Saturday, January 5, 2013

Sembang Sabtu : Jadilah guru yang mengakari keterbilangan sekolah



Seringkali juga selain dari menyampaikan ceramah motivasi kecemerlangan diri kepada pelajar UPSR, PMR dan SPM saya dijemput untuk menyampaikan ceramah kepada ibubapa dan juga kepada guru-guru dalam kursus Ladap yang diajur oleh pihak sekolah.Bagaimanapun tidak semua undangan dapat dipenuhi justru kesibukan tugas. 

Walaupun begitu kesempatan berkongsi pengalaman dengan guru-guru sangat bermakna bukan sahaja  menyampaikan input terkini agenda pendidikan serta usaha-usaha mempertingkatkan pengetahuan,kemahiran serta motivasi diri bagi menjadi guru yang lebih cemerlang tetapi juga mencari akar kecemerlangan itu sendiri. Sinonimnya keterbilangan pendidikan di sekolah pasti diakari oleh pengurusan sekolah dan guru-guru yang terbilang.

Ukuran keterbilangan pendidikan di sekolah telah berubah. Standardnya juga telah berubah. Menang beberapa anugerah atau mendapat keputusan semua A yang tinggi juga bukanlah ukuran mutlak untuk mengatakan ianya sudah mencapai tahap terbilang. Justru program SIP (School Improvement Programme) diperkenalkan KPM dan makenisma “band” sekolah  merupakan indikator penting sebagai kayu ukur bagi mengukur tahap keterbilangan sesebuah sekolah.

Band Sekolah hiraki klasifikasi sekolah ini berasakan Standard Kualiti Pendidikan Malaysia (SKPM) sebanyak 30% dan Gred Purata Sekolah (GPS) sebanyak 70%. Kedua-dua aspek ini mengukur semua aspek persekolahan sama ada dari segi kepimpinan,pencapaian prestasi semua bidang dan juga outcome pendidikan yakni  “kemenjadian murid”. Justru bila kita membicarakan “Pendidikan Terbilang Di Sekolah “ ianya mesti dilihat dalam konteks peranan,dedikasi dan inisiatif :-

  • Kepimpinan sekolah yang mesti cemerlang
  • Guru mata pelajaran yang mesti cemerlang
  • Keupayaan menggunakan ruang,peluang serta sumber sokongan pendidikan  dengan cemerlang
Pada pandangan saya satu kata kunci yang sangat besar bagi mencapai keterbilangan ini ialah keupayaan membangkit dan meransang “kesedaran dan kehendak”. Dalam konteks pengurusan sekolah bagaimana mereka mampu dan berupaya membangun “kesedaran dan kehendak” ahli oraganisi bekerja dan berusaha secara kendiri. Guru pula memainkan peranan untuk merangsang “kesedaran dan kehendak”murid untuk belajar dengan kesedaran kendiri atau “intrinsit motivation”. Begitu juga peranan besar ibubapa atau penjaga ialah bagaimana merangsang,membina dan menyokong agar terbangun “kesedaran dan kehendak” anak-anak untuk belajar tanpa paksaaan tetapi atas kemahuan meluap diri mereka sendiri.

Mungkin sekilas pandang agak mudah dan nampak ringan kerjabuat pengurus sekolah, guru mahupun ibubapa tetapi sebenarnya ia memerlukan tuntutan kesabaran dan iltizam yang kuat, kemahiran yang tinggi dan pengetahuan yang mendalam. Pengurusan sekolah terbilang perlukan TASK (Target, Atittude, Skill, Knowledge), guru terbilang perlukan TASK dan ibubapa terbilang juga perlukan TASK. Jika ini berlaku khususnya guru mereka mampu menjadi akar kepada keterbilangan sekolah.

Kita percaya jika semua bergerak atas misi dan visi yang jelas dan sama biarpun mungkin berbeza strategi pasti kita akan menyaksikan perubahan ke arah lebih baik dari masa ke semasa selari dengan filasofi kecemerlangan dan keterbilangan yang ditutut oleh agama “bahawa manusia yang cemerlang itu apa yang diusaha dan dicapai hari ini /bulan ini / tahun ini lebih baik dari semalam/bulan lalu/tahun lalu”. Kerja membangun kecemerlangan pendidikan bukan kerja sendirian berhad tetapi kerja muafakat bersama.

Kita sangat yakin pasti banyak lagi sekolah kita akan mampu menjadi sekolah terbilang sama ada Sekolah Kluster Kecemerlangan atau Sekolah Berprestasi Tinggi suatu hari nanti jika misi dan visi dapat dirancang dan dilaksanakan dengan penuh “kesedaran dan kehendak” oleh semua warga  kerana “Sekolah yang terbilang dan luarbiasa pencapaiannya adalah sekolah-sekolah biasa tetapi diurus dan dibangun oleh Pimpinan Sekolah dan Guru-Guru yang mempunyai iltizam,,semangat,keinginan dan usaha-usaha luarbiasa (beyond to) “.


No comments:

Post a Comment