Friday, October 12, 2012

Renungan Jumaat : Ya Allah janganlah Engkau sesatkan aku, setelah Engkau berikan petunjuk

Subuh hening di pagi Jumaat itu aku terjaga. Dari tingkat sepuluh hotel penginapan di tengah ibu kota Kuala Lumpur sayup kedengaran hiruk-pikuk warga kota. Aku menoleh ke sebelah ke arah putraku sambil mengejutkanya untuk solat Subuh. Perlahan dia bangun untuk menuju ke bilik mandi. Semalam sebelum tidur aku memeluk sambil berbisik kepadanya ", masa abang kecil sebesar paha, abah selalu peluk begini, kini rupanya anak abah sudah besar". Tanpa suara terasa tangan aku digenggam erat. Ya Allah aku bersyukur padamu mengurniakan anak yang sihat dan menurut kata..

Selesai solat Subuh aku membuka galaxy tab untuk menulis ruang blog unit aku, Renungan Jumaat. Sementara putraku kembali merengkok di dalam selimut. Selepas membuat posting, aku menelefon isteri dan putri-putriku yang menginap di bilik sebelah agar bersiap-siap untuk turun bersarapan di bawah. Aku mengejutkan kembali putraku agar mandi dan bersiap. Suara bingit kenderaan dan warga kota kian ketara. Ibu kota hidup dan bernafas kembali setelah sepi seketika..

Setelah bersiap aku dan isteri serta anak-anak turun ke lobi hotel untuk mencari kedai makan. Aku memberi cadangan kepada isteri gerai makan dekat pasar Chow Kit, tempat kami pernah bersarapan sebelum ini. Isteri dan anak-anak mengangguk bersetuju. Kian hampir kian bingit suara teriakan penjual buah menarik pelanggan. Dan dicelah-celah hiruk-pikuk itu terdengar alunan muzik disertai nyanyian merdu penyanyi wanita. Aku tercari-cari dan berhampir dengan gerai makan yang kami pilih ku lihat sepasangan pemuzik buta yang kukira suami-isteri sedang mengalunkan irama dan lagu nan syahdu.  Isteri dan anak-anakku agak kurang selesa dengan gerai yang sempit. Aku dapat membaca dari air muka mereka. Namun cepat-cepat aku menghidupkan suasana , "Erm ma tak perlah kita merasai kehidupan marhain, lagipun sambil makan kita boleh dengar muzik". Tanpa banyak soal mereka mula memilih lauk-pauk yang ada...

Sambil menikmati kelazatan makan pagi disertai nyanyian lagu dan muzik yang merdu tiba-tiba suara hatiku berbisik "Syukurlah engkau kerana dapat menikmati makanan yang enak dan lazat namun ada insan lain untuk mencari sesuap makanan mengemis meminta dengan segala kepayahan". Ya Allah. Tiba-tiba dadaku terasa sebak. Aku cepat-cepat menghabiskan makan dan semasa berpaling ke arah putraku ia sedang menyuapkan rezeki yang terakhir. Setelah ku lihat isteri dan anak-anak hampir siap aku memanggil cashier. Setelah dikira aku hulurkan wang dan dikembalikan semula bakinya. Baki itu aku berikan kepada putraku untuk disedekahkan kepada pasangan pemuzik buta. Dalam hatiku berkata " anakku semuga dalam hatimu subur nilai ehsan untuk merasai syukur dan membantu orang yang susah".

Sementara menanti isteri dan anak-anakku selesai makan aku keluar dan berdiri di satu sudut sambil memerhati pemuzik buta. Waktu itu si suami pula menyanyi dengan merdu sambil diiringi minus one. Aku terus memerhati dan menikmati nyanyian mereka dan tiba-tiba badai sebak melanda pantai hatiku. Ya Allah, Tuhanku yang maha kaya dan maha indah. Tanpa ditahan air mataku tumpah laju. Beberapa orang di sekitarku kehairanan mengapa aku dilanda kesedihan. Putraku yang memandangku dari jauh perasan dan memberitahu isteriku dan putri-putriku. Isteri dan putri-putriku datang menerpa dan bertanya kenapa. Sementara dari ekor mataku ku lihat putraku berlalu menjauh kerana tidak tahan melihat keadaanku. Aku memberitahu isteriku bahawa aku akan menunggu mereka di lobi hotel. Aku mula melangkah ke hotel dengan dada sebak dan air mata masih tergenang di kelopak.

Di pertengahan jalan aku di tahan secara tiba-tiba oleh seorang perempuan yang selekeh yang ku kira penagih dadah dan tanpa salam menghulur tangan meminta wang. Dalam hatiku berkata "dahlah tidak bagi salam minta duit agak kasar pula". Aku mengeluarkan duit dan menghulurkan kepadanya dengan sedikit senyum yang sengaja ku buat-buat. Perempuan tua itu menerima duit dengan sedikit senyum dan memandangku lantas mengucapkan terima kasih. Subhanallah. Aku terkejut. Seakan dia dapat membaca apa yang aku bicarakan dalam hatiku. Ya Allah siapakah di sebalik hambamu-hambamu ini....

Aku duduk di bangku di luar hotel menunggu isteri dan anak-anakku. Setiap kali aku terkenangkan pemuzik buta dan perempuan tua itu akan menjadi sebak dan airmataku mengalir. Ya Tuhan.. Tidak lama isteriku sampai ke depan hotel dengan sedikit buah dan terus kepadaku bertanyakan kenapa..kenapa. Sebelum itu aku meminta putriku yang sulong mengambil gambar sepasang pemuzik itu. Dalam sendu aku memberitahu isteriku, " ma abang bukan sedih kerana melihat pasangan penyanyi buta itu, tapi abang tersentuh bahawa Allah telah menunjukkan sifat kemulian dan kebesaran melalui makluk-makluknya. Melalui nyanyian yang merdu Allah menzahir sifat-sifatnya. Abang bersyukur kerana dalam kesibukan dunia terutama di tengah kota Kuala Lumpur ini Allah sentiasa mencampakkan petunjuk dan kebenaran tentang kekuasaannya agar kita tidak lalai dan leka".

Isteriku yang sangat faham tentang peganganku turut sama terharu dan menangis. Kami menangis teresak-esak berdua dan diperhati oleh pengawal keselamatan hotel dengan penuh kehairanan. Kami mengucapkan syukur berkali-kali. Kami terasa lapang dan amat bahagia. Nikmat dan kemanisan kasih Allah tidak dapat kami ukirkan dengan kata-kata. Dalam penuh insaf aku berkata, "Ya Allah janganlah Engkau sesatkan aku, setelah Engkau berikan petunjuk"....


1 comment:

  1. Subhanallah......bersyukur dengan kurniaan yang Allah telah berikan......tq atas 'cerita' yang juga menyentuh hati....

    ReplyDelete