Saturday, December 31, 2011

Majlis Bahasa Inggeris penanda aras pencapaian pelajar

KUALA LUMPUR: Majlis Bahasa Inggeris akan ditubuhkan tahun depan bagi menentukan standard pencapaian bahasa Inggeris pelajar sekolah, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata, kini hanya ada satu pasukan khas Kementerian Pelajaran untuk menentukan pencapaian Bahasa Inggeris pelajar yang juga akan merujuk kepada pihak luar dalam menyediakan kertas peperiksaan.

“Bila kita kata pelajar itu pandai bahasa Inggeris, itu apa maknanya, apa ukurannya, jadi untuk tujuan itu, kita sedang memikirkan pembentukan Majlis Bahasa Inggeris untuk menanda aras standard bahasa Inggeris yang kita gunakan di Malaysia.


“Kerajaan tidak mahu bersikap syok sendiri untuk menyatakan pencapaian bahasa Inggeris sekolahnya mencapai piawaian antarabangsa kerana ada orang kata, mutu bahasa Inggeris pelajar dan rakyat negara ini masih rendah dan ada yang kata sebaliknya,” katanya.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata demikian kepada pemberita selepas membuat lawatan mengejut ke Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Tun Dr Ismail di sini, semalam bagi melihat persiapan pihak sekolah menghadapi sesi persekolahan 2012 bermula minggu depan.


Beliau berkata, majlis itu yang akan ditubuhkan selepas mendapat persetujuan kerajaan menggunakan pakar dari dalam dan luar negara serta mungkin mengadakan kerjasama dengan Universiti Cambridge.


Katanya, majlis itu berfungsi sebagai badan bebas dan boleh juga dirujuk pihak luar.

Muhyiddin turut mengumumkan Jawatankuasa Khas MBM/MBI (Mermartabatkan Bahasa Malaysia/Memperkukuhkan bahasa Inggeris) merumuskan 164,324 pelajar sekolah rendah menggunakan Bahasa Melayu sepenuhnya untuk mempelajari Sains dan 161,123 dalam Matematik.


 “Sementara 56,025 pelajar mempelajari Sains dalam Bahasa Inggeris dan 56,248 pelajar dalam subjek Matematik.

“Selebihnya mengikuti subjek itu menggunakan dwibahasa iaitu 258,622 dalam subjek Sains serta 261,600 dalam Matematik,” katanya. - Bernama

Sumber : Harian Metro

No comments:

Post a Comment