Thursday, January 26, 2012

Isu SBPA : Tempoh Tiga Bulan Cukup Untuk Pasukan Khas Semak Semula SBPA

PUTRAJAYA, 25 Jan (Bernama) -- Pengerusi pasukan petugas semakan semula Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) Tan Sri Ismail Adam yakin tempoh tiga bulan untuk pasukan itu membuat kajian dan penambahbaikan terhadap skim baru itu adalah mencukupi.

Sehubungan itu beliau yang juga bekas Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) berkata pasukan itu akan bekerja keras bagi memastikan perkara-perkara berbangkit yang tidak memuaskan hati sesetengah pihak dapat diselesaikan mengikut tempoh yang ditetapkan.

"Sebagai permulaan hari ini kita membincangkan mengenai terma rujukan. Itu sahajalah," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat pertama pasukan petugas semakan semula SBPA di JPA di sini Rabu.

Pasukan semakan itu yang bermesyuarat selama kira-kira dua jam turut dianggotai Cuepacs, pegawai kanan JPA, Jabatan Peguam Negara dan Kementerian Kewangan.

Ismail berkata buat masa ini terlalu awal untuk pasukan itu membincangkan mengenai cadangan atau penambahbaikan SBPA kerana pihaknya masih menunggu maklum balas daripada penjawat awam sehingga 15 Feb depan untuk membuat sebarang cadangan.

Sebelum ini Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata jawatankuasa khas itu diberikan tempoh tiga bulan bagi membuat kajian dan penambahbaikan pelaksanaan SBPA dan mestilah memuaskan semua pihak sebelum dilaksanakan.

-- BERNAMA
 

0 ulasan:

Post a Comment