Saturday, January 28, 2012

Isu SBPA : Tangguh bayar gaji ikut SBPA


PUTRAJAYA: Kerajaan memutuskan pembayaran gaji di bawah Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) hanya akan dibuat selepas semakan semula terhadap skim itu dimuktamadkan.
Kementerian Kewangan dalam kenyataannya, berkata, ia berikutan keputusan jemaah Menteri pada 11 Januari lalu supaya pelaksanaan SBPA disemak semula.

Menurutnya, bagi penjawat awam yang memilih opsyen SBPA, pembayaran baki perbezaan gaji bagi Januari di bawah SBPA tidak dapat dilaksanakan pada 31 Januari seperti yang diumumkan sebelum ini.

“Pembayaran gaji bulanan di bawah SBPA mulai Februari juga tidak dapat dilaksanakan dan ia akan dibayar mengikut Sistem Saraan Malaysia (SSM).

“Keputusan itu berdasarkan permintaan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Perkhidmatan Awam (Cuepacs),” katanya.

Menurutnya, pembayaran pelarasan gaji berdasarkan SBPA hanya akan dibuat selepas semakan semula SBPA dimuktamadkan dengan mengambil kira tarikh kuat kuasa SBPA pada 1 Januari.

Sementara itu, Presiden Cuepacs, Datuk Omar Osman berkata, pihaknya menyambut baik keputusan kerajaan untuk menangguhkan pembayaran berkenaan kerana ia perlu diselaraskan secara menyeluruh.

“Seperti yang dinyatakan pihak kami sebelum ini, pelaksanaan SBPA tidak boleh dilakukan tanpa mengkaji kesamarataan dari segi bayaran gaji pegawai pelbagai gred. Ini kelak akan menimbulkan isu dan hak yang tidak adil,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, semalam.


Sehubungan itu, beliau berkata, dalam usaha mencapai kata putus yang sepakat, beliau menyarankan supaya lebih ramai pegawai kanan daripada Cuepacs dilantik untuk menganggotai jawatankuasa semakan semula SBPA.

“Dengan adanya penambahan anggota kami, perkara ini mungkin boleh dilihat secara lebih jelas dan pembabitan persatuan sekerja lain boleh dibabitkan sekiranya ada isu berbangkit,” katanya.


Sumber : Harian Metro online,28 Januari 2012

No comments:

Post a Comment