Thursday, December 22, 2011

PMR : Terengganu semakin unggul

Petikan sidang akhbar Timbalan Pengarah Pelajaran sempena pengumuman Keputusan PMR 2011 di Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu pagi tadi. 




Assalamualaikum, Salam Sejahtera dan Salam 1Malaysia.

Alhamdulillah, segala puji dan rasa syukur dipanjatkan kepada Allah S.W.T. kerana dengan limpah kurnia dan izin Nya, saya diberi kesempatan untuk mengumumkan analisis keputusan Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2011 sekolah-sekolah Kementerian Pelajaran  Malaysia Negeri Terengganu pada hari ini.

Seramai 23,157 orang calon telah mendaftar untuk menduduki Peperiksaan PMR pada tahun 2011 berbanding 23,630 orang calon pada tahun 2010 iaitu pengurangan sebanyak 1.01%.

Sukacita dimaklumkan bahawa laporan prestasi calon PMR 2011 berfokus kepada calon Sekolah-sekolah Kementerian Pelajaran Malaysia (K) sahaja. Laporan prestasi ini juga melibatkan calon Berkeperluan Khas (CBK). Namun demikian, dijelaskan disini bahawa analisis keseluruhan hanya melibatkan calon K yang normal sahaja. Ini bermakna calon CBK diasingkan daripada analisis calon normal.

Pada keseluruhannya, pencapaian calon PMR 2011 sekolah KPM Negeri Terengganu adalah sangat membanggakan. Seramai 1,962 orang calon (8.95%) telah berjaya mendapat semua A berbanding 1,746 (7.81%) pada tahun 2010. Ini bermakna bilangan calon yang mendapat A dalam semua mata pelajaran yang diduduki meningkat seramai 216 orang (1.15%) berbanding tahun 2010.

Gred Purata Negeri (GPN) PMR 2011 meningkat kepada 2.57 berbanding 2.58 pada tahun 2010. Rekod pencapaian ini merupakan yang terbaik dalam tempoh lima tahun. Saya percaya bahawa peningkatan GPN ini disebabkan oleh kegigihan, kesungguhan dan kecaknaan semua pihak baik di peringkat jabatan dan di peringkat sekolah mahupun ibu bapa.

Program-program peningkatan akademik yang dilaksanakan menunjukkan kesan yang sangat positif. Ini juga menunjukkan bahawa pelaburan dalam semua aspek pendidikan bertujuan Melestarikan Kecemerlangan Akademik adalah tidak menghampakan.

Pencapaian calon pada tahun 2011 pada umumnya meningkat dari segi kualaiti dan kuantiti. Seramai 15,127 orang calon sekolah bantuan penuh kerajaan (calon K) (69.04%) telah berjaya mendapat keputusan Lulus Semua Mata Pelajaran (Minimum D) dalam semua mata pelajaran yang diduduki berbanding 15,034 orang calon (67.23%) pada 2010, iaitu peningkatan seramai 93 orang calon (1.81%).

Saya percaya bahawa perancangan yang teliti, pelaksanaan program kecemerlangan akademik yang berterusan, permuafakatan yang jitu dan rasa kecaknaan yang tinggi semua pihak adalah tunjang ke arah kelestarian sesuatu pencapaian. Sesungguhnya ciri-ciri ini telah diserap ke dalam jiwa warga pendidik dan ibi bapa seluruh negeri Terengganu dalam usaha mendokong wawasan jabatan. ini terbukti bila mana prestasi calon cemerlang terus menunjukkan peningkatan.

Saya ingin mengucapkan tahniah dan syabas kepada calon-calon yang telah menunjukkan kecemerlangan. Saya mendoakan agar mereka dapat meneruskan budaya kecemerlangan itu dalam kehidupan mereka dalam apa jua bidang yang akan diceburi agar dapat menyumbang kepada kemaslahatan diri, keluarga, masyarakat dan seterusnya menbangunkan negeri Terengganu ke tahap yang lebih tinggi pada masa hadapan.

Saya juga berbangga kerana para guru telah berjaya mendidik dan membimbing pelajar sehingga mereka memperolah keputusan peperiksaan yang cemerlang. Kepada yang kurang berjaya pula, anggaplah kegagalan itu sebagai satu cabaran dan peluang untuk mencipta kejayaan yang lain pada masa akan datang.

Saya juga mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih dan penghargaan kepada ibu bapa, guru, pentadbir sekolah dan masyarakat yang menunjukkan minat dan keprihatinan terhadap pendidikan secara berterusan serta memberi sumbangan yang tidak terhingga nilainya terutama dalam pendidikan diperingkat sekolah.

Tidak lupa juga ucapan tahniah dan terima kasih kepada semua warga Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu, Pejabat Pelajaran Daerah dan semua petugas peperiksaan yang terlibat dalam pelaksanaan PMR 2011 di atas kejayaan mengurus dan mengendali peperiksaan PMR dengan penuh dedikasi, komitmen dan berintegriti tinggi.

Akhir sekali, saya mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih yang tidak terhingga kepada Kerajaan Negeri Terengganu di bawah kepimpinan YAB Menteri Besar kerana telah memberi sumbangan yang besar dalam semua sapek khususnya  daripada segi kewangan dan sokongan moral dalam usaha melestarikan kegemilangan pendidikan negeri Terengganu dan merealiasasikan wawasan "Terengganu Negeri Anjung Ilmu".

Sekian, terima kasih.

HASHIM BIN MOHD ZIN
Timbalan Pengarah Pelajaran
Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu.

22 Disember 2011

Sumber : Web JPN Terengganu

No comments:

Post a Comment