Thursday, October 11, 2012

Muhyiddin: Sekolah satu sesi selepas 2017

KUALA LUMPUR - Sistem satu sesi persekolahan dijangka dapat dilaksanakan sepenuhnya di seluruh negara dalam tempoh lima hingga 10 tahun, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, buat masa sekarang, kurang 20 peratus daripada keseluruhan sekolah di seluruh negara yang masih mengamalkan sistem persekolahan dua sesi.

Katanya sejak sekian lama, kerajaan mahu melaksanakan sistem satu sesi di seluruh negara kerana ia lebih sesuai untuk pembelajaran di negara ini tetapi perlu menambah bilangan bilik darjah dan mengatasi masalah kekurangan guru.

"Bilangan bilik darjah jadi masalah kerana di sesetengah tempat kita tidak meramalkan bilangan pelajar meningkat dengan begitu besar sekali. Jadi, terpaksa diadakan dua sesi iaitu pagi dan petang," katanya kepada pemberita selepas membuat tinjauan peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) di Sekolah Menengah Kebangsaan Gombak Setia, di sini.

Muhyiddin berkata, pelaksanaan sistem persekolahan satu sesi penting kerana tempoh masa boleh dilanjutkan dengan menambah satu atau dua jam untuk mata pelajaran Matematik, Sains atau Bahasa Inggeris.

"Itu mudah dilakukan kerana mereka tidak perlu pulang lebih awal seperti yang dilakukan oleh sekolah-sekolah swasta. Aktiviti kokurikulum juga dapat diadakan pada waktu petang sekiranya sistem persekolahan satu sistem dilaksanakan," katanya.

Muhyiddin berkata Laporan Awal Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 juga mensasarkan pelaksanaan sistem persekolahan satu sesi sepenuhnya sekiranya mendapat peruntukan yang besar.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata peperiksaan bagi pelajar Tingkatan Tiga akan dibuat melalui penilaian sistem Pentaksiran Berasaskan Sekolah (SBA) apabila PMR dimansuhkan pada 2014.

Muhyiddin berkata selepas ini, hanya ada dua peperiksaan utama diadakan iaitu Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) pada peringkat rendah dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada peringkat menengah.

"Setiap pelajar masih boleh diukur tahap pencapaian pelajaran mereka menerusi peperiksaan SBA yang dikendalikan oleh sekolah. Tetapi, ia masih lagi dipantau oleh Lembaga Peperiksaan agar soalan yang disediakan itu berkualiti dan dapat ukur kejayaan pelajar," jelas beliau.

Muhyiddin berkata, langkah ini juga membolehkan ibu bapa mendapat maklumat terkini prestasi anak mereka dalam menguasai bidang pelajaran mereka.

Mengulas lanjut, beliau berkata pengambilan pelajar tingkatan empat ke sekolah berasrama penuh dan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) tidak akan dihentikan walaupun PMR akan dimansuhkan pada 2014.

"Pelajar cemerlang dan latar belakang ibu bapa yang miskin akan diberi keutamaan untuk mendapat tempat di sekolah berasrama penuh dan ini telah dimulakan sejak tahun lepas," katanya.

Seramai 481,424 calon menduduki PMR di 3,560 pusat peperiksaan di seluruh negara mulai Isnin lepas hingga 16 Oktober ini. - Bernama



0 ulasan:

Post a Comment