Saturday, April 2, 2011

Antara bumi yang dipijak dan langit yang dijunjung ...


Sementara acara dalam dewan belum selesai,aku perlahan-lahan keluar dari dewan dan duduk di sebuah kerusi di luar dewan. Seketika kemudian terdengar suara hiruk-pikuk murid-murid keluar rehat. Ada setengahnya berlari anak menuju ke kantin sekolah.Suasana nampak kelam kabut tapi itulah realiti dan dunia telatah murid sekolah rendah. Mereka agrasif,cergas dan berani.

Tidak lama selepas itu mataku tertumpu kepada tiga orang murid yang sedang berehat dan makan di bawah pokok bertentangan dengan aku. Seorang murid berbangsa Melayu dan dua lagi berbangsa Tionghua. Telatah mereka bertiga menyentuh hati kecilku. Mereka berkongsi makan nasi goreng dan makanan di dalam bekas plastik dengan penuh mesra dan dengan penuh persahabatan. Aku mengeluarkan kamera dan merakamkan detik-detik istimewa itu. Pelbagai perasaan menerpa dadaku. Berbalam kenangan masa silam datang bertamu..

Aku masih ingat masa sekolah rendah akhir tahun enam puluhan dan awal tujuh puluhan dulu tentang buku Bahasa Malaysia yang aku baca. Watak utama dan dominan dalam buku teks itu ialah Ali,Tong Seng dan Ramasamy masih segar dalam ingatan. Mereka bermain,bersekolah dan hidup bersama dalam kawasan perkampungan dengan aman dan harmonis.Mereka hidup dengan penuh hormat dan kasih sayang.Mereka berkongsi sakit pening dan kegembiraan bersama. Saling hormat menghormati dan saling sayang menyayangi..

Akhirnya jelmaan watak realiti hadir dalam kehidupan sebenarku. Aku mempunyai rakan Tionghua dan Siam kerana kampungku dan kehidupan persekitaran kami yang hampir dan berdekatan. Selain berkawan ada ayah ibu mereka mengenaliku. Setengah ayah mereka berkain pelikat.Jika nama mereka Ah Wong kami masyarakat setempat Melayukan mereka dengan panggilan “Awang”.Kalau ramai yang nama Ah Wong kami panggil mereka “Awang Kecik”,”Awang Besar” atau “Awang Adik”.Mereka tidak pernah protes dan berasa hati dengan panggilan mesra itu. Hidup kami bagai aur dengan tebing saling bantu membantu.Aku boleh mengambil barang secara kredit di kedai kawan aku kerana ayah ibu mereka kenal ayah dan datuk aku. Begitulah akrab dan akram hubungan kami dari genarasi ke generasi.

Sesekali bila pulang kampung mereka akan bertanya “Mu balik bila ?” Alangkah mesranya kehidupan. Alangkah indahnya kehidupan. Biarpun kami telah dewasa dan ayah ibu masing-masing telah tiada tetapi perasaan hormat dan sayang persahabatan tetap utuh di jiwa. Dan telatah tiga anak kecil berlainan bangsa di SK Sultan Sulaiman 1, pagi Khamis itu benar-benar meruntun jiwa. Dalam hati kecilku berkata kalaulah begini kehidupan di tanah yang di pijak dan di langit yang di junjung dari yang kecil sampai dewasa maka kita tidak perlu pelbagai jenis aliran sekolah.Kita tidak perlu pelbagai parti politik yang membawa pelbagai idealogi sempit tapi cukuplah “pendidikan” sebagai wadah penyatuan,penyuburan dan pembinaan negara bangsa.

Kita percaya bila nilai persahabatan dan nilai perpaduan kuat dan utuh pada zaman anak-anak tanpa mengira warna kulit,bangsa dan anutan agama maka ianya akan tekal segar utuh hingga ke hujung  usia dan dunia. Kewarasan dan ketinggian nilai persahabatan tidak akan digadai dengan perselisihan ,persengketaan ,keamanan dan keharmonian hidup kita bersama kecuali oleh pengikut para syaitan yang amat mencintai kehuru-haraan dan permusuhan.

Marilah kita wariskan kepada generasi kita  kehidupan berkasih sayang,saling hormat menghormati melalui pelaksanaan tugas kita guru ,sebagai penyampai ilmu,pembina nilai dan pembangunan tamaddun di antara bumi yang kita pijak dan langit yang kita junjung.

1 comment: