KUALA TERENGGANU 6 April - Jabatan Pelajaran negeri akan menggerakkan Program Pembangunan Personaliti Pelajar agar penampilan, fizikal dan perwatakan selari dengan fitrah jantina mereka.
Pengarahnya, Razali Daud berkata, persoalan tersebut yang selama ini tidak begitu diberi perhatian perlu ditangani bagi membolehkan pelajar mengawal diri daripada terjebak pengaruh budaya negatif dari luar.
Katanya, langkah itu perlu dimulakan agar penyimpangan identiti tidak menjadi suatu gejala ketika negeri ini terus berusaha melonjak dalam pendidikan melalui pendekatan Kelestarian Pendidikan Terbilang.
"Pendidikan perlu dikembangkan secara holistik, apabila kecemerlangan seimbang melalui pencapaian akademik, rohani, emosi dan fizikal.
"Namun, aspek fizikal seolah-olah terbiar, kita tidak mahu wujudnya kelompok pelajar yang tidak menyakinkan dari segi personaliti dengan lelaki yang berwatak seakan-akan perempuan manakala perempuan pula seakan-akan lelaki," katanya pada majlis makan malam bersama wakil media tempatan yang turut dihadiri pegawai kanan jabatan itu, di sini malam tadi.
Sehubungan itu, beliau menjelaskan pelajar sedemikian akan dikenal pasti dan mereka yang disahkan 'bermasalah' kelak akan dibimbing agar dapat mengembalikan semangat serta personaliti mereka yang asal.
Katanya, pelajar peringkat menengah akan dilibatkan dalam sesi kaunseling, motivasi, keagamaan dan latihan kecergasan fizikal bagi memulih mereka sebelum melangkah ke pusat pengajian tinggi.
Menurutnya, ia adalah antara beberapa pendekatan yang digerakkan bagi menyemai roh keislaman diri pelajar agar mereka mampu mendepani cabaran.
"Usaha ini selaras dengan dasar, cuma mengikut kesesuaian dengan negeri ini termasuklah apa yang Terengganu telah rintis seperti amalan membaca al-Quran di sekolah sebelum sesi pengajian bermula.
Sumber : Utusan Malaysia Online
No comments:
Post a Comment