Saturday, January 12, 2013

Sembang Sabtu : Menjana keberhasilan dalam keseronokan



Malam Jumaat lepas saya terpandang satu tulisan di facebook seorang guru yang berbunyi “ Menyesal jadi guru”. Guru ini sudah empat tahun mengajar tetapi belum mampu menikmati keseronokan dan kepuasan bekerja. Dengan beban pelbagai tugas dan kerja yang diletakkan atas pundaknya ianya telah menghilang masa, peluang dan keseronakan untuk dirinya sendiri. Seakan diperhamba untuk kesenangan dan kepuasan orang lain. Itulah gambaran diskusi yang dipaparkan. Namun tidak kurang yang sedia memujuk, menjadi kaunselor dan pemberi khidmat nasihat.

Sepintas selalu kita bagaikan mahu bertempik ..”Sudahlah kalau kau tak mahu jadi cikgu, berlambak orang mahu jadi cikgu”. Tapi tempikan itu seakan tersekat di kerongkong. Sejenak berfikir. Mengapa sampai dia menyesal ? Mengapa sampai tidak seronok ? Teruk sangatkah jadi cikgu ? Banyak sangat ke pentadbir bagi tugas ? Adakah empat tahun dia dibeban atau diruberstamp tugas yang sama ? Macam-macam persoalan timbul.

Berasaskan diskusinya saya andaikan dia terbeban dengan tugas yang bermacam-macam. Dan agaknya lebih terbeban lagi bila jumlah tugasnnya lebih berat dari orang lain. Dia tidak seronok berkemungkinan buat kerja “tula” sepanjang berkhidmat. Dia tiada ‘ummph” dengan gelaran cikgu dia tidak dapat lakukan apa yang dia suka buat,apa dia seronok nak buat ataupun pengorbanan, susahpayah, pahitgetirnya tidak siapa menghargainya. Saya kira bukan cikgu ini sahaja berada dalam situasi ini tapi ramai lagi. Tambah lagi kini ramai yang berpangkat tinggi tapi kerja mahu ringan.

Isu keadilan pembahagian dan bebanan tugas adalah isu dasar dan penentu sama ada menyemarak atau memudarkan pembangunan pendidikan di sekolah. Mewangi atau membusuk iklim penyungguhan kendiri di sekolah.  Di sinilah menuntut kebijaksanaan pasukan pengurusan sekolah merancang dan melaksanakan bai’ah mengamanahkan tugas dan tanggungjawab dengan adil dan saksama berasaskan kelayakan, bakat dan kebolehan.

Adil di sini bukan bererti sama rata dan sama banyak tetapi berasaskan kesesuaian, kemampuan serta digri penanggungjawaban. Mungkin orang yang memegang tugas berat projek dalam akademik diberi tugas yang ringan dalam hal ehwal murid ataupun kokurikulum.

Selain dari itu, guru yang dinaikkan pangkat lebih tinggi walaupun Time Base Berasaskan Kecemerlangan wajar diberi tugas yang lebih berat dan mencabar sesuai dengan pangkat,upah dan pengalamannya. Namun apa yang berlaku ada yang berpengalaman dan berpangkat lebih tinggi , rendah dan naïf keberanian, semangat, dayausaha dan iltizamnya. 

Kadang-kadang kita hairan dengan ketakutan pengurus sekolah untuk membuat perubahan dan menanggung risiko. Mitosnya guru berpengalaman mengajar kelas peperiksaan tidak boleh digerakkan untuk mengajar tahun lain takut jatuh prestasi. Maka berbelas tahun guru yang sama menerima produk terakhir untuk digilap. Kadangnya hasilnya tidak sepadan dengan masa, tenaga dan wang yang dicurahkan.Apalagi mengulangi proses yang sama pasti menjemukan. Itu fitrah. Manusia perlukan perubahan dan pembaharuan. Manusia itu dinamik.

Mengapa kita tidak berani membuat “job rotation” bagi membina pengalaman dan nafas baru seperti sesorang guru mengikut muridnya dari Tahun 1 sampai Tahun 3 atau dari Tahun 4 sampai Tahun 6. Bukan sahaja  KPI guru ini dapat diukur dengan tepat tetapi juga menimbulkan rasa kebertanggungjawapan tinggi terhadap keberhasilan kerjabuatnya. 

Begitu juga mengapa guru Bahasa Inggeris yang baru keluar tidak diberi mengajar peperiksaan ? Takut prestasi jatuh . Heheheh ianya tidak benar sama sekali. Saya telah membuktikannya seorang  Bahasa Inggeris yang baru keluar maktab telah diberi tugas mengajar tahun 6. Dengan bimbingan dan sokongan kuat pengurusan jumlah A Bahasa Inggeris lebih tinggi dari A Matematik dan rekod cemerlang UPSR sekolah itu lima belas tahun dulu belum dipecah hingga sekarang.

Satu perkara yang lebih penting lagi mengapa Guru Besar selaku pemimpin kurikulum atau Instructional  Leadership tidak mengajar kelas peperiksaan atau subjek peperiksaan sebagaimana asas membina kecemerlangan UPSR dahulu. Rata-rata tinjauan pemantauan boleh katakan tidak ada Guru Besar yang mengajar subjek peperiksaan. Adakah guru besar sibuk atau tiada masa ? Atau terikat dengan pekeliling minina mengajar lima waktu seminggu ? Saya juga telah membuktikan mitos itu tidak benar. 

Sepanjang pengalaman saya menjadi Guru Besar 1996 hingga 2005 saya tidak pernah tidak mengajar subjek Bahasa Melayu Tahun 6 (10 waktu seminggu ). Saya mengajar Tahun 6 dan ada beberapa kerat Guru Besar yang mengajar Tahun 6 . Saya mahu mengajar Tahun 6 kerana  mahu melihat secara terus kemampuan dan keupayaan murid dan guru-guru Tahun 6. Sebagai Guru Besar saya boleh memilih subjek dan masa minima yang saya suka dan mengikut peraturan.

Guru-guru Tahun 6 senang hati dan seronok kerana Guru Besar sendiri menjadi bos projek. Terlibat secara langsung dengan aktiviti projek. Faham masalah Tahun  6. Mampu membuat keputusan dan tindakan segera. Berdepan dengan ibubapa secara terus dan telus. Keyakinan ibubapa kepada guru dan sekolah dapat ditingkatkan. Kerjasama dan komitmen terhadap pendidikan anak-anak berada pada tahap tinggi. Ini juga agaknya antara sebab mengapa pencapaian UPSR sekolah baik dan cemerlang.

Walau bagaimanapun setiap pemimpin ada cara dan kaedahnya bagi menangani apa jua isu dan masalah dalam organisasi yang mereka pimpin. Cuma adalah sesuatu yang sangat malang jika ada suara ahli oraganisasi yang kita pimpin merintih lara untuk memberitahu dunia bahawa ia menyesal berada di dalamnya. Justru kita harus melakukan perubahan dan dan startegi baru agar suara sedemikian tenggelam lenyap berubah menjadi  hilai tawa keseronokan guru mengajar dan murid belajar. Hebat kita sebagai Guru Besar ialah kita mampu memberi tugas yang adil kepada guru-guru kita untuk mereka laksanakan dengan penuh keseronokan dan bersungguh-sungguh.

Tanggungjawab kita bukan sahaja menyediakan persekitaran kerja yang menarik, tetapi juga persekitaran sosial dan persekitaran emosi yang mampu memupuk kasih sayang, keseronokan, keselamatan dan penghargaan. Jangan kedekut untuk memberi pujian dan dorongan. Apa yang lebih penting kita perlu sentiasa berfikir dan mengatur strategi menjana keberhasilan dalam keseronokan bukannya penuh kesakitan.


2 comments:

  1. kata-kata tuan memang bagus tetapi berbeza untuk dibawa ke tahun 2013 atau seterusnya .jangan berbangga bakti lampau,tugas yg mendatang amat berbeza yg lalu,guru hari ini amat mementingkan diri dpd amanah.....muhasabah lah diri kita setiap masa...

    ReplyDelete
  2. Manusia dulu, kini dan selamanya tetap sama dan tugas menjadi guru pun sama jika kita sentiasa bersedia dengan perubahan. Soalnya bagaimana kebijaksanaan kita mengurus hati dan jiwa manusia (ahli) organisasi kita. Jika guru kita mementingkan diri drp amanah barangkali sistem kita gagal melatih manusia yang nak bina manusia..akibatnya balik kepada kita jugak.

    ReplyDelete