Sunday, February 19, 2012

Isu 15,000 guru tidak naik gred : Respone Timbalan Menteri Pelajaran

15,000 naik gred
Guru lepasan ijazah nikmati manfaat semakan semula SBPA

 
KUALA LUMPUR: Kerajaan semalam memberi jaminan 15,000 guru lepasan ijazah yang belum menerima kenaikan gred akan menikmatinya sebaik semakan semula skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) diselesaikan April ini.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi, berkata Kementerian Pelajaran sudah mengambil tindakan berhubung kenaikan pangkat itu walaupun SBPA masih di peringkat semakan semula Pasukan Petugas Khas diketuai bekas Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Ismail Adam.

Beliau menjelaskan Kementerian Pelajaran tidak dapat menaikkan gred guru terbabit tahun lalu disebabkan dasar membekukan lantikan baru bermula 20 Mei sehingga 31 Disember, selain tidak mempunyai jumlah perjawatan mencukupi.

“Daripada rekod Kementerian Pelajaran, kita dapati 7,396 pegawai perkhidmatan pendidikan lepasan diploma (PPPLD) sudah diperakui oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran (SPP) untuk dilantik sebagai pegawai perkhidmatan siswazah.

“Bagaimanapun, pelantikan mereka tidak dapat dilakukan tahun lalu berikutan pembekuan itu... sebab itulah timbul isu berkenaan,” katanya di sini, semalam.

Minggu lalu, Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Lok Yim Pheng mendedahkan kira-kira 15,000 guru lepasan ijazah di seluruh negara belum menerima kenaikan gred DG41 walaupun sebahagian mereka sudah melepasi proses temu duga sejak dua tahun lalu.

Situasi itu menimbulkan ketidakpuasan hati kumpulan guru terbabit yang terpaksa membuat pinjaman pendidikan atau mengeluarkan simpanan peribadi bagi menampung kos menyambung pelajaran masing-masing.

Sumber : Berita Harian Online 18 Feb 2012 


1 ulasan:

Anonymous said...

HAIRAN,,KITA DIDEDAHKAN DENGAN PELBAGAI PERANCANGAN STRATEGIK DAN SEBAGAINYA UNTUK MENJADIKAN SEKOLAH KLUSTER ATAU SEBAGAINYA. MAKA BERTUNGKUS LUMUSLAH KITA SEBAGAI PELAKSANA. TETAPI DI PERINGKAT PREMIER MENGAMBIL MUDAH SEPERTI KES INI. SEPATUTNYA MEREKALAH YANG PERLU DIKLUSTERKAN.BAGAIMANAKAH PERSEPSI GURU YANG TERLIBAT AKAN KEPERCAYAAN DAN INTEGRITI TERHADAP KEMENTERIAN, APATAH LAGI MENTERI YANG TERLIBAT. OH, SIAPAKAH YANG PERLU BERUBAH, MENTERI,KEMENTERIAN, JABATAN ATAU.........

Post a Comment