Sunday, January 1, 2012

Sorotan 2011, Harapan 2012

Hari ini 1 Januari 2012,  kita mula melangkah ke tahun baru. Sama ada kita sedar bersengaja atau tanpa sedar berlalu begitu sahaja kita telah tinggalkan tahun 2011 dengan pelbagai warna-warni peristiwa khususnya dalam konteks kerjabuat kita selaku pengurus dan pengamal pendidikan. Ada yang manis, ada yang pahit dan ada yang sering menduga kesabaran kita. Unit Pengurusan Sekolah Rendah mengambil kesempatan antara ruang dan peluang  ini menyorot  kembali sambil berintrospeksi beberapa rakaman pencapaian dan harapan pada tahun baru ini.

Perjawatan Guru Sekolah Rendah

Alhamdulillah pada tahun 2011 kita tidak mendengar sebarang sekolah mengatakan mereka tidak cukup guru kecuali ketidakcukupan beberapa opsyen . Bermakna dari segi body guru, sekolah rendah negeri Terengganu menerima bekalan guru lebih dari mencukupi dan semua 347 buah sekolah rendah dapat beroperasi dengan sempurna.

Harapan kita pada tahun 2012 bukan sahaja jumlah body guru mencukupi, tetapi juga opsyen guru  terutama opsyen Bahasa Inggeris mencukupi dengan keperluan kita. Selain dari itu, agar taburan guru seimbang antara sekolah, antara daerah dari segi kuantiti dan opsyen maka proses redeployment akan dilaksanakan secara berterusan.Justru itu kemungkinan guru ditukar dan ditempatkan di luar musim pertukaran bakal berlaku.

Pengurusan Kepimpinan Sekolah

Kita sangat percaya bahawa kemajuan sesebuah sekolah sangat bergantung rapat kepada stail,gaya dan daya kepimpinan sekolah. Justru itu pada tahu 2011 kita telah meletakkan Majlis Guru Besar selaku wakil pengurusan sekolah di tempat sewajarnya. Hubungan mesra dan telus antara MGB Terengganu yang dipimpin oleh Tuan Haji Yusof bin Karim dengan Unit Sekolah Rendah telah banyak menyalurkan persefahaman dalam pelbagai isu seperti isu guru, kenaikan pangkat, pengurusan dan sebagainya. Sebagai usaha sokongan kecemerlangan kita memasti semua sekolah cukup guru. Beberapa program profesional termasuk bersama-sama Pengarah Pelajaran Negeri yang menggunakan peruntukan kewangan rendah telah diadakan. Pelbagai aktiviti MGB negeri bagi mempertingkat tahap profesionalisme Guru Besar sentiasa disokong dan dibantu walau pun masih terdapat segelintir kalangan pengurusan sekolah ini terikat kuat dengan amalan dan nilai negatif yang sukar diubah. Apapun kita sangat berterima kasih kepada majoriti Guru Besar yang begitu kominted dan profesional.

Kita berharap pada tahun 2012 kepimpinan MGB Terengganu yang baru di bawah En. Radzali Abdullah dapat meneruskan legasi kepimpinan MGB yang lepas serta berterusan mengangkat dan memugarkan nilai-nilai profesional dalam pengurusan bukannya membuka peluang melalui stail pengurusan yang boleh menjadi objek perlecehan para guru di bawah pimpinan mereka. Justru kita harap bukan sahaja digri integriiti Guru Besar dapat dipertingkatkan tetapi profesionalisme mereka dalam pengurusan menjadi ikutan warga sekolah seluruhnya.

Kenaikan Pangkat

Alhamdulillah walaupun Unit Sekolah Rendah bukan urusetia naik pangkat tetapi melalui hubungan profesional dengan Unit Naik Pangkat kita berusaha membantu seberapa ramai guru yang berkelayakan untuk naik pangkat khususnya dalam bidang pengurusan dan pentadbiran. Situasi ini jarang berlaku di kebanyakan Jabatan Pelajaran Negeri. Informasi ,taklimat dan penerangan bersama Unit Rendah dan Unit Naik Pangkat kepada para guru semakin meluas. Pada tahun 2011 pecahan naik pangkat yang melibatkan urusan Unit Sekolah Rendah seperti berikut:
  1. Guru Penolong Kanan
    • Pemangkuan DGA29 ke DGA32 - 11 orang
    • Penghakikian DGA32 (KUP) ke DG32 - 105 orang
  2. Guru Besar DGA34 - 43 orang
  3. Guru Besar Cemerlang DGA38 - 67 orang
  4. Pengelola Cemerlang DGA38 - 9 orang
Pengisian GPK berdasarkan 80% dari calon DGA32 (KUP) mendapat sambutan yang baik daripada kalangan guru. Proses pemilihan dan prosidur berperingkat kita dapat memilih dan melantik GPK yang lebih berwibawa.

Kita berharap tahun 2012 pengisian jawatan pengurusan (GB dan GPK) dapat dilaksanakan dengan sempurna berdasarkan 1 hb dan 16 hb. Calon GPK dari DGA32(KUP) telahpun ada. Kita menunggu calon pemangkuan DGA29 dari BPSM. Begitu juga kita sedang menunggu calon Guru Besar DGA34 dari BPSM. Kita belum mendapat maklumat lengkap apakah pengisian Guru Besar juga bakal berubah bila dikatakan dalam SBPA akan ujud jawatan DGA34 (KUP)Time Base. Jika ini berlaku maka sumber untuk melantik Guru Besar akan datang dari dua kaedah. Satu melalui kaedah pemangkuan DGA32 (sama ada hakiki atau KUP) ke DGA34 hakiki dan yang kedua melalui kaedah penghakikian DGA34(KUP)Time Base ke DGA34 hakiki. Proses dan prosidur yang kedua ini mungkin sebagaimana kita melaksanakan pelantikan GPK melalui kaedah penghakikian sekarang ini.

Apapun kaedah dan caranya yang penting panel dapat memilih dan melantik mereka yang benar-benar berwibawa untuk menjadi pemimpin dan pengurus sekolah.

Pencapaian UPSR

Alhamdulillah tahun 2011 kita masih mampu mengekalkan sebagai negeri yang mencapai 5A (15.4%) terbaik seluruh negara di samping sebagai tempat ke dua dalam Minimun C dan Gred Purata Negeri. Tahniah kepada semua Pengurus Sekolah dan Guru-Guru Tahun 6 terutamanya. Walaupun Unit Sekolah Rendah tidak terlibat secara langsung dalam kecemerlangan UPSR tetapi pengisian Guru Besar, GPK dan guru-guru adalah usaha sokongan strategik membantu pencapaian ini.

Kita berharap pada tahun 2012 target negeri untuk mencapai 5A (20%) mesti kita usahakan di samping berusaha keras melonjakkan pencapaian Minimum C dan GPN kerana negeri jiran kita sedang rapat mengejar legasi kecemerlangan UPSR kita. Unit Sekolah Rendah akan memastikan segala sokongan yang diperlukan dapat digembeling bagi membantu mempertingkatkan pencapaian UPSR kita.

Sekolah Kecemerlangan SKK dan SBT

Tahun 2011 empat buah sekolah telah diktiraf sebagai Sekolah Kluster Kecemerlangan menjadikan SKK Rendah Terengganu sebanyak 6 buah . Sekolah yang diktiraf SKK Tahun 2011 ialah;
  1. SK Tengku Mahmud, Besut (Fasa 4)
  2. SK Rantau Petronas, Kemaman (Fasa 5)
  3. SK Seri Berang, Hulu Terengganu (Fasa 5)
  4. SK Dusun, Hulu Terengganu (Fasa 5)
Kita berharap pada tahun 2012 bagi SKK Fasa 6 dan 7 kita dapat menambah bilangan SKK Rendah. Setiap daerah telah menyenaraikan calon awal untuk SKK Fasa 6 dan 7 ini. Sementara bagi SBT Rendah selain SK Sultan Ismail, Kemaman yang telah diktiraf SBT, enam buah sekolah telah terpilih dan menunggu keputusan penilaian. Sekolah berkenaan ialah;
  1. SK Tengku Mahmud, Besut
  2. SK Tengku Mahmud 2, Besut
  3. SK Sultan Sulaiman 1, Kuala Terengganu
  4. SK Seri Berang, Hulu Terengganu
  5. SK Dusun, Hulu Terengganu
  6. SK Rantau Petronas, Kemaman
Kita berharap tahun 2012 jumlah sekolah SBT akan bertambah dengan enam calon akhir ini. Sementara sekolah-sekolah yang bakal menduduki  Band 1 harap bersedia kerana automatik mereka bakal dicalonkan sebagai calon SBT untuk kohort akan datang.

Anugerah Tawaran Baru Untuk Guru Besar

Anugerah Tawaran Baru atau Bai'ah adalah ikatan dan akurjanji Guru Besar atau Pengetua dengan KPM. Pada tahun 2011, tiga puluh orang Guru Besar daripada empat puluh lima orang Guru Besar telah menerima anugerah tawaran baru dengan hadiah wang tunai RM7,500.00 seorang dan turut diterima oleh guru dan kakitangan sekolah dengan kadar yang telah ditetapkan. Guru dan kakitangan turut menerima faedah walaupun anugerah ini bukan untuk mereka tetapi untuk Guru Besar atau Pengetua mereka. Sewajarnya suara sumbang mempersoalkan nilai hadiah diterima Guru Besar atau Pengetua tidak berlaku kerana anugerah ini untuk mereka yang diringi dengan risiko dan tanggungjawab yang berat. Jika prestasi sekolah merudum selama tiga tahun berturut-turut maka Guru Besar atau Pengetua bakal menerima penangannya. Maka tugas
mempertahankan kecemerlangannya juga amat penting.

Kita berharap tahun 2012 akan ada lebih ramai lagi Guru Besar akan menerima tawaran baru setelah pencapaian atau kehebatan mereka dinilai oleh Jemaah Nazir dan Jaminan Kualiti. Pemimpin yang hebat adalah pemimpin yang berani membuat keputusan, tindakan dan bersedia menanggung risiko.

Pengurusan Murid dan Pendidikan Wajib

Berbagai usaha dan inisiatif telah dilakukan oleh Unit Sekolah Rendah dan Pejabat Pelajaran Daerah agar semua murid yang berada dalam zon kohort umur persekolahan berada di sekolah selain tiada keciciran beralaskan kemiskinan. Selain itu urusan pertukaran dan penempatan murid mengikut prosidur yang ditetapkan. Kursus dan taklimat kepada GPK Hem telah memberi impak yang baik apabila isu-isu berkaitan persekolahan murid dilapor dan diambil tindakan segera.

Kita berharap pada tahun 2012, semua sekolah menyedia carta berkaitan tatacara pertukaran di samping persediaan jitu melaksanakan pendaftaran murid secara online. Unit Sekolah Rendah akan sentiasa memantau dan memberi khidmat nasihat agar urusan persekolahan dan pertukaran murid tiada isu yang dibangkitkan.

Penyaluran isu dan aduan

Tahun 2011 kami kira antara tahun di mana para guru dapat menyalurkan pandangan,perasaan tidak puashati dan penjelasan terhadap pelbagai isu kepada kami mengenai pengurusan sekolah atau apa sahaja dengan cepat dan pantas. Bagi membantu para guru kita sediakan email, talian terus kepada pegawai yang berkaitan serta pesanan pendek melalui blog Unit Sekolah Rendah. Kami terutama USR Blogger Team sentiasa berusaha membantu sedaya yang mungkin melalui penyaluran maklumat, penjelasan kekeliruan dan pandangan untuk penambakbaikan pengurusan sekolah rendah kita.

Kita amat berharap pada tahun 2012, Pengurus Sekolah dan para guru dapat mempertingkatkan lagi ruang dan masa untuk melayari blog ini supaya segala maklumat dapat dikongsi dengan semua warga pendidikan dengan cekap dan pantas. Kita tidak mahu lagi mendengar frasa lumrah " Oh saya tidak tahu, saya tidak dapat maklumat dan sebagainya".

Penutup

Cukuplah sepintas selalu sorotan dan harapan yang sempat kami catatkan. Kami di Unit Sekolah Rendah juga bersyukur kerana pada tahun 2011 tidak ada musibah besar yang melanda hal-ehwal sekolah rendah kita seluruh negeri. Kami ingin merakam setinggi-tinggi pengahrgaan terima kasih kepada semua guru dan kakitangan sekolah rendah seluruh negeri di atas kerjasama dan komitmen yang diberikan kepada Unit Sekolah Rendah.

Kami berharap pada tahun 2012 segala kerjabuat buat kita sentiasa diberkati dan dipermudahkan oleh Allah SWT.  Kita berharap semua pengurus sekolah sentiasa alert dengan program online seperti e-perlu dan e-gtukar serta pendaftaran murid Tahun 1 secara online pada tahun hadapan. Kita berharap pertingkatkan dan mantapkan "teamwork, teambuilding dan teambinding" di kalangan ahli organisasi sekolah kerana kerja-kerja pendidikan adalah kerja scara berpasukan bukan sendirian berhad.

Akhirnya Selamat Tahun Baru daripada semua wargakerja Unit Sekolah Rendah.

No comments:

Post a Comment