Walaupun penggal persekolahan sudah dua minggu bermula namun urusan berkaitan pertukaran guru masih belum selesai terutama untuk memberi jawapan bertulis kepada pemohon yang gagal dan mengemaskini segera e-operasi. Alhamdulillah beberapa daerah telah selesai mengemaskini e-operasi. Tahniah.
Sembang Sabtu kali ini kita ingin menyorot dan berkongsi kerenah segelintir manusia guru yang sudah diluluskan bertukar tetapi masih tidak puashati. Isu ini pernah kita kemukakan pada masa-masa lalu untuk kita sama-sama berfikir dan bersyukur dengan apa yang ada. Namun seperti yang pernah kami katakan dalam urusan pertukaran manusia guru menyerlahkan sikap yang amat-amat mementingkan diri sendiri.
Kita tidak kisah kalau suara dan karenah lahir daripada guru-guru yang gagal masuk atau gagal bertukar. Itu lumrah. Maklumlah ada yang berbelas dan berpuluh tahun berada di luar tidak dapat masuk pastinya sangat kecewa. Dan ini kami dapat rasakan walaupun telah berbagai daya dan usaha telah kami buat. Kuasa kami hanyalah menyokong tetapi pemutusnya ialah kementerian. Kami tidak kisah kalau rungutan datang dari guru akademik. Tetapi yang kami kisah karenah ini timbul daripada guru-guru berlatarkan agama sama ada guru Pendidikan Islam atau Guru J-Qaf. Walaupun tidak semua tetapi seekor dua kerbau membawa lumpur semuanya akan terpalit.
Umum sedia maklum sejak beberapa tahun kebelakang ini sukarnya Guru Pendidikan Islam untuk masuk ke Terengganu kerana kelebihan melampau walaupun setiap tahun Jabatan Pelajaran menggunakan pelbagai strategi termasuk melantik guru agama yang berwibawa sebagai GPK, Guru Besar dan Penyelia agar tagging sebagai Guru Agama dikeluarkan dan ditagging sebagai pentadbir. Namun usaha-usaha ini hanya memberi sedikit ruang untuk guru agama masuk. Berlambak lagi yang terkandas di luar kerana masalah perjawatan ini.
Bahkan setahun dua lepas berlaku lambakan guru agama di daerah Kuala Terengganu maka redeployment telah dibuat untuk menempatkan semula ke daerah Setiu, Hulu Terengganu dan dalam masa yang sama daerah Kemaman dan Dungun menghadapi guru agama yang kritikal. Jika kita tidak buat demikian siapa yang akan menanggung dosa jika murid sepatutnya belajar agama tidak dapat belajar sedangkan guru agama dalam negeri berlebihan. Walaupun redeployment itu menimbulkan sedikit keresahan tetapi kita sepatutnya bersyukur ianya berlaku dalam negeri bukan antara negeri. Redeployment antara negeri mungkin berlaku jika sesuatu negeri kelebihan melampau dan negeri yang satu lagi kekurangan guru melampau.
Guru-guru yang gagal dalam permohonan e-gtukar termasuk guru-guru agama ini juga datang memohon rayuan ke jabatan dari pelbagai negeri dengan pelbagai kes. Ada kes kesihatan. Ada kes ancaman keselamatan. Ada kes ikut suami atau isteri dan sebagainya. Awal-awal lagi kita beritahu " Jika dapat masuk Terengganu satu rahmat dan daerah yang memerlukan guru adalah Dungun, Kemaman , Hulu Terengganu dan Setiu." Lalu mereka membai'ahkan sanggup dan setuju walau di mana sahaja tanah bumi Terengganu asalkan boleh masuk Terengganu. Semua sekolah di tanah bumi Terengganu boleh sampai kenderaan dan tiada satu sekolah yang muridnya bukan dari kalangan kanak-kanak.
Apabila rayuan berjaya dan mereka ditempatkan di daerah yang memerlukan khidmat mereka bermulalah wajah sebenar mereka. Bukan sahaja tidak bersyukur dapat balik mengajar Terengganu apalagi hendak berterima kasih kepada pegawai yang bertegang leher di mesyuarat rayuan kementerian yang mahukan mereka masuk. Bahkan kita diterjah dari pelbagai penjuru untuk meletakkan mereka di daerah yang penuh dan melimpah bagi memenuhi keinginan mereka. Sedangkan ramai lagi rakan dari luar yang kita parking di Kemaman dan Dungun menunggu giliran masuk ke daerah Marang dan Kuala Terengganu misalnya masih tersadai di sana. Apa mereka ingat guru-guru yang masuk setahun dua lepas guru gred kelas B ke. Mereka juga adalah guru yang ada hati, perasaan dan keinginan untuk balik ke kampung halaman. Mereka pada kami guru gred A+++ yang sanggup bersabar dan memberi sumbangan tidak berbelah bagi walau hasrat belum tercapai sepenuhnya bukan guru jenis cap ayam berkokok dan mengepak.
Begitu juga ada seorang guru j-Qaf yang masih dalam Mod LPBS dan belum cukup tempoh berasaskan perjanjian telah mengemuka borang permohonan offline dan surat-surat rayuan kepada menteri dan pelbagai pihak. Kita tidak faham adakah mereka ini faham atau tidak status kedudukan mereka sebagai guru Mod LPBS. Kalau kita tidak petik sebahagian perjanjian yang berbunyi " apabila tamat latihan dalam masa dua belas bulan jika dikehendaki oleh kerajaan Malaysia mereka akan dilantik sebagai PPP di sekolah yang sama selama 36 bulan". Ini bermakna mereka hanya layak memohon pada tahun kelima selepas berada di sekolah itu (setahun setengah untuk latihan) dan penenmpatan selepas latihan (tiga tahun). Sebab itu nama mereka yang belum cukup tempoh tiada dalam e-gtukar. Kalau hendak faham benda macam ni pun payah macam mana nak mendidik dan membangun manusia. Memalukan kaum guru j-Qaf sahaja.
Sebenarnya banyak lagi karenah melibatkan guru-guru yang berlatarbelakang agama. Kadang-kadang kita tersentak tidak menyangka perkara begini terjadi kepada mereka. Logiknya kepada merekalah yang kita harapkan untuk menjadi contoh dan motivasi kepada orang lain tetapi lagak segelintir mereka telah mencemar dan mengikis respektasi kita .. Bukan sahaja tindak tanduk mereka melanggar Tatakelakuan Pegawai Awam 1993, Perkara 4.(2)h- " Seseorang pegawai tidak boleh membawa atau cuba membawa apa-apa bentuk pengaruh atau tekanan luar untuk menyokong atau memajukan apa-apa tuntutan berhubung dengan atau terhadap perkhidmatan awan, sama ada tuntutan itu ialah tuntutannya sendiri atau tuntutan mana-mana pegawai lain" tetapi juga tidak tahu bersyukur dan berterima kasih.
Bersyukurlah dengan apa yang Allah kurniakan kepada kita walaupun kita tidak mahu berterima kasih kepada makhluk. Pernyataan syukur itu biar zahir dalam pengucapan dan perbuatan bukan dari hati dan mulut yang tidak sekata penuh kemunafikan.
No comments:
Post a Comment