Saturday, October 6, 2012

10,715 berpeluang


KUALA LUMPUR: Graduan Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) dan Institut Pengajian Tinggi Awam (Pendidikan) yang menamatkan pengajian tahun ini, berpeluang dilantik ke jawatan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah (PPPS).

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pelajaran berkata, pelantikan itu tertakluk kepada mereka yang memenuhi syarat skim perkhidmatan PPPS, memohon kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran (SPP) dan berjaya dalam temu duga kendalian SPP.

Mengikut rekod kementerian, 10,715 penuntut program pendidikan sudah dan akan menamatkan pengajian tahun ini.


Daripada jumlah itu, 2,960 graduan menamatkan pengajian sebelum 1 Julai dijadualkan untuk ditemu duga SPP, katanya dalam kenyataan semalam.

Mereka yang terlibat 2,478 daripada program J-Qaf; program TESL (368); Program Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI), Institut Pendidikan Guru Malaysia, Institut Pengajian Tinggi Awam (Pendidikan) dan Program Pelajar Cemerlang (90); Program Bahasa Perancis (14) dan 10 calon mengulang temu duga berdasarkan keperluan opsyen.


“Sementara SPP menyelesaikan urusan temu duga, kementerian akan membuat penempatan secara interim bagi kumpulan itu mulai 16 Oktober ini,” katanya sambil menambah pelantikan tetap tertakluk kepada keputusan temu duga SPP.


Muhyiddin berkata, bagi kumpulan yang akan menamatkan pengajian selepas Jun tahun ini iaitu 7,755 orang, mereka perlu mengemukakan permohonan untuk pelantikan ke jawatan PPPS gred DG41 kepada SPP supaya penjadualan temuduga dapat disegerakan.

Katanya, penempatan kumpulan itu yang lulus temuduga SPP akan dibuat pada tahun depan.

Muhyiddin berkata keputusan penempatan itu mengambil kira keperluan guru jangka panjang seperti digariskan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025.

“Kepada yang dilantik sebagai pendidik, berkhidmat dengan jujur dan dedikasi,” katanya.- Bernama



1 comment:

  1. Harap dapat utamakan orang lama yang menunggu dari 2008 lagi.Hingga hari ini masih ada khabar berita..

    ReplyDelete