Thursday, February 9, 2012

Belanja RM3.7 juta untuk tuisyen PPAI

Terengganu memperuntukkan RM3.7 juta kepada Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) seluruh negeri sepanjang tahun ini bagi melaksanakan kelas tuisyen di setiap sekolah menerusi Program Pendidikan Anjung Ilmu (PPAI).

PPD Kuala Terengganu menerima RM1,247,034; PPD Kemaman RM545,196; PPD Besut (RM572,364); PPD Dungun (RM493,524); PPD Hulu Terengganu (RM280,422); PPD Setiu (RM243,984) dan PPD Marang RM357,078.
Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata setiap PPD menerima peruntukan yang berbeza di mana bergantung kepada jumlah sekolah, kelas serta pelajar yang bakal mengikuti tuisyen di sekolah masing-masing itu.

“Kerajaan negeri menyediakan RM3.7 juta hanya untuk tuisyen dan program ini tidak dilaksanakan di mana-mana negeri selain Terengganu.

“Manakala perbelanjaan tambahan digunakan kerajaan negeri untuk membiayai kertas peperiksaan OT 1, 2 dan 3. Sesetengah negeri meminta ibu bapa mengeluarkan bayaran bagi mencetak soalan peperiksaan ,” katanya ketika sidang media selepas melancarkan Anugerah Apresiasi Kecemerlangan UPSR & PMR 2011 dan Pelancaran Program Pendidikan Anjung Ilmu 2012, di Dewan Besar, Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, semalam (8 Februari)

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Haji Ahmad Razif Abd Rahman dan Timbalan Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri, Encik Hashim Mohd Zin.

Dalam perkembangan lain, Menteri Besar berkata kerajaan negeri memperuntukkan perbelanjaan tambahan bagi menyediakan komputer riba kepada kira-kira 3,000 guru Tahun Lima di seluruh Terengganu yang melibatkan peruntukan kira-kira RM4.5 juta pada tahun ini.

“PPAI termasuk dalam bajet keseluruhan untuk sektor pendidikan Terengganu sepanjang 2012, kecuali komputer riba yang akan kita agihkan kepada guru Tahun Lima tahun ini di mana ia merupakan peruntukan tambahan di bawah Pejabat menteri Besar,”katanya.

Selain itu, beliau berkata kerajaan negeri memperuntukkan jumlah yang besar bagi tujuan pendidikan. Bagaimanapun segelintir pihak yang menyedari perkara itu sengaja memanipulasikannya menerusi sistem pesanan ringkas untuk mempengaruhi orang ramai akibat terdesak terutama ketika musim pilihan raya .

Sumber : Teganukita.blogspot



0 ulasan:

Post a Comment