Friday, February 3, 2012

Empat belas sekolah lagi terima pengiktirafan SBT

PUTRAJAYA 3 Feb. - Lima sekolah dari Johor, tiga dari Kedah, dua dari Terengganu, dua dari Pulau Pinang, serta masing-masing satu dari Pahang dan Negeri Sembilan, berada dalam kohort ketiga yang mendapat pengiktirafan sebagai Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) hari ini, menjadikan jumlahnya kini 66 sekolah.

Semua pengetua dan guru besar 14 sekolah berkenaan tampil menerima watikah pengiktirafan dan peruntukan dana khas di Auditorium Parcel E di sini, yang disampaikan sendiri oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata SBT bukan bertujuan mengiktiraf kecemerlangan sekolah semata-mata, tapi yang lebih penting ialah memastikan kecemerlangan itu dapat memberi impak positif kepada pencapaian pelajar.

"Menerusi usaha-usaha terkini kerajaan, saya jangka selepas fasa penilaian semula, dan hala tuju sistem pendidikan negara dimuktamadkan, tanggungjawab kecemerlangan yang akan dipikul warga SBT akan menjadi lebih mencabar lagi,” katanya ketika berucap pada majlis itu.

Beliau berkata, SBT dilaksanakan dalam usaha mengangkat kualiti sekolah yang terbaik dengan cara meningkatkan kualiti pencapaian institusi pendidikan menerusi peningkatan tahap autonomi dan akauntabiliti, di samping membenarkan ia melaksanakan inovasi dalam pengurusan masing-masing.
 
“Program itu juga bermatlamat untuk menghasilkan pelajar holistik yang cemerlang dengan menjadikan SBT sebagai tempat melatih murid cemerlang bertaraf antarabangsa di samping menjadi personaliti unggul dalam semua bidang,” katanya.

Sepuluh sekolah rendah dan empat sekolah menengah yang menerima pengiktirafan SBT hari ini ialah SK(P) Sultan Ibrahim, Johor Baharu; SK Infant Jesus Convent, Johor Baharu; SK Ibrahim, Sungai Petani, Kedah; SK Sultan Sulaiman 1, Kuala Terengganu; SK Tengku Mahmud, Besut, Terengganu; SK Assunta Convent, Kuantan, Pahang; SK Minden Height, Pulau Pinang; SJKC Kwang Hwa, Pulau Pinang; SJKC Keat Hwa (H) Alor Setar, Kedah; SJKC Foon Yew 2 Johor Baharu, Johor; SM Sains Sultan Mohamad Jiwa, Sungai Petani, Kedah; SM Sains Tuanku Jaafar, Kuala Pilah, Negeri Sembilan; SM Sains Kota Tinggi, Kota Tinggi, Johor; dan SM Sains Johor, Kluang, Johor. - BERNAMA


No comments:

Post a Comment