Seminggu yang lepas seluruh negara sibuk dengan penempatan guru baru. Ceritera mengenai penempatan guru baru seringkali ditanya dan diluahkan dalam forum, blog dan laman sosial yang lain terutama selepas mereka tamat belajar kursus dan menunggu penempatan. Ada yang mengeluh, mengugut dan yang kurang sabar menggunakan cercaan terhadap kerajaan dan KPM kerana lambat membuat penempatan. Mereka terlupa untuk membaca perjanjian standard bagi lepasan program pendidikan samada KPLI,PISMP atau yang sewaktu dengannya antara lain berbunyi;
"Jika dikehendaki oleh kerajaan dalam masa dua belas selepas tamat kursus kerajaan boleh melantik....."
Berbanding sewaktu kami tamat latihan perguruan dahulu bila balik kampung putuslah segala informasi hanya menunggu surat penempatan. Sesekali telefon kawan-kawan bertanya khabar sama ada terima atau belum surat penempatan. Bila terima surat penempatan macam musang tegalong tidak tahu hendak digambarkan di mana tempatnya dan kepada siapa harus ditanya dan dirujuk.
Begitulah sedikit gambaran berbezanya suasana dan zaman antara dahulu dan sekarang. Sekarang bakal-bakal guru mempunyai rangkaian yang sangat luas untuk berwacana dan berwahana bersama rakan-rakan melalui pelbagai laman sosial seperti facebook. Siap tubuh group lagi. Justru perubahan zaman maka pendekatan juga berbeza. Justru itu kami juga menggunakan pendekatan berbeza selari dan serasi dengan suasana. Kami salurkan maklumat melalui blog dan facebook serta berintraksi secara langsung dengan bakal-bakal guru yang ditempatkan di negeri ini. Bahkan pegawai KPM juga siap menyediakan maklumat penerbangan serta pelbagai tip persediaan untuk dikongsi dengan bakal guru. Aduh beruntungnya. Natijahnya mudah sahaja kita mahu para guru tidak mengulangi "kepedihan" yang kami rasai dahulu dan mahu "guru permulaan" merasa seronok dan diraikan memasuki dunia pendidikan sebenar. Zaman telah berubah, pendekatan harus berbeza beb.
Keberuntungan guru baru zaman ini bukan sahaja ditemukan dengan pegawai penjaga di setiap daerah tetapi juga pegawai atasan dan pegawai yang menjaga urusan mereka di peringkat negeri. Seingat saya dahulu, saya hanya dipanggil taklimat hanya di peringkat daerah sahaja oleh Pegawai Pelajaran Daerah. Selepas itu diberikan sekolah penempatan. Kami tidak tahu siapa Pengarah dan pegawai jabatan yang menjaga kami. Selepas ditempatkan tiga bulan adalah wajib untuk tidak mendapat gaji. Pernah kami tanam tebu dan ubi di belakang kuaters untuk menampung makan ruji. Nak minta dengan mak ayah kat kampung malu. Nasib juga Guru Besar faham dan mendahulukan melalui tabung PIBG atau Peruntukan LPBT.
Kami kira sekarang urusan lebih cepat, cekap dan pantas. Rasanya sebelum tiga bulan gaji dah dapat. Kalau lambat juga banyak saluran luahan dan aduan dapat dibuat bagi mendapat panduan serta pertolongan. Zaman ini bila pelanggan mengadu ia wajib disiasat dan dilapor. Ia termasuk dalam ISO. Jangan main-main dan ambil mudah tentang aduan. Insyaalah tidaklah sampai makan ubi atau tebu kut. Zaman telah banyak berubah, pendekatan harus berbeza.Begitu juga masalah dalam melaksanakan tugas pengajaran-pembelajaran seperti penyediaan rancangan pelajaran, memperolehi sukatan pelajaran dan sebagainya dapat dikongsi atau diakses dengan pantas. Ramai mahaguru maya yang boleh membantu serta konsultan percuma yang memberi khidmat nasihat.
Zaman telah berubah, pendekatan pengajaran-pembelajaran juga harus berbeza. Zaman "chalk and talk" sepatutnya telah lama berlalu. Zaman ini zaman 'murid berbuat, guru membimbing". Zaman ini "zaman ICT". Zaman ini " zaman melahirkan murid berilmu, berkemahiran dan menghayati nilai mulia". Zaman ini bukan "zaman penampar Jepun tapi zaman sentuh hati, sentuh jiwa dan minda". Ingat pesan Syaidina Ali r.a " Jangan ajar murid kamu sebagaimana kamu diajar kerana mereka akan hidup di zaman yang berbeza daripada kamu". Ajar mereka untuk masa depan. Ajar mereka untuk kuat dan gigih merebut peluang. Ajar mereka untuk hidup bersama dengan orang lain. Ajar mereka untuk menyelesaikan masalah dengan cekap dan mahir. Kalau mereka tidak dapat, jangan marah,jangan pukul tapi "peluk" mereka. Biar mereka aman, yakin dan berani.
Itu metadologi Jibrail bila mengajar Nabi Muhammad sewaktu mengajar Nabi membaca "Iqra". Jibrail tidak maki, Jibrail tidak lempang tapi Jibrail peluk Nabi. "Peluklah" anak murid cikgu dengan perhatian, kasihsayang dan kecaknaan. Zaman telah berubah, pendekatan harus berbeza. Nanti cikgu diingati, dikasihi, dihormati dan dikenangi biarpun zaman silih berganti.
Selamat berjuangan guru baru ,ingat tu zaman telah berubah, pendekatan harus berbeza....
No comments:
Post a Comment