Friday, December 9, 2011

Renungan Jumaat: Senyum

Assalamualaikum warahmatullah,

Hari ini saya kongsikan sesuatu perkara yang amat mudah untuk kita lakukan sehari-hari dan akan beroleh pahala pula jika kita mengerjakannya, insya Allah.

Hadis dari Abu Dzar r.a. bahawa Rasulallah SAW yang bermaksud, “Tidak ada lain dari anak Adam itu sedekah pada tiap-tiap hari yang naik matahari padanya.” Bertanya para sahabat, “Dari mana datangnya harta untuk kami bersedekah wahai Rasulallah?” Sabda Nabi, “Bahawa pintu-pintu kebajikan itu banyak; Tasbih, Takbir, Tahlil, Amar makruf dan nahi (mencegah) mungkar, membuang duri di jalan, mendengar orang pekak, menunjuk jalan kepada orang buta, menunjuk arah perjalanan kepada yang meminta ditunjuk, memberi air minuman kepada yang dahaga, menolong meringankan beban orang yang tidak berdaya. Semua itu sedekah bagi diri kamu.” Malah dalam riwayat yang lain menambah, “Senyum anda terhadap saudara anda adalah sedekah.” (Hadis riwayat Ibn Hiban dan Al Baihaqi)

Ini adalah sebuah hadis yang dikira cukup baik yang memerlukan setiap orang berfikir, dapat mengetuk dan membuka pintu hati dan jiwa manusia ke arah kebajikan dan juga dapat mengikat diri manusia dengan kasih sayang dan cinta yang mendalam.

‘Sedekah’ perkataan yang selalu didengar, biasanya dikaitkan dengan wang ringgit dan harta benda. Ia berlaku apabila si kaya membantu si miskin, atau orang yang kuat memberi pertolongan kepada mereka yang memerlukan. Demikianlah fahaman sempit yang selalu kita dengar dan kesannya pun amat terhad, walhal terdapat lebih banyak lagi cara kita bersedekah, selain daripada pemberian material semata-mata. Tidaklah dinafikan bahawa ianya mampu menjadi satu mekanisma untuk menwujudkan keadilan sosial dalam masyarakat, tetapi hadis ini meluaskan lagi skop sedekah dan pemikiran mengenainya; iaitu dari makna material kepada makna yang bersifat kejiwaan, membuka suatu ruang yang luas tanpa sempadan.

“Setiap yang baik itu sedekah, setiap orang mampu bersedekah.” Benar, sedekah dari skop kebendaan adalah terbit dari hati yang baik, kalau tidak sedekah atau derma itu menjadi riak, bohong, menunjuk-menunjuk kotor dan keluar dari hati yang tidak ikhlas. Maka kalau sedekah yang lahir dari hati yang tulus dan jiwa yang baik, itulah sumber kebaikan yang sebenar kerana setiap yang baik terbit dari jiwa yang baik dan setiap yang kotor keluar dari hati yang kotor. Jesteru itu, sebuah senyuman manis yang ikhlas adalah lahir dari jiwa yang jernih dan tulus ikhlas.

Seseorang yang membantu orang lain dengan wang seringgit atau dua ringgit, membantu orang yang lemah melintas jalan, menolong mengangkat barang yang berat ataupun lain-lain yang seumpama, dan ianya terbit dari hati yang bersih dan ikhlas maka itulah yang dikatakan rasa kemanusiaan yang amat tinggi nilainya, iaitu dengan menolong sesama manusia terasa ada hubungan kemanusiaan antara yang menolong dan yang ditolong. Ini juga salah satu bentuk sedekah, seperti yang disebutkan dalam hadis di atas.

Jika sedekah dihadkan kepada bentuk material, nescaya kebaikan itu juga terhad kepada mereka yang berada sahaja, tetapi Rasullallah SAW mahu kebaikan itu berada di setiap diri individu, yang mana cahayanya akan melimpah ruah yang tidak ada had dan kesudahannya.

Rasullallah SAW bukan sekadar memperkenalkan punca atau asas kebaikan, tetapi lebih lagi dari itu, Baginda mengajar kita supaya membiasakan diri dengan kebaikan adalah jiwa hidup, bergerak dan berkesan. Jiwa yang kaku dan beku adalah jiwa yang mati sebelum ajal yang tidak akan melahirkan apa-apa kebaikan darinya.

Firman Allah SWT yang bermaksud, “Adakah orang yang dilapangkan dadanya oleh Allah untuk menerima Islam, lalu ia tetap berada dalam cahaya (hidayah) dari Tuhannya sama dengan orang yang sesat (keras) hatinya (dengan kedurhakaan) . Maka celakalah bagi mereka yang keras hatinya untuk menerima peringatan yang diberi oleh Allah. Mereka itu adalah dalam kesesatan yang nyata.” (Surah az-Zumar ayat 22)

Senyum itu satu sedekah

Senyum itulah sedekah yang paling  mudah. Tetapi sesetengah orang amat berat dan payah sekali untuk berbuat demikian. Ada yang sukar memberi senyuman, mungkin jiwanya sakit atau dalam dirinya tertutup pintu kebaikan dan kebajikan. Mukanya masam, muram dan kusam. Menjengkil perasaan benci kepada sesama manusia. Isunya di sini bukanlah seteguk air, sesuap nasi, atau sebuku roti, tetapi ‘pemberian’ yang didalangi oleh gerak dari dalam diri membuka dan mengetuk pintu hati yang tertutup.

Senyuman itu berkait dengan jiwa bagi mereka yang sedang berdepan dengan masalah, dengan tersenyum jiwa mereka akan merasa lega dan tenang. Manakala apabila melihat orang memberi senyuman padanya, jiwa yang lesu akan kembali ceria. Senyuman secara umumnya adalah sedekah.
Sama-samalah kita amalkan.

Artikal di atas telah disumbangkan oleh;
Mohd Shafiq Chandran
Guru Besar SK Guntung, Setiu.


SENYUM

"SENYUM" ringan tak bersuara tapi, penuh makna.
"SENYUM" murah tapi, tak ternilai dengan rupiah.
"SENYUM" tak butuh tenaga tapi, besar motivasinya.
"SENYUM" hal yang mudah tapi, selalu nampak indah.
"SENYUM" satu hal yang biasa tapi, boleh menjadi istimewa.
"SENYUM" ibadah yang paling mudah tapi, berpahala setara dengan sedekah.
Penuhilah hari-hari kita dengan senyuman manis agar semua orang ikut tersenyum kerana kita. (^_^)

1 comment:

  1. Thanks, Shafiq!
    Smile, and the world will smile with you~~~~~

    ReplyDelete