Tuesday, January 31, 2012

Tahniah, SM Sains Dungun, Terengganu..

Sekolah Menengah (SM) Sains Dungun menerima pengiktirafan daripada Kementerian Pelajaran sebagai Sekolah Kluster Kecemerlangan (SKK).

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Seri Abdul Ghafar Mahmud berkata, sebanyak 15 buah sekolah lagi iaitu tujuh sekolah menengah dan lapan sekolah rendah menerima pengiktirafan itu.

Menurutnya, ini merupakan fasa keenam, dan dalam lima fasa sebelum ini sebanyak 167 sekolah telah menerima pengiktirafan tersebut.

"Semua sekolah yang telah menerima pengiktirafan akan diberi peruntukan khas bagi tujuan membangunkan kecemerlangan sekolah masing-masing,” katanya dalam ucapan sempena majlis penyampaian sijil pengiktirafan itu di Putrajaya, semalam.

Beliau berkata, menerusi SKK, setiap sekolah yang mempunyai pencapaian cemerlang dalam akademik dan kokurikulum akan diberi pengiktirafan, bantuan dan peluang pendidikan terbaik daripada kerajaan.

"SKK juga memberikan peluang kepada sekolah yang dipilih untuk meningkatkan jaringan kerjasama dua hala yang berterusan dengan sekolah lain dalam dan luar negara,” katanya.

Enam lagi sekolah menengah terbabit ialah SM Sains Sultan Muhammad Jiwa, Sungai Petani, Kedah; SM Kebangsaan Seafield, Subang Jaya, Selangor; SM Sains Sultan Haji Ahmad Shah dan SM Kebangsaan Alor Akar di Pahang serta SM Tinggi Kluang dan SM Kebangsaan (P) Sultan Abu Bakar, Muar di Johor.

Bagi sekolah rendah pula ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Convent Infant Jesus 1, Melaka; SK Taman Bukit Maluri, Kuala Lumpur; SK Agama Sibu, Sarawak; SK Seliau, Rantau, Negeri Sembilan; SK USJ 2, Subang Jaya, Selangor; Sekolah Rendah Kebangsaan Seri Indera, Kangar, Perlis; dan SK Minden Heights, Gelugor dan SK Jenis Kebangsaan Cina Kwang Hwa, Bayan Lepas, di Pulau Pinang.

No comments:

Post a Comment