Monday, October 29, 2012

Bengkel Pemurnian dan Penilaian Panel iGPK32,2013

KUANTAN - Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu melalui urus setia iGPK32, Unit Sekolah Rendah mengadakan bengkel berkaitan bagi menilai calon-calon guru DGA32 yang dicadang dan diluluskan panel PPD untuk temuduga. Bengkel ini adalah sebahagian proses kerja untuk memilih dan melantik mereka yang berkelayakan dan bersesuaian memegang jawatan hakiki sebagai GPK atau Penyelia di PPD dan JPN pada tahun 2013. Bengkel yang bermula 29 - 31 Oktober 2012 di Holiday Villa, Cherating Beach Resort dihadiri oleh Timbalan PPD, Penyelia Kanan Pengurusan Sekolah PPD, Ketua Unit Sekolah Rendah dan para pegawai Unit Sekolah Rendah.

En. Zakariah Ali, Ketua Sektor, Sektor Pengurusan Sekolah dalam ucaptamanya mengingatkan ahli-ahli panel agar melakukan pemilihan dengan teliti untuk memilih calon yang benar-benar layak dan sesuai. Tambah beliau pemilihan GPK adalah "turning point" ke arah memilih calon Guru Besar pada masa hadapan. Tegas beliau kalau kita pilih calon GPK yang lemah maka kita akan mewarisi sekolah kepada bakal guru besar yang juga lemah. Selain itu, tegas beliau lagi bila kita memilih dengan penuh integriti maka isu-isu yang dipersoalkan khalayak dapat diatasi. Apa yang penting tegas beliau, kita buat kerja betul dengan betul dan penuh keikhlasan kerana Allah SWT.

Bengkel ini adalah siri ketiga setelah KPM menurunkan kuasa kepada Pengarah Pelajaran Negeri untuk melaksanakan pengisian GPK dan jawatan-jawatan setara gred hakiki DGA32 mulai tahun 2010. Pihak PPD telahpun menubuhkan panel dan telah menyaring di peringkat masing-masing. Bengkel ini digunakan oleh panel peringkat negeri untuk menilai setiap calon pilihan PPD yang berkelayakan masuk saringan temuduga yang akan diadakan pada awal November nanti. Pemilihan ini selain memenuhi kreteria yang ditetapkan juga mengambil kira keperluan kekosongan GPK setiap daerah pada tahun 2013. Pada tahun 2013 dianggarkan 60 kekosongan jawatan GPK di seluruh negeri.

Satu fenomena baru muncul dalam penawaran iGPK32 bagi tahun 2013 di mana jumlah guru yang memohon bagi semua daerah telah menurun. Ada sesetengah daerah calon yang memohon tidak cukup menampung keperluan. Kekurangan permohonan ini mungkin disebabkan peluang baru untuk guru ke DGA34 (KUP) secara Time-Base selain barangkali "kegerunan" guru menjawat jawatan GPK berikutan beban dan cabaran besar yang dihadapi rakan-rakan.  Situasi ini adalah petunjuk jelas bahawa pihak KPM perlu melakukan tranformasi bagi mengangkat gred hakiki Guru Besar dan GPK ke gred lebih tinggi. Gred yang ada sekarang sudah tidak relevan dan kurang diminati lagi.

Kita berharap melalui bengkel dan proses kerja pengisian iGPK32 ini kita dapat mengisi jawatan pasukan pengurusan sekolah rendah Terengganu dengan mereka yang hebat dan berwibawa.


2 comments:

  1. Assalammulaikum,

    Sekadar ingin sedikit kepastian, kami di PKG layak atau tidak untuk memohon menjadi GPK atau Penyelia di PPD dan JPN.

    Sekian

    ReplyDelete