Monday, October 8, 2012

Isu Pemantapan Profesion Perguruan Topik Utama Dialog Pelan Pendidikan 2013-2025



GEORGE TOWN -- Isu pemantapan profesion perguruan menjadi topik perbincangan popular pada sesi dialog Hari Terbuka Laporan Awal Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 di Dewan Budaya Universiti Sains Malaysia (USM) di sini Sabtu.

Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Abdul Ghafar Mahmud berkata tahap kompentensi guru, pengurusan pengajaran dan pembelajaran (P&P) di sekolah, beban tugas guru, kewibawaan guru besar dan pengetua menjadi antara isu yang mendapat sambutan hangat peserta dialog berkenaan.

"Isu ini adalah antara agenda utama yang terkandung dalam pelan kita. Kesemua perbincangan hari ini akan diteliti sedalam-dalamnya bagi merangka sistem baru untuk mentransformasi sistem sedia ada," katanya kepada pemberita.

Beliau berkata dalam usaha meningkatkan kualiti perkhidmatan guru, laporan awal pelan itu mensasar 30 peratus graduan cemerlang dari Institusi Pengajian Tinggi (IPT) tempatan dan luar negara akan bekerja dalam sektor pendidikan.

Katanya, pihaknya akan memperkenalkan skim perkhidmatan khusus untuk menarik minat graduan cemerlang bagi mengisi kekosongan jawatan dalam bidang perguruan.

-- BERNAMA


No comments:

Post a Comment