Thursday, January 24, 2013

Sambutan Maulidurrasul - Wasatiyyah Tonggak Kesatuan Ummah



Hari ini kita menyambut hari kelahiran Rasulullah . Seperti biasa kita umat Islam seluruh dunia dengan rasa syukur dan gembira menyambutnya. Maulidur Rasul tahun 2013 membawa tema Wasatiyyah Tonggak Kesatuan Ummah. Mesti ramai yang ingin tahu, apakah maksud wasatiyyah? Merujuk kepada kamus arab wasatiyyah adalah daripada perkataan al-Wasat(الوسط) yang diterjemahkan dari segi bahasa dengan makna pertengahan (sederhana). Seterusnya diistilahkan dari segi Islam dengan maksud adil, sederhana dan terbaik.
Maka tafsiran Wasatiyyah yang tepat hendaklah mengikut hakikat kerasulan dan ajaran Islam seluruhnya. Ia adalah daripada petunjuk al- Quran supaya umat Islam menjadi umat yang adil dan pilihan dengan beriman, beramal dan berakhlak dengan Islam, sehingga menjadi contoh kepada umat manusia seluruhnya. Mereka juga layak menjadi saksi atas perbuatan orang-orang yang menyimpang dari kebenaran dan menentang para Rasul, apabila semuanya menghadapi pembicaraan dalam mahkamah di akhirat.

Hakikat umat Islam yang menjadi contoh ditengah masyarakat manusia itu dijelaskan oleh ayat-ayat al-Quran yang lain bagi memenuhi ciri Ummah Wasatan yang layak menjadi contoh kepada seluruh umat manusia dan saksi pada hari kiamat, antaranya firman Allah (maksudnya):

Kamu adalah umat yang terbaik yang dikeluarkan untuk manusia, menyuruh kepada yang ma'ruf, dan mencegah dari yang munkar, dan beriman kepada Allah.(Surah Ali Imran: 110)

Sebagai seorang daripada jutaan umat Muhammad, kita patut menyambutnya dengan memahami konsep dan sebab mengapa kita menyambut maulidur rasul setiap tahun. Bukannya kita terikut-ikut dengan budaya orang lain tetapi kerana kita sedar bahawa penyatuan ummat perlulah berasaskan kepada ciri-ciri yang baik dan murni dan salah satunya adalah dengan Wasatiyyah.

Sesungguhnya Nabi Muhammad telah membawa kita ke jalan kebenaran dengan rahmat kesederhanaan atau wasatiyyah dalam semua aspek kehidupan yang sewajarnya kita contohi dan hayati..

“Tiadalah Kami mengutus engkau (wahai Muhammad) melainkan untuk menjadi Rahmat bagi sekalian alam.”  (Quran s. al- Anbiya : 107)

Peribadi Nabi Mohammad s.a.w. sungguh menarik hati seluruh manusia yang mengakui kebenaran, keperibadian Rasulallah jelas diterangkan dalam al-Quran antaranya Allah berfirman yang bermaksud:

“Maka disebabkan rahmat dari Allah (kepadamu Muhammad s.a.w) , engkau telah bersikap lemah lembut kepada mereka. Kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka akan menjauhkan diri dari kamu. Oleh itu ma’afkanlah mereka (mengenai kesalahan yang mereka lakukan terhadap engkau, dan mohonlah keampunan bagi mereka, dan juga bermusyawarahlah dengan mereka dalam urusan (permasaalahan keduniaan) itu. Kemudian setelah engkau berazam (untuk membuat sesuatu) maka bertawakkallah kepada Allah. Sesungguhnya Allah mencintai orang yang bertawakkal kepadaNya. (al-Quran s. Ali Imran: 159)

Sempena Sambutan Maulidurasul ini marilah kita menghayati dan turut meneladani sifat-sifat mulia baginda dalam kehidupan kita.


1 comment:

  1. This comment has been removed by a blog administrator.

    ReplyDelete