Assalamualaikum warahmatullah dan salam
sejatera,
Pemaaf adalah sifat luhur yang perlu ada pada
diri setiap muslim. Antara sifat positif yang terdapat dalam diri manusia
adalah pemaaf, yakni lawan kepada sifat pemarah dan pendendam. Ketika manusia diciptakan
oleh Allah SWT, Allah mencipta juga pelbagai bentuk emosi dan keinginan dalam
diri manusia yang berbentuk positif dan negatif yang saling mempengaruhi antara
satu sama lain.
Ada beberapa ayat al-Quran dan hadis yang
menekankan keutamaan bersifat pemaaf yang juga disebut sebagai sifat yang
hampir di sisi Allah SWT. Allah SWT berfirman yang bermaksud, “Dan orang yang menahan amarahnya dan
memaafkan orang lain, Allah mencintai orang yang berbuat kebajikan.” (Surah ali-Imran ayat 134)
Kadang kala, perasaan marah juga disebabkan
persaingan untuk mendapatkan sesuatu. Dalam keadaan itu, pesaing dianggap
sebagai musuh yang perlu diatasi dengan apa cara sekalipun. Punca ini boleh
merebak kepada fitnah, ugutan dan tindakan fizikal secara kekerasan. Namun,
diakui bukan mudah untuk menjadi seorang pemaaf. Sikap negatif yang menjadi
lawannya iaitu pemarah sentiasa berusaha menidakkan wujudnya sifat pemaaf dalam
seseorang.
Pertembungan dua unsur ini mewujudkan satu
mekanisme yang saling ingin menguasai diri seseorang. Iman dan takwa menjadi
pengemudi melahirkan sifat pemaaf, manakala syaitan pula mengambil tempat
mendidik sifat pemarah. Hakikatnya, syaitan sentiasa menggunakan kelemahan
manusia untuk digoda dari pelbagai penjuru agar timbul sifat haiwaniah dalam
diri manusia.
Memang tepat sifat pemaaf itu bukanlah satu
perbuatan yang mudah dilakukan. Firman Allah SWT yang bermaksud, “Tetapi, sesiapa yang sabar dan suka
memaafkan, sesungguhnya termasuk pekerjaan yang berat ditanggung.” (Surah asy-Syura ayat 43)
Sifat pemaaf memang sukar dilakukan
memandangkan manusia sentiasa dikuasai fikiran logik untuk bertindak atas
sesuatu perkara sehingga membunuh nilai moral sebenar.
Bukan penyelesaian
Emosi manusia pula memang mudah terpengaruh ke
arah melakukan tindakan yang pada pandangannya logik adalah tindakan yang
sepatutnya. Apatah lagi jika hasutan syaitan berjaya menguasai diri. Di sinilah
pentingnya kita memupuk sifat pemaaf dalam diri. Sesuatu yang lojik tidak
semestinya betul. Sebaliknya, ajaran agama adalah petunjuk kepada kebenaran
yang mesti diamalkan untuk mendapat kebaikan di dunia dan di akhirat. Tindakan
marah melampau dan diikuti pula dengan tindakan fizikal bukanlah jalan
penyelesaian masalah atau untuk menunjukkan siapa yang benar. Jika diteruskan niat
melakukan tindak balas atas kemarahan itu, mungkin ada tindakan yang
mendatangkan keburukan sehingga berlakunya pembunuhan.
Sesiapa berupaya menahan kemarahan, bererti
dalam dirinya memiliki kemuliaan, keberanian, keikhlasan dan kekuatan yang
sebenar. Sebaliknya, orang yang tidak mampu menahan marah adalah golongan yang
lemah. Nabi Muhammad SAW bersabda, “Bukanlah
orang yang kuat itu (dinilai) dengan (kekuatan) dalam pergelutan,
sesungguhnya orang yang kuat ialah orang yang dapat menguasai dirinya ketika
marah.” (Hadis riwayat
Bukhari)
Pentingnya sifat menahan marah mendorong Nabi
Muhammad SAW apabila diminta oleh seorang lelaki agar berpesan atau mengajarnya
mengenai sesuatu perkara, Nabi menjawab ringkas iaitu “jangan marah”. Lelaki
itu seperti tidak berpuas hati dengan jawapan itu. Dia mungkin merasakan apalah
besar sangat kebaikan menahan marah. Lalu dia bertanya buat kali kedua
mengharapkan agar Rasulullah memberitahu amalan lain yang lebih besar
pahalanya. Tetapi Rasulullah SAW tetap mengulangi perkataan “jangan marah”.
Untuk mendidik sifat baik dalam diri perlulah menghampiri diri dengan
memperbanyakkan melakukan ibadah wajib dan sunat. Dengan kekuatan takwa dan
iman secara langsung akan menjauhkan perakara yang ditegah, termasuklah sifat
pemarah.
Sifat pemaaf lahir dari jiwa dan hati yang tenang, hasil daripada
tarbiyah yang berterusan. Sebab itu, selalulah cuba memupuk sifat pemaaf.
Bermulalah dengan perkara yang kecil. Bagi orang yang bersifat pemaaf, tiada
tersimpan perasaan marah dalam hatinya. Sebab itu, hati orang yang bersifat
pemaaf tidak mudah terbakar dengan provokasi yang menekan dirinya.
Hati tidak tenteram
Banyak masalah berkaitan hubungan sesama
manusia berpunca dari sifat marah dan membalas dendam. Biarpun perselisihan
kecil, perkara itu tidak dapat diselesaikan disebabkan perasaan dendam masih
bertapak di hati. Sikap berdendam hanya merugikan kedua-dua pihak. Paling
tertekan ialah pihak yang lebih banyak berdendam.
Hatinya tidak tenteram dan sentiasa ada
perasaan buruk sangka. Kadangkala, yang berdendam hanya sebelah pihak.
Sedangkan, sebelah pihak lagi menganggap persengketaan sebelum ini sudahpun
selesai. Jika sifat memaafkan diamalkan, insya Allah, kita tidak akan
menanggung kemarahan daripada orang lain. Sesungguhnya Allah SWT terlebih awal
memberi keampunan dengan rahmat-Nya.
Jika ada sesuatu yang menimbulkan perasaan
marah, berfikirlah sejenak untuk menilai atau muhasabah diri sendiri terlebih
dahulu. Renungkan
dalam hati adakah perkara itu berpunca dari kita sendiri? Adakah sebelum ini
kita mengambil langkah yang wajar untuk mengelak perkara itu daripada berlaku?
Jika kita mampu berfikir sedemikian, cahaya kebenaran mudah memasuki ruang hati
dan memberi petunjuk tindakan yang wajar dilakukan seterusnya. Pada ketika itu,
syaitan tidak berpeluang untuk menyemarakkan perasaan marah, yang lahir adalah
keinsafan dan sifat memaafkan.
Sifat pemaaf memberi
manfaat yang besar kepada diri sendiri terutama dari segi rohani. Orang yang
brsifat pemaaf selalu dalam keadaan tenang, hati bersih, berfikiran terbuka,
mudah diajak berunding dan sentiasa menilai diri sendiri untuk melakukan
kebaikan.
Renung-renungkan…
Artikal sumbangan..
En. Mohd Shafiq Chandran
Guru Besar
SK Guntung
Setiu,
Terengganu
Salam.
ReplyDeleteDi sini saya sertakan entri dari blog saya yang dirasakan mempunyai kaitan dengan tajuk yang diperkata. Semoga ia dapat memberi manfaat buat kita bersama.
Sila klik link di bawah:
BERANIKAH KITA MELAFAZKAN KATA MAAF