Friday, December 30, 2011

Tiga Sekolah Menengah Baru Di Terengganu Tahun Depan

KUALA TERENGGANU, 30 Dis (Bernama) -- Tiga sekolah menengah baru akan dibina di Terengganu tahun depan, kata Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains & Teknologi dan Sumber Manusia negeri Ahmad Razif Abd Rahman.

Beliau berkata sekolah berkenaan yang telah diluluskan dalam Rancangan Malaysia Ke-10 ialah Sekolah Sukan Negeri Terengganu, Sekolah Menengah Vokasional Hulu Terengganu dan Sekolah Menengah Peroi di Setiu.

Bercakap kepada pemberita selepas majlis penyampaian bantuan musim tengkujuh kepada nelayan-nelayan di sini hari ini, beliau berkata sekolah sukan itu yang dapat menempatkan 800 pelajar akan dibina berhampiran Kompleks Sukan Gong Badak.

Ahmad Razif berkata Terengganu juga mendapat peruntukan untuk membaiki sekolah dan untuk menyediakan kemudahan asas sekolah-sekolah di negeri itu tahun hadapan.

Katanya Sekolah Menengah Jeram Teluk Pasu di Manir di sini yang baru siap dibina akan beroperasi apabila sesi persekolahan bermula minggu hadapan.

Dengan pembukaan sekolah itu, masalah kepadatan pelajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Manir dan Sekolah Menengah Kebangsaan Belara akan dapat dikurangkan kerana sebahagian daripada pelajar kedua-dua sekolah berkenaan akan berpindah ke sekolah baru itu.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment