik mampu dicapai.

Timbalan Perdana Menteri berkata, antara perkara yang wajar diberi perhatian adalah penambahbaikan berterusan sistem pengurusan, pentadbiran, modul latihan serta kemudahan prasarana.

“Saya meminta pihak atasan IPGM bersama pengurusan tertinggi Kementerian Pelajaran meneliti semula perkara ini.

“Kita perlu mewujudkan satu persekitaran kerja kondusif dan terbaik terutama bagi warga kerja IPGM dan persekitaran pembelajaran yang selesa kepada siswa pendidik,” katanya pada majlis perjumpaan bersama siswa pendidikan IPGM serta penyerahan Kad Diskaun Siswa 1Malaysia (KADS1M) di sini, semalam.

Teks ucapan beliau dibacakan Ketua Pengarah Pelajaran Tan Sri Abd Ghafar Mahmud.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, pada masa sama beliau berharap IPGM terus relevan dalam melatih dan melahirkan guru berwibawa dan cemerlang.

Sempena penyerahan KADS1M kepada 1,500 siswa IPGM semalam, beliau turut menyeru penerima menggunakan kemudahan itu sebaik-baiknya dan bukan untuk bermewah-mewah.

“Gunakanlah ia untuk mendapatkan pulangan setimpal dengan pelaburan dilakukan agar setiap sen yang dibelanjakan boleh memberikan hasil diharapkan,” katanya.

Dengan adanya KADS1M yang menawarkan diskaun antara lima hingga 60 peratus di premis perniagaan terpilih, Muhyiddin berkata, siswa memperoleh pelbagai keperluan dengan harga yang rendah dan terbaik.

Antara sektor perniagaan yang terbabit ialah buku, alat tulis, pakaian, kesihatan, peruncitan, makanan dan minuman, pengangkutan, produk IT dan produk automotif.

Sehingga kini, 231 syarikat (2,414 outlet) termasuk koperasi bersetuju menyertai inisiatif itu bagi membeli barangan dan perkhidmatan terpilih.

“Inisiatif disediakan ini untuk meringankan beban rakyat serta memastikan generasi muda mendapat kemudahan sewajarnya,” katanya.- Bernama

No comments:

Post a Comment