Thursday, January 19, 2012

Anugerah Guru Unggul 2011


KUALA TERENGGANU 18 Jan. – Seramai 25 orang guru di negeri yang memperlihatkan dedikasi yang tinggi dalam memikul tanggungjawab mereka, menerima Anugerah Guru Unggul 2011 malam semalam.

Anugerah kelolaan Syarikat ExxonMobil bersama Jabatan Pelajaran negeri ini merupakan satu lagi bentuk pengiktirafan bagi warga pendidik yang memacu peningkatan pencapaian akademik, kokurikulum dan sahsiah pelajar.

Exxonmobil memperuntukkan RM37,500 dalam program tahunan kali kelima ini sebagai ganjaran kepada mereka yang dipilih melalui proses temuduga setelah disaring daripada 112 pencalonan yang diterima.

Masing-masing menerima hadiah wang tunai RM1,500, sijil dan plak yang disampaikan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said dalam majlis makan malam di Hotel Primula di sini.

Turut hadir, isteri Menteri Besar, Toh Puan Seri Norliza Mahmud; Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Mazlan Ngah dan Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Ahmad Razif Abd. Rahman.

Penerima terdiri daripada 16 guru wanita dan sembilan guru lelaki dari 24 sekolah rendah dan menengah termasuk Abdul Wahab Awang, Aminorzie Che Wail, Anis Salwani Mahmood, Anuar Mohamed, Che Johan MHd. Amin, Fatimah Midin, Zaliha Abdul Rahman, Yusri Yahamat dan Yusnita Md. Yunus.

Turut menerima anugerah itu ialah Mahiran Mohd. Noor, Mariah Abdul Ghani, Mohd. Fadhli Omar, Mohd. Yusof Ismail, Mohd. Zuki Ghazali, Nor Zawatilisyqi Ismail, Noraini Ibrahim, Norlinza Mat Napiah, Nurul Suzana Mohd. Zahid, Suhaimi Mohd. Salleh dan Tengku Nor Hasnida Tengku Hashim.

Penolong Pengurus Pengeluaran Subsidiari ExxonMobil, J. Hunter Farris ketika berucap pada majlis itu berkata, anugerah Guru Unggul merupakan sebahagian daripada program pembangunan pendidikan yang didukung dalam komuniti di mana syarikat beroperasi.

“Di Terengganu di mana ExxonMobil beroperasi dalam pengeluaran minyak dan gas, kami juga menaja program kesedaran sains dan teknologi, kegiatan bagi pembangunan Bahasa Inggeris dan sumbangan peralatan perubatan kepada hospital dan klinik. 

“Exxonmobil sentiasa menyokong usaha kerajaan negeri dalam memberi kesedaran kepada rakyat bagi meningkatkan kecemerlangan pendidikan dan modal insan.

“Kita percaya pendidikan yang cemerlang lahir daripada guru yang unggul dan malam ini ia bagi merangsang mereka untuk terus gigih mencorakkan masa depan generasi kini,” ujarnya.

Sumber : Utusan Malaysia Online,19 Jan 2012.

No comments:

Post a Comment