Monday, January 2, 2012

Mesyuarat Pegawai Perhubungan Sekolah

KUALA TERENGGANU - Pagi tadi bertempat di Bilik Mesyuarat Alamanda, Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu telah diadakan Mesyuarat Pegawai Perhubungan Sekolah di bawah Sektor Pengurusan Sektor Sekolah bagi penyelarasan pemantauan dan khidmat bantu kepada sekolah-sekolah Angkat Tahun 2012. Mesyuarat berkenaan telah dipengerusikan oleh En. Zakariah bin Ali, Ketua Sektor Pengurusan Sekolah dan dihadiri oleh semua pegawai daripada pelbagai unit di bawah Sektor Pengurusan Sekolah.

Semua pegawai telah dibekalkan dengan senarai sekolah angkat yang baru serta beberapa instrument pemantauan persediaan awal tahun mulai 3 Januari 2012. Semua pegawai dingatkan agar berhemah semasa membuat pemantauan walaupun di sekolah angkat sendiri kerana tujuan utama pemantauan ialah untuk membantu sekolah bukannya mencari kelemahan. Mereka juga dikehendaki menjaga komunikasi tetapi tegas.

Pemantauan persediaan persekolahan memberi fokus utama kepada beberapa perkara berikut:
  1. Bekalan kerusi meja murid dan guru
  2. Bekalan buku teks
  3. Kedudukan bekalan guru
  4. Buku Rekod Mengajar Guru
  5. Rekod daftar murid
  6. Isu sumbangan PIBG dan bayaran koperasi
  7. Infrastruktur sekolah
  8. Keceriaan dan kebersihan kawasan sekolah
  9. Pengurusan PIBG
Pihak sekolah terutama Guru Besar diharapkan dapat membuat persiapan rapi dan awal agar urusan pembukaan sesi persekolahan 2012 berjalan dengan lancar dan tiada sebarang isu yang akan timbul. Kita amat yakin bahawa tidak akan ada warga sekolah yang akan tersenyum lebar jika nama dan gambar sekolah mereka keluar di media lantaran isu-isu sensasi kerana kegagalan memenuhi piawaian asas kesiapsiagaan sekolah untuk operasi hari pertama.

No comments:

Post a Comment