Friday, December 30, 2011

Pastikan sekolah bebas Aedes sebelum sesi bermula


PUTRAJAYA - Pihak pentadbiran sekolah di seluruh negara diminta memastikan kawasan masing-masing bebas daripada potensi pembiakan nyamuk Aedes sebelum sesi persekolahan bermula.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Hassan Abdul Rahman berkata, langkah itu susulan pemeriksaan kementerian tersebut yang mendapati 15 daripada 100 sekolah mempunyai kawasan pembiakan nyamuk Aedes.

Beliau berkata, secara keseluruhan kes denggi tahun ini menurun dengan hanya 19,682 kes dicatatkan bagi tempoh Januari hingga 24 Disember lalu berbanding 45,684 kes bagi tempoh yang sama tahun lepas.

“Jumlah kematian akibat denggi juga menurun kepada hanya 33 kes berbanding 133 tahun lalu,” katanya.

Dr. Hassan berkata, pemeriksaan Kementerian Kesihatan mendapati kawasan kedai dan perumahan meliputi 61 peratus daripada jumlah premis yang mempunyai kawasan pembiakan Aedes. 

"Memandangkan musim cuti sekolah dan perayaan pada masa sekarang, orang ramai bertumpu di pusat membeli-belah atau kebanyakan kanak-kanak banyak menghabiskan masa di rumah.
"Oleh itu, risiko jangkitan dan penyebaran virus denggi adalah tinggi pada situasi ini,” katanya. - 
BERNAMA

Sumber : Kosmo Online 
30/12/2011 5:20pm


No comments:

Post a Comment