Saturday, September 29, 2012

TKPPM bersama-sama Guru Pendidikan Khas dan Pemulihan Khas Negeri Terengganu

KUALA TERENGGANU - " Tranformasi atau perubahan sangat perlu walaupun susah dan sakit demi untuk lonjakan ke tahap yang lebih baik. Contoh mudah tranformasi ialah kehidupan seekor helang atau "eagle" bilamana pada satu peringkat terpaksa mematahkan paruh, mencabut semua bulunya dan mematahkan kuku. Kemudiaan untuk pulih kembali dengan paruh baru dan kuku baru serta sayap baru memerlukan masa seratus lima puluh hari. Selepas tempoh "kesukaran dan kesakitan itu" ia mampu hidup tiga puluh tahun akan datang", demikian antara lain ucapan Ybrs Haji Sufa'at bin Tumin, Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran (Sektor Operasi) Pendidikan dalam Majlis TKPPM bersama-sama Guru Pendidikan Khas dan Pemulihan Khas Terengganu yang berjumlah 1,000 orang di Dewan, SMK Chendering, Kuala Terengganu pagi ini.

Dalam ucapan hampir dua jam beliau banyak menyentuh berkaitan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013 - 2025 serta tranformasi pendidikan yang berlaku. Bagi menjelaskan mengapa plan PPPM dan tranformasi dilaksanakan beliau berkata berasaskan data yang ada pendidikan kita masih ketinggalan dan perlu kepada perubahan. Dapatan data dari kajian, pakar, dialog dan sebagainya keperluan kepada PPPM sangat mustahak. Biarpun peruntukan kerajaan kepada pendidikan antara yang tertinggi di dunia namun dalam pelbagai perkara pendidikan kita masih terkebelakangan khususnya melahirkan murid yang mahir berfikiran kreatif dan inovatif.

Kepimpinan pendidikan juga menurut beliau perlukan perubahan di mana 40% pengurus sekolah akan bersara dalam tempoh lima tahun dan 55% tidak memperolehi ilmu pengurusan pendidikan sewajarnya. Justru itu pada masa depan urusan kenaikan pangkat Pengetua dan Guru Besar tidak lagi berasaskan senioriti tetapi berasaskan kompetensi ketat seperti mempunyai sijil NPQEL / NPQH  bagi menjamin kualiti pengurusan pendidikan di peringkat sekolah.

Sebelum itu pada sesi sebelah pagi YM Dato' Haji Raja Arif  Raja Ali, Ketua Pengarah, Biro Tatanegara, Jabatan Perdana Menteri telah menyampaikan ceramah '1Malaysia". Beliau meminta para guru memahami sesuatu gagasan pimpinan dengan jelas dan mendalam bukannya secara kabur. Apabila tidak faham sesuatu maka, pelaksanaannya juga pasti tidak sempurna dan hasrat sebenar tidak akan tercapai. Oleh itu gagasan 1Malaysia adalah program bagi memastikan wawasan negara akan tercapai. Tegas beliau peranan guru dalam melahirkan warga yang berilmu dan penuh peradaban amat penting.Menurut beliau hanya bangsa yang berpaksikan ilmu mampu mengangkat tamaddun dan bergerak maju. Justru itu tegas beliau lagi BTN telah mengeluarkan pelbagai buku yang ditulis oleh cendikiawan bagi memberi ilmu dan kefahaman yang boleh dibaca dan diekses melalu website BTN oleh seluruh rakyat supaya mereka tahu tentang aspirasi negara tercinta ini.

Kita yakin wacana profesional dan ilmiah seumpama ini mampu melahirkan budaya berfikir dan budaya ilmu kepada kaum guru khususnya guru-guru yang mengajar dalam kategori khas untuk memastikan setiap warga anak bangsa mendapat pendidikan terbaik melalui pendemokrasian dan tranformasi pendidikan.

Meminjam kata-kata Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran " Kalau eagle boleh melakukan tranformasi masakan kita tidak boleh melakukanya". Marilah kita sahut cabaran ini dengan jiwa dan hati terbuka kerana tranformasi ke arah al-falah dituntut agama.


No comments:

Post a Comment