Wednesday, January 9, 2013

Pelajar Malaysia Yang Menang Anugerah Tidak Sabar-Sabar Untuk Berkhidmat Kepada Negara



NEW DELHI, 8 Jan (Bernama) -- Dua pelajar Malaysia yang juga pemenang anugerah, Tan Yeung R'ong, 24, dan Pang Yee Rui, 23, sudah bersedia dan tidak sabar-sabar lagi untuk pulang ke tanah air dan berkhidmat kepada negara.

Sebagai pemegang biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam, sungguhpun mereka diwajibkan berkhidmat sebagai penjawat awam, Tan berkata baginya, itu merupakan cara terbaik untuk berbakti kepada masyarakat.

"Saya akan kembali ke Malaysia sebagai doktor pelatih dan seterusnya berkhidmat dalam sektor awam.

"Pendidikan saya ditaja oleh rakyat Malaysia. Oleh itu, saya berbesar hati untuk menabur bakti dari segi memberi perkhidmatan dan penjagaan pergigian yang baik," katanya kepada Bernama.

Tan, yang datang daripada keluarga berpendapatan sederhana di Selangor, mengikuti pengajian Sarjana Muda Pembedahan Pergigian di Vinayaka Missions Sankarachariyar (V.M.S) Dental College, Salem, Tamil Nadu.

Beliau dianugerahi 'Pierre Fauchard Academy Best Out-going BDS Student Award' dari V.M.S Dental College,' pada majlis penyampaian hadiah yang diadakan di New Delhi baru-baru ini.

Pang mengikuti pengajian dalam kursus yang sama di Bapuji Dental College, Davangere, Karnataka. Dia dianugerahi 'Pierre Fauchard Academy Best Out-going BDS Student Award' dari Bapuji Dental College.

Begitu juga, Pang, yang berasal dari Kuala Lumpur, tidak sabar-sabar lagi untuk pulang ke Malaysia dan mula bekerja.

Ditanya tentang rahsia mereka berjaya memperoleh gred tinggi di sebalik keadaan yang mencabar di India, Tan berkata seseorang itu perlu betul-betul memberi tumpuan kepada matlamatnya.

"Menjadi seorang pelajar di India sememangnya bukanlah tugas yang mudah apatah lagi di Salem apabila kami mengalami gangguan bekalan elektrik lebih 10 jam setiap hari. Kami terpaksa bergantung kepada janakuasa dan sumber kuasa tanpa gangguan (UPS)," katanya.

"Jadi, kuncinya adalah sentiasa fokus kepada perkara yang penting dan tabahkan hati serta keazaman. Jangan menyerah kalah," kata Tan.

Menetapkan matlamat dan perancangan sewajarnya juga penting untuk melaksanakan rancangan pengajian, katanya.

Secara ringkas, ia tentang menyesuaikan diri dengan persekitaran, kata Pang.

Selain kekerapan gangguan bekalan elektrik di Davangere, beliau berkata bahasa dan makanan turut menjadi kebimbangan.

"Terdapat halangan bahasa manakala keracunan makanan pula sesuatu yang lazim, namun akhirnya saya dapat menyesuaikan diri dengan keadaan. Ada orang yang membantu saya dari semasa ke semasa dan saya amat berterima kasih kepada mereka," katanya.

Mengenai perancangan masa depan, kedua-duanya amat berminat untuk meneruskan pengajian mereka.

-- BERNAMA




No comments:

Post a Comment