Wednesday, December 28, 2011

Isu SBPA : JPA, CUEPACS Lakukan Beberapa Pindaan Segera Tambah Baik SBPA


PUTRAJAYA, 27 Dis (Bernama) -- Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) bersetuju melaksanakan beberapa pindaan segera untuk menambah baik Skim Baru Perkhidmatan Awam (SBPA).

Presiden CUEPACS Datuk Omar Osman berkata JPA bersetuju membuat pindaan segera dalam taklimat dan rundingan lebih empat jam yang turut dihadiri Ketua Pengarah JPA Tan Sri Abu Bakar Abdullah.

Beliau berkata antara pindaan itu ialah markah Laporan Nilaian Prestasi Tahunan (LNPT) dikurangkan daripada 75 peratus kepada 65 peratus untuk kenaikan gaji.

Selain itu, markah 'Exit Policy' turut dikurangkan daripada 70 peratus kepada 60 peratus, dan tempohnya dilanjutkan daripada enam bulan kepada 12 bulan.

"Taklimat ini melihat cadangan CUEPACS ada yang diterima dan ada yang dikaji semula. Kami berasa lega kerana berjaya mencapai satu keputusan bersama dalam SBPA," katanya kepada pemberita di lobi pejabat JPA.

Terdahulu, Omar bersama pemimpin dan ahli majlis CUEPACS menghadiri taklimat yang memberi gambaran terperinci berhubung pelaksanaan SBPA yang akan dikuatkuasakan mulai 1 Jan ini.

Pada Isnin, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengarahkan CUEPACS dan JPA segera berunding bagi menyelesaikan isu itu.

Omar berkata CUEPACS menerima SBPA dan menyarankan penjawat awam menandatangani surat tawaran JPA.

Beliau juga berkata JPA dan CUEPACS setuju mengadakan rundingan bersama setiap tiga bulan bagi membuat semakan dan kajian menyeluruh untuk menambah baik SBPA.

Jumaat lepas, JPA bersetuju melanjutkan tarikh penerimaan tawaran opsyen SBPA bagi penjawat awam sehingga 15 Jan depan, bagaimanapun, tempoh penerimaan opsyen bagi umur persaraan pada 60 tahun kekal pada 30 Dis ini.

-- BERNAMA


0 ulasan:

Post a Comment