Tuesday, January 3, 2012

Lebih 82,000 Murid Mula Tahun Satu Di Tiga Negeri

KUALA LUMPUR: Lebih 82,000 murid memulakan Tahun Satu di 1,305 sekolah rendah di Terengganu, Kedah dan Kelantan apabila penggal pertama persekolahan 2012 dibuka di negeri berkenaan, Selasa.
Bagaimanapun, sesi persekolahan terganggu di beberapa sekolah di Rantau Panjang dan Gua Musang di Kelantan serta Setiu di Terengganu kerana masalah banjir atau jalan masuk ke sekolah dinaiki air menyebabkan terputus hubungan.
Di TERENGGANU, Timbalan Pengarah Pelajaran Negeri, Hashim Mohd Zain berkata 21,024 murid memulakan Tahun Satu di 349 sekolah rendah.
Dua sekolah terpaksa menangguhkan sesi persekolahan kerana terlibat dengan banjir.
"Kedua-dua sekolah di daerah Setiu itu ialah Sekolah Kebangsaan Kampung Bukit melibatkan 52 murid, dan Sekolah Kebangsaan Kampung Besut melibatkan 201 murid. InsyaAllah, jika keadaan cuaca dan banjir pulih, sekolah berkenaan akan dibuka mulai esok," katanya.
Di KEDAH, 32,068 murid Tahun Satu di 538 sekolah memulakan sesi persekolahan hari ini, menurut Pengarah Pelajaran Negeri, Mansor Lat.
Bagi Tingkatan Satu, bilangan pelajar di 179 sekolah di Kedah meningkat kepada 34,202 tahun ini berbanding 33,256 tahun lepas.
"Bagi pra-sekolah, bilangan kelas bertambah sebanyak 20 menjadikan 546 kelas dengan 13,650 murid," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke kelas Tahun Satu di Sekolah Kebangsaan Taman Uda di Alor Setar.
Selain itu, sebuah sekolah baharu dibuka di Sungai Petani iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan Teluk Bayu dengan jumlah pelajar berdaftar melebihi 300 orang.
Mansor berkata jumlah guru yang mengajar di sekolah rendah untuk sesi persekolahan 2012 ialah 17,368 orang dan 11,897 di sekolah menengah.
Di KELANTAN, lebih 29,000 murid Tahun Satu memulakan alam persekolahan di 418 sekolah.Pengarah Pelajaran Kelantan Hussain Awang berkata 150,407 pelajar sekolah menengah pula memulakan sesi pengajian di 169 sekolah di negeri ini.
"Sebuah sekolah rendah yang baru di Gua Musang, iaitu Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina (SRJK) Pulai, mula beroperasi hari ini," katanya kepada Bernama di Kota Baharu.
Hussain berkata 11 sekolah di daerah Rantau Panjang dan dua di Gua Musang tidak dapat memulakan sesi pengajian kerana masalah berkaitan banjir.
Antara sekolah terlibat di Rantau Panjang ialah Sekolah Kebangsaan (SK)Rantau Panjang, SK Sri Rantau Panjang 1, SK Lubok Setol, SK Kok Pauh, SK Sri Rantau Panjang 2 dan Sekolah Agama Bantuan Kerajaan Diniah, Kampung Bongor.
Sekolah yang terlibat di Gua Musang pula ialah SK Balar dan SK Bihar di perkampungan Orang Asli yang terputus laluan ke sekolah kerana dinaiki air dan tanah runtuh.
Hussain berkata sekolah-sekolah berkenaan akan beroperasi sebaik banjir pulih dan kerja pembersihan siap sepenuhnya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment