Thursday, January 31, 2013

Cabaran guru zaman siber

Oleh Hariyati Ariffin
Pensyarah Komunikasi Massa Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Selangor
yang disiarkan oleh Harian Metro online.



Kerjaya sebagai pendidik sentiasa dipandang mulia oleh masyarakat. Tidak hairanlah, selain ibu bapa, guru dan pendidik adalah orang yang amat dipercayai dan dihormati pelajar dan masyarakat. Mereka menjadi contoh terbaik kepada pelajar dan sentiasa dipandang tinggi. Pepatah ada mengatakan guru ibarat lilin yang membakar dirinya untuk menerangi orang lain.

Mungkin bukan suatu yang memeranjatkan jika ada yang masih mengingati guru mahupun pensyarah mereka walau sudah berpuluh tahun meninggalkan alam persekolahan dan universiti. Di sekolah rendah guru adalah ejen yang membentuk peribadi kanak-kanak sejak kecil. Mereka diajar dengan pelbagai asas ilmu dan nilai murni. Guru mengajar membaca, menulis, mengira dan berbudi bahasa seperti mengucapkan terima kasih, saling bekerjasama dan berakhlak mulia. Sering kali kita dapati guru di sekolah rendah terdiri daripada mereka yang sangat penyayang dan prihatin terhadap murid mereka.

Di peringkat sekolah menengah guru memberi ilmu dan memupuk sikap bertoleransi serta menjadi pendengar yang baik kepada murid yang mengalami transisi daripada kanak-kanak menjadi remaja. Di universiti misalnya, pendidik yang baik disenangi pelajar, malah mudah untuk pelajar berinteraksi dan berbincang.


Namun apabila zaman berubah, kerjaya guru mengalami evolusinya tersendiri. Jika zaman dulu guru terdiri daripada mereka yang benar-benar minat menjadi pendidik dan sanggup berkorban untuk kerjaya berkenaan, zaman siber memperlihatkan pola perubahan kepada profesion itu.

Walaupun ramai antara mereka yang memohon menjadi guru kerana minat mendalam dalam kerjaya itu, namun ada sesetengahnya memilih kerjaya mendidik kerana terpaksa. Profesion itu adalah pilihan kedua mereka yang tidak berjaya mendapat pekerjaan mengikut jurusan dipelajari.


Kerjaya ini dianggap sebagai suatu ‘survival’ untuk hidup kerana kesukaran mendapat pekerjaan lain. Mungkin ada antara mereka pada mulanya hanya suka-suka memilih kerjaya ini, namun akhirnya mula mencintai profesion ini apabila sudah bergelar pendidik.

Bagaimanapun, ada juga antara mereka yang menjadikan profesion ini sekadar tempat persinggahan dengan sekadar mendapat gaji dan tidak dapat menjiwai profesion ini secara menyeluruh.

Selain tidak dapat menjiwai profesion yang mulia ini dengan baik, mereka juga gagal menunjukkan contoh yang baik kepada pelajar serta tidak ikhlas menjalankan amanah yang diberi.

Sememangnya tidak dinafikan cabaran menjadi seorang guru di zaman siber ini amat besar dan memerlukan satu transformasi cara pengajaran yang berkesan. Di sinilah terletaknya kebijaksanaan dan kreativiti guru dalam menyampaikan ilmu kepada generasi tanpa wayar sekarang ini.

Seorang pendidik perlu memiliki peribadi yang baik seperti sabar, belas kasihan, kreatif, berilmu, bijaksana dan berpengalaman.


Memetik kata-kata Prof Dr Sidek Baba dalam buku Pendidikan Rabbani, beliau menjelaskan bahawa pendidik bukan saja mempunyai ilmu pengetahuan, maklumat atau pengalaman, malah kepakaran mengenai sesuatu.


Selain itu, pendidik juga mesti memberi contoh dan pekerti yang baik ketika mendidik. Mereka juga mesti mempunyai sifat kesabaran, ikhlas, amanah, adil serta bertimbang rasa dan lain-lain kualiti yang penting dalam proses pendidikan.


Berdasarkan ciri-ciri di atas, jelaslah bukan mudah menjadi guru yang mempunyai peribadi agung dan dihormati pelajar. Mereka menjadi pendidik terbilang apabila dapat melahirkan generasi berkualiti dan berakhlak mulia yang diperlukan negara dan masyarakat.


Kisah pengorbanan guru di luar bandar patut dijadikan contoh kepada guru yang mengajar di bandar besar dengan segala kemudahan berada di hujung jari.


Bayangkan guru di kawasan pedalaman terpaksa menaiki bot, meredah hutan dan berkorban banyak perkara untuk menyampaikan ilmu kepada murid mereka. Namun mereka masih bertahan dengan kerjaya berkenaan.


Walaupun negara sudah semakin maju, kita jangan pula lupa bahawa masih ada beberapa kawasan pedalaman yang tidak mendapat kemudahan dalam pembelajaran. Sesetengah sekolah di kawasan mundur masih amat jauh ketinggalan.


Mereka tidak mempunyai kemudahan moden, umpamanya komputer, ada kalanya kerusi dan meja juga amat daif selain kekurangan kelengkapan, infrastruktur dan prasarananya.


Namun semangat guru yang mengajar di kawasan seumpama ini amat dipuji. Penulis pernah membuat tinjauan di sebuah kawasan pedalaman di hulu Perak dan mendapati kegigihan guru serta murid dalam proses pembelajaran amat jauh berbeza dengan sekolah di bandar yang bukan saja lengkap dengan alat pembelajaran canggih dan moden, malah ada antaranya memiliki kelas berhawa dingin. Justeru, dalam dunia pendidikan masa kini, melahirkan guru yang benar-benar menjiwai kerjaya mendidik bukanlah mudah. Landskap pendidikan juga sudah banyak berubah. Guru bukan saja diamanahkan dengan tugas hakiki, tetapi juga terpaksa melaksanakan tugas pentadbiran, kokurikulum selain memegang jawatan tertentu dalam persatuan dalaman dan luar sekolah.




No comments:

Post a Comment