Tuesday, January 29, 2013

Guru Muda Punya Peranan Lonjakkan Kualiti Pendidikan, Kata Muhyiddin



SABAK BERNAM, 26 Jan (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata lebih 200,000 guru muda di seluruh negara mempunyai peranan untuk melonjakkan kualiti dan melaksanakan transformasi pendidikan negara melalui Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (2013-2025).

Muhyiddin, yang juga Menteri Pelajaran, berkata guru muda adalah sebahagian daripada bilangan keseluruhan guru di negara ini yang akan terus berada dalam sistem pendidikan negara bagi tempoh 20 hingga 30 tahun akan datang.

Oleh itu, katanya, menjadi amanah besar kepada mereka untuk memikul tugas penting melonjakkan kualiti pendidikan dan transformasi pendidikan menerusi pelan pembangunan itu agar dapat mencapai sasaran mulai tahun ini sehingga 2025.

"Ini bermakna anda berperanan bukan sahaja melonjakkan kualiti pendidikan tetapi juga menentukan di mana sistem pendidikan kita akan berada dalam tempoh tiga dekad yang akan datang.

"Dalam erti kata lain, masa depan sistem pendidikan negara kita terletak di tangan anda," katanya ketika merasmikan Himpunan Guru Muda 1Malaysia (GM1M) peringkat Zon Tengah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Besar di sini hari ini.

Muhyiddin berkata kementerian turut menekankan kepentingan 'Higher Order Thinking Skills" (HOTS) iaitu mahu guru mempunyai keupayaan baru, penguasaan ilmu yang lebih tinggi, bijak berbicara dan dapat menganalisis serta menterjemah ilmu pengetahuan yang bukan setakat dalam bidang biasa.

Sehubungan itu, katanya program bimbingan guru akan ditingkatkan pada masa akan datang selaras dengan pelancaran Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia.

Katanya Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bermurah hati memperuntukkan RM500 juta mulai tahun ini bagi melatih semula dan meningkatkan kemahiran guru dalam bidang Sains, Matematik, Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris supaya bidang utama dalam kurikulum dapat dikuasai semua guru.

"Ini dianggap sebagai langkah awalan dan pelbagai langkah lain akan dilaksanakan. Seperti yang diketahui, dalam pelan tersebut terdapat 11 anjakan besar, dan antara yang akan diberi tumpuan ialah menjadikan profesion perguruan sebagai profesion pilihan dan bukan memilih profesion guru untuk mendapat pekerjaan.

"Guru bukan satu pekerjaan tetapi satu profesion. Guru adalah orang yang bijak dan mahir yang berperanan untuk memajukan masyarakat dan negara," katanya.

-- BERNAMA



No comments:

Post a Comment