Sememangnya perubahan dalam kehidupan manusia adalah sesuatu yang pasti tidak dapat kita elakkan. Sama ada perubahan bersifat fizikal, emosi, status, spritual dan sebagainya ia adalah perubahan yang wajib berlaku.Perubahan itu sama ada ke arah lebih baik atau sebaliknya ialah adalah perubahan.
Saya amat tertarik dengan seorang penceramah dalam satu seminar mengenai akibat kegagalan kita menangani perubahan kita banyak kehilangan perkara berharga dalam kehidupan bahkan membawa kehancuran dan malapetaka. Satu perubahan dalam kehidupan yang ramai manusia gagal tangani dengan berkesan ialah berkaitan perhubungan khususnya dalam konteks keluarga terdekat suami-isteri ataupun ibubapa dan anak-anak.
Dalam konteks hubungan suami-isteri pastinya setiap orang merasai kemanisan dan keindahan sewaktu awal perkahwinan. Bukan sahaja panggilan "sayang"," ling","abang" dan yang sewaktu diucap dengan manja dan kasih sayang tetapi disertai dengan sentuhan dan pelukan kasih di mana setiap satu merasai dirinya amat dihargai. Terasa bersyukurnya Allah menganugerahkan kita seorang suami atau isteri sepertinya.
Sayangnya perubahan yang berlaku dalam kehidupan yang merupakan fitrah gagal kita subur dan semarakkan hingga menimbul pelbagai konflik dan pertentangan yang menuju kehancuran. Tiada lagi panggilan-panggilan mesra dan sentuhan kasih sayang sebaliknya maki-hamun dan sumpah seranah yang mencari rasa dan naluri insan yang sangat kita cintai suatu waktu dahulu. Kita lupa jika umur kehidupan dunia berasaskan umur Nabi 63 tahun maka kalau kita berumur 50 tahun tapi masih gagal menangani gelombang perubahan kehidupan ia adalah sesuatu yang malang. Cuba kita bayangkan kalau 63 tahun tubuh kita berada di dalam tanah maka kalau umur 50 tahun bermakna kalau kita tanam dalam tanah yang hanya tinggal di atas dunia mungkin sekadar dada ke atas sahaja lagi. Fikir-fikirkanlah bahawa kita sudah dekat untuk kembali ke sana .
Begitu juga perubahan hubungan kita dengan anak-anak. Mengapa masa kecil kita peluk dan sayang mereka sesungguh hati. Kita merasa merekalah anugerah paling berharga dan
permata hati kita. Sayangnya apabila mereka semakin membesar pelukan dan belaian kasih sayang yang menjadi benteng kekuatan diri mereka sudah semakin longgar dan menjauh. Kita semakin kehilangan permata hati kita dan mereka semakin hilang tempat berlindung dan bergantung. Ruang vekum inilah telah diambil alih oleh rakan sebaya dan seterusnya membawa mereka ke dunia hedonisme, dadah, LGBT dan seumpamanya. Isunya kita semakin hilang permata hati kita kerana kegagalan kita untuk terus istiqamah menjadikan "pelukan" sebagai senjata ampuh untuk melindungi mereka.
Marilah kita sama-sama mengutip kembali serpihan-serpihan kasih, pelukan keramat yang kian menghilang agar kita tidak terus kehilangan insan-insan yang sangat bererti
dalam kehidupan kita pada suatu ketika dahulu. Sesungguhnya sesal dahulu pendapatan,sesal kemudian tidak berguna lagi. Wallahualam.
No comments:
Post a Comment