Saturday, December 31, 2011

Majlis Bahasa Inggeris penanda aras pencapaian pelajar

KUALA LUMPUR: Majlis Bahasa Inggeris akan ditubuhkan tahun depan bagi menentukan standard pencapaian bahasa Inggeris pelajar sekolah, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata, kini hanya ada satu pasukan khas Kementerian Pelajaran untuk menentukan pencapaian Bahasa Inggeris pelajar yang juga akan merujuk kepada pihak luar dalam menyediakan kertas peperiksaan.

“Bila kita kata pelajar itu pandai bahasa Inggeris, itu apa maknanya, apa ukurannya, jadi untuk tujuan itu, kita sedang memikirkan pembentukan Majlis Bahasa Inggeris untuk menanda aras standard bahasa Inggeris yang kita gunakan di Malaysia.


“Kerajaan tidak mahu bersikap syok sendiri untuk menyatakan pencapaian bahasa Inggeris sekolahnya mencapai piawaian antarabangsa kerana ada orang kata, mutu bahasa Inggeris pelajar dan rakyat negara ini masih rendah dan ada yang kata sebaliknya,” katanya.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata demikian kepada pemberita selepas membuat lawatan mengejut ke Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Tun Dr Ismail di sini, semalam bagi melihat persiapan pihak sekolah menghadapi sesi persekolahan 2012 bermula minggu depan.


Beliau berkata, majlis itu yang akan ditubuhkan selepas mendapat persetujuan kerajaan menggunakan pakar dari dalam dan luar negara serta mungkin mengadakan kerjasama dengan Universiti Cambridge.


Katanya, majlis itu berfungsi sebagai badan bebas dan boleh juga dirujuk pihak luar.

Muhyiddin turut mengumumkan Jawatankuasa Khas MBM/MBI (Mermartabatkan Bahasa Malaysia/Memperkukuhkan bahasa Inggeris) merumuskan 164,324 pelajar sekolah rendah menggunakan Bahasa Melayu sepenuhnya untuk mempelajari Sains dan 161,123 dalam Matematik.


 “Sementara 56,025 pelajar mempelajari Sains dalam Bahasa Inggeris dan 56,248 pelajar dalam subjek Matematik.

“Selebihnya mengikuti subjek itu menggunakan dwibahasa iaitu 258,622 dalam subjek Sains serta 261,600 dalam Matematik,” katanya. - Bernama

Sumber : Harian Metro

Friday, December 30, 2011

Pastikan sekolah bebas Aedes sebelum sesi bermula


PUTRAJAYA - Pihak pentadbiran sekolah di seluruh negara diminta memastikan kawasan masing-masing bebas daripada potensi pembiakan nyamuk Aedes sebelum sesi persekolahan bermula.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Hassan Abdul Rahman berkata, langkah itu susulan pemeriksaan kementerian tersebut yang mendapati 15 daripada 100 sekolah mempunyai kawasan pembiakan nyamuk Aedes.

Beliau berkata, secara keseluruhan kes denggi tahun ini menurun dengan hanya 19,682 kes dicatatkan bagi tempoh Januari hingga 24 Disember lalu berbanding 45,684 kes bagi tempoh yang sama tahun lepas.

“Jumlah kematian akibat denggi juga menurun kepada hanya 33 kes berbanding 133 tahun lalu,” katanya.

Dr. Hassan berkata, pemeriksaan Kementerian Kesihatan mendapati kawasan kedai dan perumahan meliputi 61 peratus daripada jumlah premis yang mempunyai kawasan pembiakan Aedes. 

"Memandangkan musim cuti sekolah dan perayaan pada masa sekarang, orang ramai bertumpu di pusat membeli-belah atau kebanyakan kanak-kanak banyak menghabiskan masa di rumah.
"Oleh itu, risiko jangkitan dan penyebaran virus denggi adalah tinggi pada situasi ini,” katanya. - 
BERNAMA

Sumber : Kosmo Online 
30/12/2011 5:20pm


Tiga Sekolah Menengah Baru Di Terengganu Tahun Depan

KUALA TERENGGANU, 30 Dis (Bernama) -- Tiga sekolah menengah baru akan dibina di Terengganu tahun depan, kata Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains & Teknologi dan Sumber Manusia negeri Ahmad Razif Abd Rahman.

Beliau berkata sekolah berkenaan yang telah diluluskan dalam Rancangan Malaysia Ke-10 ialah Sekolah Sukan Negeri Terengganu, Sekolah Menengah Vokasional Hulu Terengganu dan Sekolah Menengah Peroi di Setiu.

Bercakap kepada pemberita selepas majlis penyampaian bantuan musim tengkujuh kepada nelayan-nelayan di sini hari ini, beliau berkata sekolah sukan itu yang dapat menempatkan 800 pelajar akan dibina berhampiran Kompleks Sukan Gong Badak.

Ahmad Razif berkata Terengganu juga mendapat peruntukan untuk membaiki sekolah dan untuk menyediakan kemudahan asas sekolah-sekolah di negeri itu tahun hadapan.

Katanya Sekolah Menengah Jeram Teluk Pasu di Manir di sini yang baru siap dibina akan beroperasi apabila sesi persekolahan bermula minggu hadapan.

Dengan pembukaan sekolah itu, masalah kepadatan pelajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Manir dan Sekolah Menengah Kebangsaan Belara akan dapat dikurangkan kerana sebahagian daripada pelajar kedua-dua sekolah berkenaan akan berpindah ke sekolah baru itu.

-- BERNAMA

Renungan Jumaat : Bersujudlah (solat) dengan sebenar-benarnya


Assalamulaikum wrt kepada semua pengunjung. Renungan Jumaat untuk penutup tahun 2011 ialah berkaitan dengan solat. Pada pendapat USR Blogger Team kelemahan, kecelaruan dan segala penyakit dalam kehidupan kita hari ini kerana mengabai dan tidak menitikberatkan solat yang telah diperintahkan Allah SWT. Orang-orang tidak solat, mengabaikan solat, tidak menghayati solat adalah orang yang paling sombong di atas dunia kerana mereka tidak meresepi keinsafan di saat sujud misalnya satah kedudukan wajah yang dirasakan cantik, terhormat, bermaruah dan mulia pada saat ini berada setara atau setaraf dengan tapak kaki bahkan punggung yang megeluarkan najis lebih tinggi kedudukan dari tujuh anggota yang bersujud.

Begitulah kerdil dan hinanya manusia di sisi Allah tetapi manusia yang tidak pernah bersujud solat secara hakiki akan merasa merekalah yang terhebat, terhormat penuh kesombongan seolah-olah merekalah penakluk tujuh petala langit dan tujuh petala bumi.

 " Baca serta ikutlah (wahai Muhammad) akan perkara yang diwahyukan kepadamu daripada AlQuran, dan dirikanlah solat (dengan bersungguh-sungguh); sesungguhnya solat itu mencegah daripada perbuatan keji dan mungkar" (Al-Ankabut : 45)


"Dan perintahkanlah keluargamu serta umatmu mengerjakan solat, dan hendaklah engkau tekun bersabar menunaikannya. Kami tidak meminta rezeki kepadamu, bahkan Kamilah yang memberi rezeki kepadamu. Dan kesudahan yang baik adalah bagi orang yang bertakwa" (Toha : 132)

12 AZAB BAGI MEREKA YANG MENINGGALKAN SEMBAHYANG

Dalam sebuah hadis menerangkan bahawa Rasulullah S.A.W telah bersabda : "Barangsiapa yang mengabaikan solat secara berjemaah maka Allah S.W.T akan mengenakan 12 tindakan yang merbahaya ke atasnya. 

Tiga darinya akan dirasainya semasa di dunia ini antaranya :-

  1. Allah S.W.T akan menghilangkan berkat dari usahanya dan begitu juga terhadap rezekinya. 
  2. Allah S.W.T mencabut nur orang-orang mukmin daripadanya.
  3. Dia akan dibenci oleh orang-orang yang beriman.
Tiga macam bahaya adalah ketika dia hendak mati, antaranya :
  1. Ruh dicabut ketika dia di dalam keadaan yang sangat haus walaupun ia telah meminum seluruh air laut. 
  2. Dia akan merasa yang amat pedih ketika ruh dicabut keluar.
  3. Dia akan dirisaukan akan hilang imannya.
Tiga macam bahaya yang akan dihadapinya ketika berada di dalam kubur, antaranya :-
  1. Dia akan merasa susah terhadap pertanyaan malaikat mungkar dan nakir yang sangat menggerunkan. 
  2. Kuburnya akan menjadi cukup gelap.
  3. Kuburnya akan menghimpit sehingga semua tulang rusuknya berkumpul (seperti jari bertemu jari).
Tiga lagi azab nanti di hari kiamat, antaranya :
  1. Hisab ke atasnya menjadi sangat berat. 
  2. Allah S.W.T sangat murka kepadanya. 
  3. Allah S.W.T akan menyiksanya dengan api neraka 

10 JENIS SOLAT YANG TIDAK DITERIMA OLEH ALLAH S.W.T

Rasulullah S.A.W. telah bersabda yang bermaksud : "Sesiapa yang memelihara solat, maka solat itu sebagai cahaya baginya, petunjuk dan jalan selamat dan barangsiapa yang tidak memelihara solat, maka sesungguhnya solat itu tidak menjadi cahaya, dan tidak juga menjadi petunjuk dan jalan selamat baginya." (Tabyinul Mahaarim)

Rasulullah S.A.W telah bersabda bahawa : "10 orang solatnya tidak diterima oleh Allah S.W.T, antaranya :

1. Orang lelaki yang solat sendirian tanpa membaca sesuatu.
2. Orang lelaki yang mengerjakan solat tetapi tidak mengeluarkan zakat.
3. Orang lelaki yang menjadi imam, padahal orang yang menjadi makmum membencinya.
4. Orang lelaki yang melarikan diri.
5. Orang lelaki yang minum arak tanpa mahu meninggalkannya (Taubat).
6. Orang perempuan yang suaminya marah kepadanya.
7. Orang perempuan yang mengerjakan solat tanpa memakai tudung.
8. Imam atau pemimpin yang sombong dan zalim menganiaya.
9. Orang-orang yang suka makan riba'.
10. Orang yang solatnya tidak dapat menahannya dari melakukan perbuatan yang keji dan mungkar."

Sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud : "Barang siapa yang solatnya itu tidak dapat menahannya dari melakukan perbuatan keji dan mungkar, maka sesungguhnya solatnya itu hanya menambahkan kemurkaan Allah S.W.T dan jauh dari Allah."

Hassan r.a berkata : "Kalau solat kamu itu tidak dapat menahan kamu dari melakukan perbuatan mungkar dan keji, maka sesungguhnya kamu dianggap orang yang tidak mengerjakan solat. Dan pada hari kiamat nanti solatmu itu akan dilemparkan semula ke arah mukamu seperti satu bungkusan kain tebal yang buruk."


"Wahai Tuhanku, Jadikanlah aku orang yang mendirikan solat dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenanlah doa permohonanku" (Surah Ibrahim : 40)


Thursday, December 29, 2011

Tahlil Menjelang Tahun Baru

KUALA TERENGGANU - Semalam satu majlis tahlil telah diadakan di surau jabatan sempena tahun baru dan juga sebagai tahlil arwah kepada kaum kerabat keluarga warga Jabatan Pelajaran Negeri yang telah kembali ke rahmatullah sepanjang tahun 2011. Selain pegawai dan kakitangan warga JPN Terengganu turut hadir ialah En.Hashim bin Mohd Zin, Timbalan Pengarah Pelajaran Negeri Terengganu.

Majlis tahlil dimulakan dengan solat Zohor berjemaah. Selepas itu diikuti oleh tahlil yang diketuai oleh Tuan Haji Zakaria bin Jusoh, Penolong Pengarah dari Sektor Pendidikan Islam, JPN Terengganu.

Sesungguhnya kita amat bersyukur dengan pencapaian keseluruhan kerjabuat pendidikan pada tahun ini dan kita semua berharap dan berdoa semoga kerjabuat kita pada tahun 2012 akan dipermudahkan lagi serta diberkati oleh Allah SWT. Kita berharap dan berdoa semoga pencapaian tahun 2012 akan lebih cemerlang dan gemilang lagi. Insyaallah.