Saturday, October 6, 2012

Sembang Sabtu : Guru Besar perlu bersedia menghadapi gelombang perubahan


Sabtu lepas satu perkara yang menarik yang disentuh oleh Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran (Sektor Operasi Pendidikan) dalam ucapan beliau dalam majlis yang dihadiri oleh guru-guru pendidikan dan pemulihan khas negeri Terengganu mengenai kertas cadangan awal Plan Pembangunan Pedidikan Malaysia (PPPM) 2013 - 2025. ialah memperkasakan kepimpinan peringkat sekolah. Banyak teori dan dapatan kajian mejelaskan "Sekolah yang hebat selalunya dipimpin oleh guru besar yang hebat".

Kerajaan telah memperuntukan lebih 38 bilion dalam Bajet 2013 untuk pendidikan.  Bajet-bajet sebelumnya juga, pendidikan sentiasa mendapat bajet yang besar. Ini adalah bukti nyata bahawa kerajaan amat meyakini hanya dengan rakyat menguasai ilmu, hasrat mencapai negara maju akan terhasil. Namun walaupun peruntukan yang besar dalam banyak hal pecapaian pelajar kita mungkin terkebelakang sedikit berbanding negara serantau. Justru sekolah sebagai institusi pencanai dan pemupukan insan terbilang menjadi keutamaan. Sehubungan itu kepimpinan sekolah sebagai ketua operasi pendidikan di sekolah sangat kritikal dan penting.

Bagaimana sekolah akan menjadi pusat operasi terbilang jika 40% pengurus sekolah yang ada akan bersara dalam masa lima tahun lagi. Bagaimana sekolah mampu memacu pantas kehadapan jika 55% pengurus sekolah tidak menerima asas pengurusan sekolah yang cukup dan mantap. Tidak mungkin transformasi pantas dan menyeluruh jika pimpinan di peringkat pelaksana serba kekurangan.Justru kita amat yakin, KPM akan melaksanakan pelagai strategi dan transformasi memperkukuh dan memantapkan pengurusan sekolah. Strategi  yang pantas, ketat dan mantap agar pemimpin sekolah berupaya untuk menghadapi gelombang kedua dan ketiga PPPM dengan benar-benar mampan dan berdaya maju.

Adalah difahamkan dan telah disebut bahawa senioriti bukan lagi keutamaan untuk dilantik sebagai pemimpin sekolah.Penekanan dan keutamaan akan diberi kepada mereka yang benar-benar mencapai  kompetensi tinggi yakni mereka yang berbakat, berkeupayaan,berilmu, berkemahiran. Kita pastinya tidak mahu lagi melihat guru besar yang hanya mahu jadi "raja" di sekolah tetapi tidak tahu dan tidak mahu "memerintah".Guru Besar yang lemah, yang tidak tahu mengurus manusia dalam organisasinya. Dan yang lebih malang hendak jaga kawasan sekolah supaya ceria, bersih dan selamatpun tidak mampu dan didenda ribuan ringgit. Macam mana hendak jadi sekolah yang cemerlang dan membangunkan insan terbilang kalau hendak mengurus benda "mati" pun tidak mampu.

Bagi memastikan semua  guru besar dan calon guru besar besar menerima latihan yang cukup, kemungkinan kursus NPQEL akan  menjadi kursus wajib. Selain itu mereka akan dibimbing dan dipantau secara berterusan oleh pegawai-pegawai di PPD yang mahir dalam bidang-bidang tertentu apabila peranan PPD diperkasakan sepenuhnya mulai 2014. Difahamkan setiap dasar yang diputuskan kerajaan dan KPM akan dipantau secara berterusan pelaksanaannya di peringkat sekolah. Zaman untuk ambil mudah mungkin sudah berakhir.

Kesimpulannya kita berharap semua pengurus sekolah perlu bersiap sedia menghadapi gelombang perubahan yang dibawa oleh PPPM. PPPM adalah aspirasi rakyat di mana sebahagian cadangan terhasil daripada dialog nasional pendidikan. Justru secara tidak langsung rakyat juga adalah pemantau dan pemerhati untuk melihat apa yang mereka  suarakan dilaksana sebaik mungkin. Dan kepada mereka yang berminat dan kompeten untuk menjadi pengurus sekolah inilah masa mempersiapkan diri dan merebut peluang.Pemimpin yang hebat ialah mereka yang mampu menguasai persekitaran dan perubahan bukannya dikuasai dan hanyut dalam persekitaran dan perubahan.

Kita amat yakin ramai kalangan guru besar kita yang berupaya menjadi agen tranformasi pendidikan negera yang berkesan. Oleh yang demikian dalam masa yang sama kebajikan mereka sama ada dari segi kerjaya perkhidmatan dan pelbagai insentif lain juga tidak boleh diketepikan. Biarlah mereka nikmati hasilnya sewajar dengan apa yang telah mereka sumbangkan....


1 comment:

  1. Kursus NPQEL mempunyai nilai tambah berbanding NPQH. Tetapi keduanya mempunyai maksud yang hampir sama iaitu melahirkan pemimpin pendidikan yang berilmu, berkemahiran dan berketrampilan. Walau apapun sebagai pemimpin sekolah mereka perlu mempunyai asas ilmu, pengetahuan, kemahiran dan sikap yang mencukupi agar dapat disebatikan agar melahirkan pemimpin pendidikan yang berkarisma. Maka pengambilan guru besar dan pengetua sekolah yang baru perlu mengambil kira asas ini supaya tidak timbul masalah yang sama berlaku di mana mereka-mereka ini tidak mampu memimpin sekolah dengan baik.

    ReplyDelete