Wednesday, October 24, 2012

Anugerah Kecemerlangan Pendidikan Terengganu 2012

KUALA TERENGGANU - Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu telah mengadakan Anugerah Kecemerlangan Pendidikan 2012 Sempena Karnival Pendidikan Terengganu di Stadium Tertutup Negeri Terengganu petang semalam. Perasmian dan penyampaian anugerah berkenaan telah disempurnakan oleh YAB Dato' Seri Haji Ahmad bin Said, Menteri Besar Terengganu. Turut hadir YB Dato' Haji Ahmad Razif bin Abdul Rahman, Exco Pelajaran Negeri Terengganu, Timbalannya YB Haji Mohd Zawawi Ismail, En. Zakaria Hussin, Pengarah Pelajaran Negeri, Ketua Jabatan Persekutuan dan Negeri, Pengetua, Guru Besar dan juga pimpinan Persatuan Ibubapa dan Guru.

YAB Dato' Seri Menteri Besar Terengganu dalam ucapan perasmiannya memaklumkan bahawa kerajaan negeri sentiasa meletakkan pendidikan sebagai agenda utama untuk melahirkan modal insan terbilang sebagai pewaris negeri dan negara pada masa depan. Menurut beliau kerajaan negeri membelanjakan jutaan ringgit bagi pendidikan setiap tahun dan merupakan antara peruntukan terbesar perbelanjaan mengurus dan pembangunan negeri. Ianya bukan sahaja untuk pembangunan prasarana pendidikan tapi juga untuk pembiayaan program pendidikan dan pengiktirafan atas kejayaan yang dicapai oleh warga pendidikan anak negeri.

Anugerah Kecemerlangan Pendidikan Terengganu 2012 yang  mendapat sumbangan kerajaan negeri adalah program tahunan bagi memberi pengiktirafan kepada pelajar yang berjaya dalam bidang sukan dan kokurikulum di peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Selain pelbagai pengiktirafan kepada pengurusan dan kepimpinan sekolah serta PIBG.  Keseluruhannya seramai 380 orang pelajar menerima anugerah pada tahun ini. Sementara itu 36 kategori anugerah telah ditetapkan termasuk 12 anugerah PIBG Cemerlang berasaskan lokasi dan kategori sekolah.

Pelajar Terenganu yang mewakili negara dalam bidang sukan 27 orang dan kokurikum 6 orang. Sementara kategori johan di peringkat kebangsaan dalam sukan 149 dan kokurikulum 88 orang. Sementara sekolah-sekolah meningkat pencapaian semua A  dan  Gred Purata Sekolah juga menerima anugerah. Begitu juga sekolah yang cemerlang dalam pengurusan kewangan, disiplin, 3K juga mendapat pengiktirafan.

Tahniah kepada yang berjaya. Semoga anugerah ini menjadi motivasi untuk mencintai dan  menjiwai kecemerlangan dan  keterbilangan serta cabaran untuk sentiasa membuat perubahan  peningkatan ke arah yang lebih baik.


No comments:

Post a Comment