Saturday, January 14, 2012

Penempatan Guru Baru ke Terengganu 16 Jan 2012

KUALA TERENGGANU – Pada 16 Januari 2012 seramai 111 orang guru baru bakal ditempatkan di negeri Terengganu, Anjung Ilmu. Majoriti guru baru ini terdiri dari opsyen Bahasa Inggeris, Prasekolah dan Pendidikan Khas. Bakal-bakal guru yang ditempatkan kali ini dilatih melalui tiga program besar iaitu  TESL (11 orang), KPLI (54 orang) dan PISMP (46 orang).

Dari segi taburan negeri pula bakal guru ini terdiri dari Terengganu (89 orang), Kelantan (12 orang), Kedah (4 orang), Pahang (2 orang), Johor (1 orang), Negeri Sembilan (1 orang), Perak (1 orang ) dan Selangor (1 orang). Kemasukan anak negeri Terengganu ke negeri Terengganu yang agak ramai tentunya mengecewakan sebilangan guru yang tidak dapat bertukar masuk pada sesi yang lepas. Walau bagaimanapun kemasukan Guru Bahasa Inggeris dari anak negeri sangat dialu-alukan bagi menampung defisit guru Bahasa Inggeris yang bertukar keluar setiap tahun. Mudah-mudahan mereka akan kekal di Terengganu walaupun telah berkeluarga nanti.

Mesyuarat Panel Penyelarasan Penempatan Guru Baru telah diadakan pada 11 dan 12 Jan lalu di Shahzan Inn, Kuantan. En. Zakariah Ali, Ketua Sektor, Sektor Pengurusan Sekolah telah mempengerusikan mesyuarat berkenaan. Ketua Unit Sekolah Rendah, Penolong Pengarah Guru, Unit Sekolah Rendah dan Penyelia Kanan Unit Rendah dan Pengurusan Sekolah PPD seluruh negeri menghadiri mesyuarat berkenaan. Turut hadir ialah Ketua Unit PraSekolah dan Pegawai daripada Sektor Pendidikan Khas dan Swasta. 

Ketua Sektor Pengurusan Sekolah mengingatkan semua jawatankuasa supaya membuat keputusan yang teliti terutama bagi memastikan semua sekolah mempunyai guru dan kalau boleh opsyen yang mencukupi serta taburan guru yang seimbang antara sekolah dan daerah.  Beliau juga mengingatkan agar daerah-daerah yang kritikal seperti Kemaman, Dungun, Setiu dan Hulu Terengganu diberi perhatian. Selain itu proses redeployment antara daerah juga harus diambil kira agar komposisi kemahiran dan pengalaman guru dapat diseimbangkan. Justru itu jawatankuasa telah memberi pertimbangan yang teliti agar kepentingan semua perkara diambil kira terutama “kepentingan semua murid” untuk mendapat pendidikan yang adil akan dipenuhi sebaik mungkin. Taburan  penempatan guru baru mengikut daerah ialah Besut (11), Setiu (18), Hulu Terengganu (13), Kuala Terengganu (10), Marang (13), Dungun (21) dan Kemaman (25)

Kita pasti tidak semua pihak berpuashati dengan penempatan mereka. Lumrahnya setiap guru ingin ditempatkan di sekolah yang paling hampir  dengan tempat tinggal mereka. Bermacam alasan diberi bagi menjayakan hasrat dan niat mereka itu. Tapi dari sudut kami kita akan tempatkan guru di sekolah yang memerlukan khidmat mereka dengan juga mengambil kira hasrat mereka seboleh yang mungkin. Adalah mustahil bagi memenuhi hasrat semua guru baru tetapi pasti hasrat perkhidmatan dan murid dapat kita penuhi sebaik mungkin. Perkhidmatan sebagai guru dan muridlah maka kita beroleh kerjaya ini dan tempat melaksana segala perkhidmatan, teori dan amalan pendidikan adalah di sekolah Walau di mana lokasinya,  sekolah itu “Tidak ada sekolah yang tidak sesuai bagi seorang guru”

Dialah pemberi paling setia
Tiap akar ilmu miliknya
Pelita dan lampu segala
Untuk manusia sebelum jadi dewasa.

Dialah ibu dialah bapa juga sahabat
Alur kesetiaan mengalirkan nasihat
Pemimpin yang ditauliahkan segala umat
Seribu tahun katanya menjadi hikmat
(Allahyarham Dr.Usman Awang)

 p/s : Jika semua urusan berjalan lancar esok 15 Jan 2012 senarai nama dan daerah penempatan diuploadkan.

No comments:

Post a Comment