Wednesday, April 13, 2011

Kerja gila,gila kerja ....

Arakian maka gegak gempita segala macam memanda apabila dengan sekonyong-konyongnya telah turun satu perintah bertanya sebab musabab mengapa e-operasi tidak dikemaskini oleh pakulun-pakulun memanda yang telah diamanahkan. Tidur memanda terjaga di tengah malam.Makan memanda tersedak kerana mengenang bala bencana yang datang. Mandi memanda tidak berapa basah walau tujuh lautan,tujuh telaga dicuba. Bala,bala,bala. Ketenangan memanda dirampas kerana perintah ini.

Selama ini memanda senang – lenang. Kadang-kadang memanda serah bulat-bulat tugas penting kepada pembantu-pembantu memanda. Kadang-kadang merungut-rungut “kerja gila”.Rungutan memanda kadang-kadang didengari oleh pembantu dan pacal-pacal memanda. Bahkan memanda akan lebih bersemangat lagi apabila ada pembantu dan pacal memanda menjolok-jolok dengan terma dan frasa-frasa maut “ orang jabat tahu arah jer bos,dia ingat kita dok saja,layan! Bos”. Maka memandapun melompat-lompat kataklah kerana seronoknya lalu serta-merta mengeluarkan titah dan perintah kepada pacal-pacal “ layan jabat ni,masuk fail jer”. 

Atau mungkin ada penasihat bukannya punahsihat yang mengingatkan memanda “kita kena buat segera bos,dok susah nanti”. Maka untuk melepas tengkok dan amanah memanda pun keluarkan fatwa “mu tengokla guano-guanopun,buat arr mana patut”. Lepas tu memandapun berkerat rotan dan berpatah  arang dengan “amanah dan tanggungjawab” memanda yang memanda wakafkan kepada pembantu memanda. Sama telahan pula pembantu memanda jenis orang baik,tak banyak mulut. Boleh ke tak boleh ke diam membisu seribu bahasa. Maka molek benarlah ruas bertemu buku,seorang tak bertanya khabar,seorang tidak beri tahu hingga turunlah perintah yang sukar dan menyusahkan ini.

Sesungguhnya wahai memanda-memanda sekalian telah banyak kali kami yang “gila kerja ni,buat kerja gila” dengan mengingati dan memberi makluman agar semua perkara kena ambil berat. Kami buat blog ini untuk dijadikan saluran informative terpantas. Kerap sangat kami yang “gila kerja” mengajak memanda semua supaya “gila kerja” supaya semua urusan Duli Baginda menjadi terbaik dan terbilang.

Kami letak segala pemakluman  mengenai e-operasi tanggal  2 Mac 2011 DI SINI .Kami tidak suka bertangguh. Hari sama kami terima ,hari sama kami letakkan untuk tempuh 1 hingga 27 Mac bagi  memanda dan para kerabat perlu kemaskini data e-operasi  bagi memudahkan kerja-kerja e-Gtukar kemudiannya. Pada masa ini,surat pemakluman entah di mana-mana lagi. Zaman mutkhir akhir zaman ni orang nak maklumat bukan kata surat tidak penting. Surat penting sebagai backup. Lagipun kerja-kerja e-operasi kerja-kerja online bukan kerja tulis tangan. Pemakluman dalam dalam web JPN juga secara online.Inilah “kerja gila” zaman yang perlu dan wajib kita hadapi dengan “gila kerja”. Kalau tidak lihatlah apa yang telah berlaku..
Sama ada memanda sedar atau tidak akibat kealpaan dan ketidakcaknaan memanda dan pembantu-pembantu maka memanda telah menyusahkan anak buah dan pacal-pacal memanda yang ingin memohon tukar.

Mereka tidak boleh memohon. Bagaimana perasaan mereka yang berharap musim ini mereka boleh bertukar tetapi berlaku sebaliknya. Mungkin selama ini mereka telah berkorban apa sahaja memajukan sekolah memanda. Bagaimana aspektasi mereka kepada memanda dan pembantu memanda selepas ini. Bukan itu sahaja,anak buah memanda tidak-tidak putus mengadu musibah tidak boleh masuk online dengan teriak tangis.Kalau dihujung gagang dapat mengalirkan air mata mereka ramai kami lemas dengan air mata mereka di hujung sini. Kesian.Maka dengan sebab itulah para jumhur pembesar telah menitahkan perintah Duli Baginda agar “surat tunjuk sebab “ dikemukakan . 

Jika hujah dan alasan melampau keraguan munasabah maka terlepas hukum tetapi jika tidak, epil susulan akan tiba daripada Unit Tatatertib. Sesungguhnya kami tidak buat “kerja gila” tetapi kami buat “gila kerja”. Tetapi “gila kerja” kami telah menyebabkan memanda mengganggap kami sebagai “kerja gila”.

Kami sangat berharap para memanda memahami betul-betul konsep “kerja gila” dengan “gila kerja” kerana selagi para memanda berada dalam “negara” yang naturenya begini serta masih terpikul atas batu jemala amanah, memanda tidak boleh melepas tanggungjawab seperti melepas burung dari sangkar atau ayam dari “gok”.Ingatlah Ketua Sektor Sekolah selalu sebut jangan kita seorang menyusahkan ramai orang tetapi biarlah keberadaan kita seorang di situ kita memudah dan menyenangkan banyak orang.

Kami yang mencalon,menapis dan mencadang memanda untuk berada dikedudukan memanda sekarang amat menyayangi dan amat mengharap memanda berhenti buat “kerja gila” dan marilah bersama-sama kita serta para pacal memasuki gerbang baru yang lahap dan “gila kerja” kerana kita percaya dengan “gila” atau bersungguh, bermati-mati , cakna dan ambil berat  sesuatu yang ringan,berat,mustahil mampu dicapai dan dilestarikan keterbilangannya.


No comments:

Post a Comment