KUALA TERENGGANU - Hari pertama persekolahan sesi 2013 di Terengganu berlangsung dengan sempurna dan penuh semangat walaupun situasi banjir dan hujan berpanjangan di seluruh negeri. Tinjauan Unit Sekolah Rendah di beberapa buah sekolah suasananya "firsty day, first bell dan first lesson" berjalan dengan baik dan tersusun.
Pada awal pagi kami berada di SK Tok Jembal, Kuala Terengganu bersama YB. Dato' Haji Ahmad Razif bin Ab. Rahman, Exco Pelajaran Negeri Terengganu meninjau perjalanan hari pertama persekolahan bersama En.Hashim bin Mohd Zin, Timbalan Pengarah Pelajaran Negeri Terengganu, Ketua Sektor Pengurusan Sekolah, Tuan PPD Kuala Terengganu dan beberapa pegawai dari JPN Terengganu. YB Exco dan rombongan sangat berpuashati dengan persiapan pihak sekolah dan turut mengumumkan dalam sidang akhbar bahawa SK Tok Jembal akan diwujudkan program kelas maya tahun 2013.
Selain daripada itu YB Exco Pelajaran juga sekali lagi menegaskan iltizam dan komitmen kerajaan untuk benar-benar menjadikan Terengganu Negeri Anjung Ilmu dan akan berusaha keras menjayakan target 201052 peperiksaan awam yang disasarkan.
Sementara itu makluman daripada Timbalan Pengarah Pelajaran Negeri sebanyak 31 buah sekolah terlibat dengan banjir sama ada sekolah ditutup (18 buah), terputus hubungan atau menjadi pusat pemindahan banjir sementara. Sekolah yang diluluskan tutup akan menggantikan hari berkenaan supaya jumlah hari persekolahan setahun mesti tidak kurang daripada 190 hari.
Tinjuan Unit Sekolah Rendah di SK Kompleks Seberang Takir juga mendapati perjalanan hari pertama persekolahan berlangsung begitu teratur dan baik sekali. Dari kelas prasekolah hingga Tahun 6 operasi persekolahan dan pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran berjalan dengan lancar. Kita juga sangat yakin semua sekolah turut membuat persediaan rapi menyambut sesi baru persekolahan walaupun berdepan dengan cabaran banjir.
Tahniah kepada semua pasukan pengurusan sekolah, para guru dan ibubapa yang saling bantu-membantu untuk menjayakan sesi persekolahan berlangsung dengan sempurna dan menangani musibah banjir secara bersama dan bersepakat. Kita percaya para guru dan anak-anak yang terlibat dengan banjir tidak sabar-sabar lagi untuk ke sekolah.
No comments:
Post a Comment